Pengasuhan Positif

Menguruskan kewangan dengan kehadiran ahli keluarga baharu

Kehadiran seorang ahli keluarga yang baharu merupakan satu pengalaman yang mengujakan bagi kedua ibu dan bapa. Namun, anda tidak dapat lari daripada berasa bimbang mengenai kedudukan kewangan keluarga anda memandangkan tanggungjawab membesarkan seorang anak sememangnya memerlukan perbelanjaan yang lebih dari biasa. Mujurlah, terdapat cara-cara untuk mengurangkan kos perbelanjaan dan menyalurkan wang ke tempat lain agar dapat memberi keuntungan. Malah, setiap sen yang berjaya dijimatkan merupakan satu sen lagi yang diperoleh.

1. Beli secara pukal

Anda boleh berjimat dengan membeli lampin semasa jualan murah atau di pasaraya borong. Belilah secara pukal dan berjimat. Lampin jenama pasaraya (“store brand’) juga memberi perlindungan dan fungsi yang sama malah kadang-kadang lebih baik daripada jenama lain yang lebih mahal.

2. Kurangkan, guna semula, kitar semula

Hubungilah rakan-rakan dan ahli keluarga yang anda tahu pernah menimang cahaya mata dan dapatkan barangan seperti baju, botol susu dan pam susu dari koleksi simpanan mereka. Kebiasaannya apabila bayi anda lahir, anda akan menerima hadiah-hadiah untuk bayi daripada rakan-rakan dan keluarga. Oleh itu, belilah barangan yang betul-betul diperlukan sahaja untuk bulan pertama selepas kelahiran, selepas itu, rancanglah semula apa yang perlu dibeli untuk bayi anda.

3. Cara semula jadi

  • Penyusuan susu ibu sentiasa disarankan. Ia mengukuhkan hubungan di antara ibu dan anak, ia sumber makanan yang lebih berkhasiat serta boleh dipercayai dan mampu menjimatkan wang anda sekurang-kurangnya dalam tahun pertama selepas kelahiran.
  • Apabila memilih susu formula, ketahuilah bahawa jenama yang lebih murah pun mampu memberi khasiat yang sama pada harga yang lebih rendah dari susu berjenama yang mahal. Oleh itu buatlah sedikit kajian sebelum anda membuat keputusan membeli dan menggunakan satu jenis jenama tertentu.
  • Apabila anak anda semakin besar, anda boleh menyediakan makanan mereka menggunakan bahan-bahan semula jadi dan segar seperti buah dan sayuran.

4. Lokasi, lokasi, lokasi

  • Kos menghantar anak ke tempat jagaan berbeza mengikut lokasi dan jenis taman asuhan yang anda pilih. Oleh itu, pertimbangkan kesemua opsyen dan pilihlah mengikut keutamaan dan bajet anda.
  • Jika kedua-dua ibu dan bapa bekerja, dapatkan maklumat mengenai jenis-jenis faedah yang diberi oleh syarikat masing-masing dan gunakan sepenuhnya. Syarikat besar selalunya menyediakan pusat asuhan kanak-kanak yang baik di pejabat.
  • Sesetengah ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke rumah ahli keluarga terdekat. Ia merupakan pilihan yang sesuai jika kesemua pihak memahami dan mendapat persetujuan bersama.

5. Menabung

  • Adalah baik untuk membuat perancangan awal dalam menguruskan kewangan anda. Pelaburan merupakan pilihan tabungan yang baik bagi jangka masa panjang. Melaburlah sekarang dan melaburlah dengan bijak. Anda tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar untuk melabur tetapi dengan bermula dari awal lagi, pelaburan anda berpotensi memberi faedah yang menakjubkan pada masa akan datang.
  • Anda juga patut menabung untuk pendidikan anak anda. Pendidikan tinggi bukanlah murah. Terdapat pelbagai skim tabungan pendidikan di pasaran, pilihlah yang sesuai untuk anda dan mulalah menabung.
  • Terdapat banyak pilihan pelaburan dan/atau insurans yang menawarkan pulangan yang berbaloi pada kos yang berpatutan, pilihlah yang sesuai dengan bajet anda.

family-finance

6. Cukai

Pastikan anda mencari cara untuk mengurangkan cukai pendapatan anda melalui tebus semula, rebet dan potongan lain yang anda layak terima kerana mempunyai seorang anak. Ia mungkin mengambil masa dan sesetengah potongan ini tidak diberi secara automatik tetapi memerlukan anda untuk mengisi beberapa borang. Namun, memandangkan terdapat dalam kalangan kita yang membayar cukai pendapatan yang tinggi, mengetahui di mana anda boleh berjimat adalah sangat berguna.

7. Hadiah percuma

Baucar-baucar dan hadiah percuma adalah cara yang sangat baik untuk berjimat. Pada masa kini, terdapat banyak jenama yang memberi barangan bayi secara percuma, dari sampel percuma ke baucar diskaun. Mungkin kadar penjimatannya tidak begitu signifikan, tetapi dalam jangka masa panjang, penjimatan kecil-kecilan ini boleh terkumpul menjadi banyak.

Memelihara seorang bayi sememangnya sesuatu yang memerlukan perbelanjaan yang besar. Namun dengan sedikit perancangan dan kreativiti, anda boleh menjimatkan wang dan memulakan satu gaya hidup tanpa perlu berbelanja besar. Beringatlah untuk berbelanja mengikut kemampuan anda dan bukannya mengikut apa yang diharapkan orang lain. Hanya anda sahaja yang mengetahui apa yang terbaik untuk keluarga anda. Dari lampin ke bilik tidur dan permainan ke pendidikan tinggi, kegagalan untuk merancang adalah merancang untuk gagal, dan kegagalan bukanlah satu opsyen apabila ia melibatkan masa depan dan kesejahteraan anak anda.

Artikel ini dibawa kepada anda dengan kolaborasi bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebuah anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan untuk memberi khidmat awam dalam bidang Pendidikan Kewangan, Kaunseling dan Pengurusan Kredit. Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan-perkhidmatan oleh AKPK, layari www.akpk.org.my

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen