Pengasuhan Positif

Ekonomi Rumah Tangga

Menjadi ibu bapa merupakan satu kebahagiaan, tetapi ia juga menyedarkan kita tentang realiti pertambahan perbelanjaan dan tanggungjawab kewangan. Dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup dan penurunan kadar kelahiran di Malaysia, ibu bapa harus bersedia untuk memenuhi keperluan kewangan dalam membesarkan anak. Daripada keperluan asas seperti kos pendidikan dan perubatan, hinggalah beraneka keperluan harian, perbelanjaan anda boleh meningkat dengan cepat, dan ini menjadikan perancangan kewangan satu aspek penting dalam membina keluarga.

Penurunan kesuburan, kenaikan kos sara hidup: antara punca keresahan

Kadar kesuburan kian merosot di seluruh dunia, dan banyak negara menunjukkan kadar di bawah paras penggantian (2.1 kelahiran per wanita). Asia Timur dan Tenggara menghadapi krisis demografi yang ketara, dengan negara-negara seperti Korea Selatan, China, Jepun, Thailand, dan Singapura mencatat kadar kesuburan (total fertility rate, TFR) 1.3 atau lebih rendah. TFR Singapura mencatat rekod terendah dalam sejarah iaitu 0.97 pada 2023. TFR Malaysia juga turun mendadak daripada 2.2 pada 2011 kepada 1.6 pada 2022.

Walaupun kadar kesuburan populasi Melayu dan Bumiputera lain kekal di sekitar paras penggantian, komuniti Cina dan India mengalami penurunan drastik, masing-masing dengan kadar serendah 0.8 dan 1.1, meletakkan mereka antara yang terendah di peringkat global.

Penurunan kelahiran boleh dilihat melalui jumlah kelahiran seluruh negara yang merosot daripada 511,527 pada 1991 kepada 444,279 pada 2023. Kelahiran kaum Cina mengalami penurunan paling ketara, merosot daripada 102,732 kepada 40,249 dalam tempoh 32 tahun, manakala kelahiran Bumiputera juga menurun daripada 399,276 pada 2015 kepada 344,281 pada 2023.

Kenaikan kos sara hidup turut memburukkan keadaan, oleh itu penting bagi kita untuk menangani isu ini sebelum kadar kesuburan merosot lebih jauh, sehingga boleh mengakibatkan kesan buruk ke atas ekonomi. Malaysia kini amat bergantung kepada buruh asing untuk mengatasi kekurangan tenaga buruh dan situasi ini dijangka akan berterusan.

Dr Tey Nai Peng, Pakar di Fakulti Perniagaan & Ekonomi, Universiti Malaya, menyatakan cabaran-cabaran yang menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran. “Kenaikan kos sara hidup, serta ketidakpastian dalam pasaran pekerjaan dan perniagaan, pendapatan yang tidak bertambah, dan timbunan hutang bagi sesetengah orang, meletakkan beban yang berat ke atas pasangan muda. Akibatnya, ramai yang terpaksa mengehadkan saiz keluarga mereka, lalu menyumbang kepada trend penurunan kadar kelahiran. Selain itu, kos membesarkan anak juga meningkat seiring dengan kos sara hidup secara keseluruhan. Faktor-faktor seperti lokasi, pilihan penjagaan anak, dan haluan pendidikan yang diingini untuk anak semuanya memainkan peranan penting dalam menentukan beban kewangan sebagai ibu bapa,” katanya.

Kos sebagai ibu bapa

Menurut Belanjawanku KWSP, dana yang diperlukan untuk mengekalkan taraf hidup yang baik berbeza-beza mengikut kawasan di Malaysia. Bagi pasangan berkahwin, taraf hidup ini memerlukan belanjawan bulanan bermula daripada RM3,680 di Alor Setar hingga RM4,630 di Lembah Klang. Namun, apabila mereka mempunyai seorang anak, perbelanjaan akan meningkat kepada RM4,760 dan RM5,980 di kawasan-kawasan ini.

Keluarga dengan dua anak berhadapan dengan beban kewangan yang lebih besar, dengan anggaran belanjawan RM5,430 dan RM6,890 masing-masing di Alor Setar dan Lembah Klang. Pendapatan isi rumah median pada 2022 adalah kira-kira RM6,338 (RM7,243 di kawasan bandar dan RM4,094 di kawasan luar bandar), dengan purata saiz isi rumah 3.8 orang. Statistik ini menunjukkan bahawa hampir separuh populasi hidup di bawah paras kehidupan yang baik.

Selain itu, satu laporan dalam talian membuat pengiraan bahawa kos membesarkan seorang anak daripada kehamilan hingga pendidikan universiti adalah kira-kira RM400,000 hingga RM1.1 juta, dengan sebahagian besar kos tersebut digunakan untuk pendidikan tinggi swasta.

Anggaran kos membesarkan anak

Peringkat Mengandung & bersalin Bayi – 4 tahun 7 – 12 tahun 13 – 17 tahun Pra-U/

Universiti

Anggaran kos tahunan RM5,000-RM10,000 RM37,300-
RM48,000
RM8,400-
RM35,000
RM13,200-
RM46,000
Up to RM160,000
Contoh perbelanjaan Lawatan pranatal, caj hospital (berbeza jika swasta atau kerajaan), lawatan selepas bersalin dan makanan tambahan Penjagaan anak,

imunisasi dan pemeriksaan, formula dan makanan, lampin,

pakaian dan keperluan lain seperti kereta sorong bayi, tempat duduk kereta, dsb.

Pakaian seragam dan buku, yuran sekolah,

yuran pengangkutan, perbelanjaan makanan, tuisyen, pakaian, buku dan mainan, kesihatan

Pakaian seragam dan buku, yuran sekolah,

yuran pengangkutan, perbelanjaan makanan, tuisyen, pakaian, buku dan mainan, hiburan, kesihatan

Buku, makanan, pengangkutan, penginapan, kesihatan, yuran universiti (berbeza jika swasta, kerajaan, tempatan atau luar negara), hiburan

*Anggaran berdasarkan sumber daripada https://www.akpk.org.my/estimated-cost-raising-child dan https://www.aia.com.my/en/knowledge-hub/plan-well/cost-of-raising-a-child-in-malaysia.html

Kenapa kos meningkat?

Dr Tey mengenalpasti beberapa sebab kos membesarkan anak semakin meningkat.

Perbelanjaan pendidikan: Kos pendidikan seperti yuran pengajian, peralatan sekolah, aktiviti kokurikulum, dan tuisyen semakin meningkat. Ibu bapa bergelut dengan bil yang makin meningkat daripada prasekolah hingga pengajian tinggi bagi memastikan pendidikan berkualiti untuk anak-anak.

Kos kesihatan: Kos penjagaan kesihatan kanak-kanak, termasuk temu janji doktor, vaksinasi, ubat-ubatan, dan insurans perubatan, terus meningkat. Kemajuan dalam teknologi perubatan dan perkhidmatan kesihatan meningkatkan beban kewangan dalam memastikan kesejahteraan kanak-kanak bagi kebanyakan keluarga.

Perumahan dan kemudahan: Memastikan tempat tinggal yang selamat dan selesa untuk kanak-kanak memerlukan bayaran sewa atau pinjaman perumahan yang lebih tinggi. Selain itu, kos utiliti, penyelenggaraan, dan bahan api yang meningkat menyumbang kepada perbelanjaan keseluruhan keluarga untuk rumah. Kajian menunjukkan pelajar daripada keluarga yang menyediakan lebih banyak sumber pembelajaran, seperti memiliki bilik sendiri, buku-buku, dan akses internet, cenderung menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik.

Penjagaan kanak-kanak: Permintaan yang meningkat untuk penjagaan kanak-kanak, didorong oleh pertambahan bilangan ibu bapa yang bekerja, menyebabkan kos meningkat. Sama ada pusat jagaan, pengasuh, atau program selepas sekolah, perbelanjaan melibatkan penjagaan kanak-kanak merupakan satu cabaran kewangan yang besar, terutamanya di pusat bandar seperti Kuala Lumpur.

Teknologi dan hiburan: Pada era digital masa kini, kanak-kanak makin terdedah kepada pelbagai peranti teknologi dan pilihan hiburan. Daripada telefon pintar dan tablet hinggalah permainan video dan khidmat siaran, aneka trend teknologi ini melibatkan kos yang besar.

Inflasi dan faktor ekonomi: Inflasi dan pemulihan ekonomi yang perlahan selepas pandemik COVID-19 memberi kesan mendalam terhadap peningkatan kos membesarkan anak. Kenaikan harga barang dan perkhidmatan, serta peluang pekerjaan dan gaji yang tidak memberangsangkan menambah tekanan ke atas kewangan ibu bapa dalam memenuhi perbelanjaan keluarga yang berkembang.

Dinamik keluarga yang berubah: Struktur dan dinamik keluarga yang berubah, seperti perpecahan keluarga besar, peningkatan keluarga ibu atau bapa tunggal, dan keluarga dengan dua pendapatan, mempengaruhi kos membesarkan anak. Ibu bapa tunggal menghadapi tekanan kewangan yang lebih tinggi, manakala isi rumah dengan dua pendapatan menghadapi peningkatan perbelanjaan untuk penjagaan anak kerana kedua-dua ibu bapa bekerja di luar rumah tanpa sokongan keluarga besar.

Peningkatan keluarga dengan dua pendapatan

Peningkatan keluarga dengan dua pendapatan telah mendatangkan satu cabaran unik, terutamanya bagi wanita bekerja yang menguruskan pelbagai peranan di tempat kerja dan dalam keluarga. Dengan peningkatan pekerja wanita, ramai yang menghadapi dilema antara mengutamakan perkembangan kerjaya dan membina keluarga serta membesarkan anak.

Untuk mengatasi isu ini, Dr Tey mencadangkan agar gerak kerja yang lebih anjal dilaksanakan untuk membina keseimbangan kerja-dan-hidup yang lebih sihat. “Langkah seperti ini dapat mengurangkan tekanan ke atas wanita bekerja, lalu membolehkan mereka menguruskan tanggungjawab kerjaya mereka dengan lebih baik sambil memenuhi tugas-tugas keluarga. Dengan menawarkan jadual kerja yang anjal, pilihan kerja luar pejabat, dan dasar yang menyokong seperti cuti ibu bapa dan bantuan penjagaan kanak-kanak, organisasi boleh memperkasakan wanita bekerja untuk mengejar cita-cita kerjaya mereka serta keinginan untuk berkeluarga. Gerak kerja sebegini memberi manfaat kepada para pekerja dan menyumbang kepada tenaga kerja yang lebih inklusif dan produktif,” katanya.

Apakah kos yang perlu disediakan?

Namun begitu, anda tidak perlu bimbang. Membesarkan seorang anak daripada lahir hingga ke pendidikan tinggi melibatkan pelbagai kos asas yang boleh dirancang dengan mudah, kata Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif. Ini termasuklah penjagaan pranatal dan pascanatal, penjagaan kanak-kanak dan pendidikan awal, keperluan asas, penjagaan perubatan dan insurans, pendidikan dan simpanan.

Dr Zulkifli berkata, “Penjagaan pranatal termasuk kos seperti temu janji doktor, ultrabunyi, vitamin, dan kelas bersalin. Kos selepas kelahiran pula termasuk bil hospital, temu janji pakar kanak-kanak, vaksinasi, dan keperluan bayi baru lahir seperti lampin, susu formula (jika tidak menyusu badan), pakaian bayi dan peralatan (katil bayi, kerusi kereta kanak-kanak, kereta sorong bayi). Bagi ibu bapa yang perlu kembali bekerja, kos penjagaan kanak-kanak mungkin tinggi. Ini termasuklah kos pusat jagaan harian, perkhidmatan pengasuh kanak-kanak, atau pengasuh bayi. Selain itu, terdapat juga kos berterusan untuk makanan, pakaian, dan barang keperluan peribadi untuk kanak-kanak.”

Selain itu, pemeriksaan kesihatan dan gigi yang berkala, serta kos perubatan yang tidak dijangka perlu dimasukkan dalam belanjawan anda, katanya, serta bayaran insurans. Ibu bapa juga perlu mempertimbangkan kos-kos berkaitan pendidikan rendah dan menengah, termasuk yuran sekolah, pakaian seragam, buku teks, alat tulis, pengangkutan ke sekolah, dan kegiatan kokurikulum. Apabila anak anda memasuki pendidikan tinggi, terdapat kos seperti yuran kolej atau universiti, penginapan, buku dan kos lain yang berkaitan. Bagi merancang pendidikan universiti anak anda dari segi kewangan, anda boleh mula seawal kelahiran mereka dan menyimpan secara berkala ke dana pendidikan atau dana warisan khusus.

Menabung untuk masa depan anak anda, seperti akaun simpanan untuk kolej atau akaun pelaburan, juga penting untuk perancangan kewangan jangka panjang. Ini juga termasuk simpanan untuk perkara lain, seperti membeli kereta atau membantu pembayaran pendahuluan rumah.

Dr Zulkifli berkata ia juga penting bagi ibu bapa untuk mempunyai dana kecemasan untuk menampung perbelanjaan yang tidak dijangka, seperti kecemasan kesihatan, penyelenggaraan rumah, atau kehilangan pekerjaan, bagi memastikan kestabilan kewangan semasa waktu-waktu mencabar. “Pandemik COVID-19 pada 2020 menjadi contoh bagaimana keadaan yang tidak dijangka boleh mencetuskan cabaran besar dalam hidup, dan ini menunjukkan betapa perlunya untuk menyimpan dana kecemasan agar kita bersedia untuk menghadapi cabaran kewangan yang tidak dijangka. Dengan mempertimbangkan dan merancang kos-kos asas ini, ibu bapa boleh bersedia dengan lebih baik untuk menggalas tanggungjawab kewangan bagi membesarkan seorang anak daripada lahir hingga pendidikan tinggi.”

Anda bersedia untuk menjadi ibu bapa?

Menurut Dr Serena In, Pakar Psikologi Klinikal dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, sesetengah pasangan mungkin menunggu tanda-tanda bahawa mereka “bersedia” untuk menjadi ibu bapa tetapi perjalanan tersebut adalah pilihan yang perlu mereka buat sendiri.

“Seseorang tidak sepatutnya mempunyai anak hanya kerana rasa tertekan untuk melakukannya oleh pasangan mereka, ahli keluarga, atau orang lain. Kadangkala, ada orang yang takut menjadi ibu bapa kerana risau mereka tidak cukup bagus atau risau tentang beban besar yang akan datang; ini mungkin menyebabkan mereka enggan menjadi ibu bapa sama sekali. Namun, mereka yang berani menjadi ibu bapa sering menggambarkan bahawa pilihan hidup ini datang dengan ganjaran istimewa yang jauh lebih berharga berbanding kosnya. Ramai yang berani menyatakan bahawa menjadi ibu bapa adalah keputusan terbaik dalam hidup mereka, walaupun perjalanan awal mereka sebagai ibu bapa dipenuhi dengan keraguan dan keresahan,” katanya.

Beliau berkongsi beberapa petanda emosi yang menunjukkan anda bersedia untuk menjadi ibu bapa: “Anda mempunyai perkahwinan yang indah tetapi sebagai pasangan, anda mula rasa kekurangan sesuatu atau mahukan sesuatu yang lebih, dan mungkin mahukan lebih teman di rumah. Anda mungkin telah cuba menjaga anak saudara atau rakan dan amat menyukainya, serta menginginkan hubungan yang sama untuk diri sendiri. Anda juga bersedia untuk menyesuaikan gaya hidup dari segi kewangan, kerjaya, masa, dan tenaga, dan memberi ruang untuk perubahan dan peruntukan bagi membesarkan anak. Akhir sekali, anda sanggup berkorban demi orang yang tersayang, yang mana ini akan membantu anda bersedia melalui perjalanan keibubapaan.”

“Namun, kadangkala,” tambah Dr Serena, “ia bermula dengan membuat pilihan bahawa anda ingin menjadi ibu bapa dan kemudian anda akan membuat penyesuaian yang perlu seiring dengan waktu. Kuncinya adalah anda ikhlas dan sanggup untuk membuat perubahan ini kerana matlamat anda untuk menjadi ibu bapa. Ini membantu anda untuk sentiasa mengatur semula keutamaan mengikut keperluan.”

Sementara itu, Dr Tey menggalakkan penilaian menyeluruh ke atas persediaan dari segi kewangan untuk menjadi ibu bapa dengan mengira pendapatan dan perbelanjaan semasa untuk memastikan pasangan muda dapat menampung kos tambahan membesarkan anak. “Pasangan muda harus merangka belanjawan dan simpanan yang sesuai dengan keperluan kewangan yang baru ini. Selain itu, situasi di tempat kerja juga perlu dinilai untuk memastikan cuti ibu bapa dan perlindungan perubatan yang mencukupi. Akhir sekali, adalah penting untuk membincangkan perihal kewangan dengan pasangan dan membuat rancangan jangka panjang,” katanya.

Dr Tey juga menekankan bahawa persediaan untuk menjadi ibu bapa sebagai pasangan boleh jadi mencabar, terutamanya apabila pasangan mempunyai pendapat yang berbeza tentang wang, tabiat belanja, dan keutamaan kewangan. Beliau menjelaskan, “Menangani perbezaan ini dapat membantu mengurangkan perselisihan faham apabila menguruskan kewangan dalam membesarkan anak. Masalah mungkin timbul apabila terdapat jurang pendapatan yang jauh antara pasangan, oleh itu adalah penting untuk membahagikan tanggungjawab kewangan secara adil untuk kos penjagaan anak dan simpanan masa depan anak.”

Nasihat untuk bakal ibu bapa

Dr Serena memberikan beberapa nasihat kepada pasangan yang merancang untuk mendapatkan anak, “Mulakan perancangan kewangan dari awal, bahkan sebelum hamil, contohnya, dengan menyimpan  wang lebih setiap bulan untuk perbelanjaan kehamilan dan anak. Anda juga harus berbincang dengan ahli keluarga atau rakan yang juga seorang ibu bapa dan minta mereka kongsi pengalaman dan nasihat yang berguna. Kenal pasti sistem sokongan utama anda di mana anda boleh mengharapkan bantuan apabila anda memerlukannya. Hadiri ceramah-ceramah keibubapaan dan baca buku-buku keibubapaan untuk membantu anda bersedia secara mental. Jika anda masih rasa tidak pasti untuk mendapatkan anak walaupun selepas berbincang dengan pasangan anda, rujuklah kepada kaunselor profesional atau pakar psikologi klinikal untuk membantu anda dalam membuat keputusan hidup yang besar ini.”

Tekanan kewangan dalam persediaan mendapatkan anak, ditambah dengan tekanan emosi dalam persiapan menjadi ibu bapa, pastinya boleh menimbulkan ketegangan dalam hubungan menurut Dr Serena. “Walaupun terdapat cabaran ini, jika anda mampu bekerjasama sebagai satu pasukan dengan berkomunikasi secara terbuka mengenai matlamat dan kebimbangan kewangan, mendapatkan nasihat pakar apabila perlu, dan bersikap fleksibel dalam menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan, anda pasti boleh mengatasi rintangan ini dan bersedia untuk memikul tanggungjawab kewangan sebagai ibu bapa. Pasangan akan lebih kuat apabila mereka bekerjasama dalam menangani perubahan demi perubahan dalam perjalanan ini.”

Kesimpulannya, menjadi ibu bapa adalah keputusan jangka panjang dan bukan jangka pendek. Oleh itu, kedua-dua pasangan haruslah benar-benar bersetuju dengan keputusan tersebut dan bersedia untuk bekerjasama, tak kira apa yang berlaku. Selain itu, kesan kewangan apabila menjadi ibu bapa amatlah besar dan memerlukan pertimbangan dan perancangan yang teliti. Seperti yang ditekankan oleh para pakar dalam pelbagai bidang, peningkatan kos-kos berkaitan membesarkan anak menunjukkan betapa pentingnya persediaan kewangan bagi bakal ibu bapa. Dengan perancangan yang teliti, tekad, dan sokongan, ibu bapa boleh menikmati kegembiraan dan menerima tanggungjawab membesarkan anak dengan yakin. Akhirnya, dengan ekosistem yang mampan untuk pembinaan keluarga dan membesarkan anak, krisis kesuburan diharap boleh ditangani dan negara kita dapat bergerak maju ke arah masa depan yang lebih baik.

Oleh: Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi, Program Pengasuhan Positif

Dr Serena In, Pakar Psikologi Klinikal dan Ahli Jawatankuasa, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP),

Dr Tey Nai Peng, Pakar, Fakulti Perniagaan & Ekonomi, Universiti Malaya; Ahli Lembaga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia (LPPKN); dan Ahli, Majlis Kebangsaan Wanita & Keluarga

Langgani surat berita pengasuhan kami.