Dari masa ke masa, satu lagi laporan kematian kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta mungkin muncul dalam berita. Kejadian tragis ini telah dinamakan sebagai Sindrom Terlupa Anak.
Sindrom Terlupa Anak atau Forgotten Baby Syndrome ditakrifkan sebagai fenomena terlupa dan meninggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan yang telah diparkir. Jika kanak-kanak itu tertinggal di dalam kenderaan untuk tempoh yang lama, terutamanya dalam cuaca panas, ia mungkin boleh menyebabkan strok haba dan juga kematian.
Sesetengah orang mungkin salah anggap bahawa kes ini hanya berlaku kepada ibu bapa yang cuai atau tidak prihatin. Hakikatnya kejadian ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang, termasuk anda. Sindrom Terlupa Anak biasanya bukan kes kecuaian tetapi masalah ingatan akibat gangguan.
Ia biasanya disebabkan oleh tekanan, kekurangan tidur, perubahan rutin, atau kesibukan dengan isu lain. Contohnya, jika seorang ibu atau bapa yang biasanya tidak ditugaskan untuk menghantar anak ke taska terpaksa melakukan tugas itu pada suatu hari, dia mungkin tidak ingat tentang anak di tempat duduk belakang kerana tugas tersebut bukan sebahagian daripada rutin hariannya.
Bagaimana kita boleh mencegah kejadian ini?
Jika anda mempunyai anak kecil, mari amalkan langkah-langkah berikut untuk berjaga-jaga:
- Kurangkan gangguan semasa memandu. Ini hal yang jelas, jadi jangan hantar mesej atau jawab panggilan semasa memandu! Selain daripada menyalahi undang-undang, ini juga boleh mengalihkan perhatian anda daripada anak anda.
- Letakkan isyarat visual di hadapan. Salah satu cara adalah dengan meletakkan mainan di atas papan pemuka semasa bayi anda berada di dalam kereta, dan di atas kerusi kereta kanak-kanak apabila dia tiada di dalam kereta. Anda juga boleh meletakkan pelekat peringatan pada cermin depan atau tingkap sebelah pemandu.
- Letakkan barang di belakang. Anda boleh meletakkan beg, dompet atau komputer riba di tempat duduk belakang supaya anda perlu mengambil barang tersebut sebelum beredar.
- Lihat sebelum kunci. Biasakan memeriksa tempat duduk belakang sebelum mengunci kereta walaupun anak tidak bersama anda.
- Letakkan kerusi kereta kanak-kanak di tengah/kiri. Ini bagi memastikan anak anda lebih mudah dilihat melalui cermin pandang belakang.
- Gunakan peranti, aplikasi dan teknologi. Banyak peranti dan teknologi seperti sensor tempat duduk, penggera, kamera atau penjejak GPS kini boleh didapati untuk membantu mengingatkan anda tentang keberadaan anak anda di dalam kenderaan.
- Saling mengingatkan. Sentiasa periksa dengan pasangan anda untuk memastikan bahawa dia telah menghantar anak ke destinasi. Minta pengendali taska/tadika untuk memberitahu anda jika anak anda tidak tiba pada masanya, dan sebaliknya, anda harus sentiasa memaklumkan kepada mereka jika anak anda akan lewat atau tidak hadir.