Pengasuhan Positif

Memahami Kecelaruan Perkembangan Koordinasi (Dispraksia)

Kecelaruan Perkembangan Koordinasi (Developmental Coordination Disorder, DCD) ialah masalah sepanjang hayat, yang dulu dikenali sebagai “Dispraksia”. Ia merupakan masalah perkembangan saraf yang tersenarai dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM).

Kanak-kanak dengan DCD mungkin bermasalah dalam koordinasi motor, serta menyusun, merancang dan melaksanakan tugas. Perkembangan pertuturan dan bahasa juga sering terjejas dan mereka biasanya sukar memproses maklumat. Namun, DCD tidak menghalang anak anda daripada menjalani hidup yang sihat dan sejahtera. Sebaliknya, jika dibiarkan, gejala DCD akan menyebabkan masalah pembelajaran dan rendah keyakinan diri apabila meningkat remaja dan dewasa.

Bagaimana mengenal pasti anak dengan DCD?

Terdapat beberapa petanda, termasuk kelewatan mencapai tahap perkembangan (merangkak, berjalan, dll.), sentiasa meragam, dan bermasalah dengan kemahiran motor kasar dan halus. Tanya diri sendiri: Anak anda sukar memakai pakaian sendiri? Dia cuai dan sering menjatuhkan objek atau menumpahkan air? Kanak-kanak dengan DCD mungkin mengalami kesukaran dalam:

  • Pembelajaran
  • Pergaulan
  • Bermain
  • Kemahiran hidup harian
  • Merancang dan mengatur

Kanak-kanak dengan DCD juga mungkin mempunyai masalah lain dengan gejala yang serupa seperti ADHD, gangguan spektrum autisme, apraksia pertuturan kanak-kanak, diskalkulia atau disleksia.

Apa yang anda boleh lakukan sebagai ibu bapa?

Tiada satu penyelesaian untuk semua – sebaliknya anda perlu menyesuaikannya dengan keperluan anak anda. Anda juga mungkin memerlukan bantuan daripada pelbagai pakar kesihatan seperti pakar terapi pekerjaan, pakar terapi pertuturan dan pakar psikologi pendidikan atau klinikal.

Di rumah, anda boleh menggalakkan anak anda untuk melibatkan diri dengan kegiatan fizikal seperti berenang, bola keranjang, berbasikal (yang penting adalah keseronokan, bukan kecekapan), dan menyediakan pakaian yang mudah dipakai dan dibuka (cth: baju T, seluar bergetah, kasut berpelekat). Anda juga boleh mengajar anak anda menggilap kemahiran merancang serta kemahiran motornya melalui tugas harian mudah, seperti mengatur meja makan atau membuat sandwic. Sentiasa kenali dan galakkan kelebihannya.

Ingat bahawa membantu anak dengan DCD memerlukan banyak kesabaran, perancangan, masa dan latihan. Jangan terlalu berharap untuk mencapai banyak perkara dengan cepat, dan minta pertolongan apabila perlu.

Melalui tindakan awal dan terapi yang sesuai, anak anda boleh memulihkan kemahiran merancang dan kemahiran motornya, serta menjalani hidup sebaik-baiknya. Cari sumber dalam talian serta komuniti yang boleh membantu anda dalam perjalanan ini. Semoga berjaya!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen