Adakah cubaan untuk memujuk anak anda mencuba makanan baru sesuatu yang mencabarkan? Adakah usaha anda untuk memperkenalkan rasa baru sering berakhir dengan tangisan, meragam dan jeritan? Jika ya, anak anda mungkin sedang melalui peringkat perkembangan yang dipanggil “neofobia makanan”.
Apakah neofobia makanan?
Ia merupakah tingkah laku yang disifatkan dengan keengganan kanak-kanak kecil untuk mencuba makanan baru. Neobermaksud “baru”, dan -fobia bermaksud “takut”, maka neofobia makanan secara literalnya bermaksud perasaan takut untuk mencuba makanan baru. Fenomena ini juga dikenali sebagai cerewet atau memilih makan.
Neofobia makanan berpunca daripada mekanisma yang terbina di dalam anak anda untuk mengelak makanan yang tidak dikenali mengikut nalurinya, kerana makanan tersebut boleh dianggap sebagai memudaratkan atau beracun. Fenomena ini biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur dua hingga tujuh tahun, atau adakalanya pada kanak-kanak yang lebih tua namun ia akan berkurangan secara beransur-ansur apabila kanak-kanak itu membesar.
Satu lagi penjelasan bagi neofobia makanan adalah lazimnya apabila anak anda mencapai umur dua tahun, dia sudah mengenali bagaimanakah sepatutnya rupa dan bau sesuatu makanan. Oleh itu, apabila anda memperkenalkan makanan baru yang tidak bersesuaian dengan persepsinya, dia akan terus menolaknya.
Makanan yang di“takuti” oleh anak anda yang cerewet makan
Kanak-kanak yang mengalami neofobia makanan selalunya kurang mengambil buah-buahan, sayuran dan makanan berprotein. Contohnya, sayur-sayuran hijau selalunya mempunyai sedikit rasa pahit. Tunas rasa kanak-kanak akan memberitahu mereka makanan pahit mungkin beracun. Oleh sebab itulah mereka akan tunjukkan muka “tidak suka” apabila diberi makan sayuran hijau.
Kanak-kanak yang cerewet makan mungkin akan mengetap gigi apabila disuap makanan berprotein seperti telur, ikan dan ayam. Satu penjelasan baginya ialah kerana protein boleh dikaitkan dengan pereputan. Orang dewasa juga mungkin akan menolak atau enggan mengambil sumber protein yang tidak dikenali, seperti daging kuda atau arnab.
Masalah perkembangan dan kesihatan
Neofobia makanan boleh membawa kesan-kesan buruk dan akibat jangka masa panjang terhadap perkembangan dan keseluruhan kesihatan anak anda. Pengambilan makanan yang berasaskan pilihan makanan yang terbatas boleh mengakibatkan kurang pengambilan pelbagai nutrien dan komponen makanan yang lain. Contohnya, kekurangan sayur dan buah di dalam diet anak anda akan menyebabkan dia tidak mendapat mikronutrien penting yang mencukupi dan komponen makanan seperti serat dan fotokimia yang bermanfaat untuk kesihatan.
Bagi mengekalkan kesihatan yang baik, Piramid Makanan Malaysia menggalakkan semua orang untuk mengambil hidangan yang seimbang yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang sederhana.
Hidangan yang seimbang haruslah mengandungi makanan daripada lima kumpulan makanan utama yang ditekankan di dalam piramid makanan. Ia adalah 1) makanan berkarbohidrat (misalnya nasi, roti, bijirin, dan mee), 2) buah, 3) sayur, 4) ikan, ayam, daging, dan kekacang, dan 5) susu dan hasil tenusu.
Kanak-kanak harus makan dalam sukatan yang sederhana, agar mereka tidak kurang makan atau makan berlebihan. Kedua-dua tabiat boleh menyebabkan masalah pemakanan di masa depan.
Lebih penting, seorang kanak-kanak yang sedang membesar perlu mengambil pelbagai makanan daripada setiap kumpulan makanan untuk memastikan yang mereka mendapat kesemua nutrien yang diperlukan. Seseorang kanak-kanak yang mengalami neofobia makanan tidak dapat mencapai keperluan ini sebab dia cendurung untuk makan satu jenis atau satu kumpulan makanan sahaja. Selain daripada itu, dia mungkin tidak akan mendapat kalori yang diperlukan oleh tubuhnya untuk tumbesaran mental dan fizikal.
Kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak berumur empat hingga lima tahun yang mengalami neofobia makanan amnya akan mengalami tahap pertumbuhan yang lebih rendah berbanding kanak-kanak yang lebih ingin mencuba makanan yang tidak dikenali atau baru.
Neofobia makanan juga boleh mempengaruhi pilihan diet anak anda di masa akan datang. Contohnya, jika anak anda telah mengelakkan diri daripada sayuran semasa kecil, kemungkinan besar sebagai orang dewasa dia juga tidak akan mengambil sayuran.
Memberi makan anak yang cerewet makan
Jika anda bimbang tentang keengganan anak anda untuk mencuba makanan baru, berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu anak anda mempelbagaikan seleranya:
- Beri gambaran yang cantik – Kanakkanak bergantung kepada sensori deskriptifnya (contohnya, pendedahan visual, bau, dan rasa) untuk mengenali makanan yang mereka makan. Oleh itu, terangkan tentang makanan yang anda cadang untuk memperkenalkan kepadanya dangan cara yang imaginatif dan berikan sedikit maklumat pemakanan tentang makanan tersebut. Maklumat seperti ini dapat membantu meningkatkan keinginan dia untuk mencuba makanan baru dan mengurangkan neofobia makanannya.
- Jangan berhenti mencuba – Demi mengelakkan masalah dan menjimatkan masa, anda mungkin tergoda untuk membuang makanan yang “bermasalah” itu dari pinggan anak anda atau cuba mengumpannya. Elakkan strategi-strategi ini jika anda ingin anak anda mengambil semua jenis makanan dan mendapat khasiat secukupnya.
- Mulakan awal – Sudah ternyata bahawa kanak-kanak memang tertarik kepada makanan yang manis, masin, rangup atau bertekstur mampung dan menolak makanan yang tawar, berserat atau masam. Malah, anak anda mungkin sudah mempunyai rasa dan tekstur yang dia gemar daripada makanan yang anda makan, semasa dia di dalam rahim lagi. Kuncinya adalah untuk mendedahkan anak anda kepada makanan baru sejak kecil kerana inilah masanya dia menentukan rasa dan tekstur yang paling dia suka.
- Tunggu tanda-tanda dia lapar – Jika anda ingin memperkenalkan makanan baru, pastikan anak anda lapar. Dengan cara ini, kemungkinan besar dia akan menerimanya. Walau bagaimanapun, jangan memaksa anak anda makan sesuatu yang baru yang dia tidak mahu, cuba sahaja pada hari lain. Jika dia fikirkan bahawa mengambil makanan baru itu adalah sangat penting kepada anda, dia akan menggunakan situasi itu sebagai satu cara untuk memanipulasi anda untuk mendapatkan sesuatu. Jangan terjerat di dalam perangkap itu.
- Ulang, ulang, ulang – Jika anak anda menolak sesuatu makanan baru yang anda perkenalkan kepadanya, kajian menunjukkan bahawa adakalanya, makanan baru hendaklah dikenalkan berulang kali (sehingga lapan atau 15 kali) sebelum dia menerimanya. Ini tidak bermakna memaksa dia untuk makan tetapi menggalakkan dia secara lembut untuk merasa makanan tersebut. Anak anda mungkin mengambil masa untuk membiasakan diri dengan sesuatu makanan, tetapi apabila ia terjadi, selalunya dia akan menerimanya.
- Memimpin melalui teladan – Anda boleh memainkan peranan dengan juga memakan makanan baru tersebut. Anak anda lebih berkemungkinan akan mencuba makanan baru yang mencurigakan itu jika dia melihat anda mengambilnya dan “selamat” daripada pengalaman pertama itu. Tunjuk kepada dia dengan ekspresi muka, yang anda menyukai makanan baru itu.
- Dapatkan penglibatannya – Biarkan anak anda melihat anda masak supaya dia boleh hidu aroma hidangan yang dimasak dan tanya pendapatnya tentang rasa dan tekstur hidangan itu. Anda juga boleh meminta dia membantu menyediakan hidangan (seperti membasuh sayur atau mengupas bawang dan bawang putih untuk hiasan). Anak anda lebih berkemungkinan akan memakan hidangan yang berkhasiat jika dia membantu dalam persediaannya.
- Kuncinya adalah cara persembahan – Apabila memperkenalkan makanan baru kepada anak anda, hidangkannya di atas pinggan dengan cara yang dekoratif atau potong menjadi kiub-kiub kecil (jika boleh). Contohnya, jika anda ingin memperkenalkan buah dan sayur seperti pisang dan tomato kepada anak anda, hirisnya bulat-bulat dan hias di atas pinggan seperti “muka”. Cubalah dengan warna buah dan sayur yang berbeza untuk membantu anda.
Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan utama dalam membantu anak anda mengatasi neofobia makanannya. Dengan sedikit kesabaran dan bantuan dari tip-tip tersebut, anda boleh mempelbagaikan seleranya, dan dengan itu mengelakkan kekurangan zat makanan yang mungkin terjadi akibat sifat keperibadiannya yang tidak sihat.
Komen