Adakah anda sering menggunakan putik kapas untuk membersihkan bahagian dalam telinga anda? Anda juga melakukannya kepada anak anda? Fakta: Mengeluarkan tahi telinga tidak perlu dan boleh jadi berbahaya.
Pertama sekali, kita perlu fahami fungsi tahi telinga (atau serumen). Ia merupakan penghalang bagi jangkitan bakteria, kulat dan virus, serta kemasukan serangga dan air. Ia juga melincirkan saluran telinga agar kulit di dalam sihat dan kekal pada tahap keasidan optimum (pH 5.2 – 7.0) untuk mencegah jangkitan. Tanpanya, telinga kita akan mudah terkena jangkitan dan menjadi kering.
Tubuh kita ada cara tersendiri untuk membersihkan telinga iaitu melalui gerakan rahang. Ketika kita mengunyah atau menggerakkan rahang, tahi telinga lama akan bergerak keluar sedikit demi sedikit. Pergerakan bulu di saluran telinga luar juga membantu menyingkirkan tahi telinga. Tahi telinga juga mengandungi sel-sel kulit yang mati.
Apabila tersalah korek telinga
Secara idealnya, saluran telinga kanak-kanak (dan orang dewasa) tidak perlu dikorek untuk menyingkirkan tahi telinga. Ini juga sama bagi bayi – jangan sesekali membersihkan bahagian dalam telinga mereka dengan putik kapas atau benda lain. Mengeluarkan tahi telinga dengan cara tidak betul boleh menyebabkan masalah berikut:
- Trauma dan pendarahan pada kulit saluran telinga, menyebabkan jangkitan (otitis luaran akut).
- Gegendang telinga cedera, menyebabkan tembusan, kesakitan dan masalah pendengaran.
- Pendarahan saluran telinga.
- Menolak tahi telinga lebih ke dalam, menyebabkan telinga tersumbat.
Telinga tersumbat
Sesetengah orang mungkin mengalami pengumpulan tahi telinga berlebihan, lalu membentuk plak tahi telinga yang menghalang bukaan telinga. Ini juga berlaku apabila tahi telinga tertolak ke dalam akibat kaedah pembuangan tahi telinga yang tidak betul, terutamanya jika putik kapas kerap digunakan.
Anak anda mungkin mengalami telinga tersumbat jika dia mengadu:
- Sakit telinga atau ketidakselesaan pada telinga.
- Perasaan ‘penuh’ dalam telinga, seolah-olah ada benda tersumbat.
- Tinitus atau telinga berdesing.
- Hilang separa pendengaran, yang makin teruk apabila tahi telinga makin terkumpul. Ini gejala paling biasa.
Kajian menunjukkan yang membuang plak tahi telinga akan meningkatkan pendengaran sebanyak 10 desibel. Sebagai perbandingan, beza antara bisikan dan perbualan normal ialah sekitar 20 desibel.
Apa yang ibu bapa boleh lakukan?
Biasanya, mengelap bahagian luar telinga anak anda dengan kain sudah mencukupi untuk membersihkannya. Jika terdapat tahi telinga berlebihan atau plak tahi telinga, ini yang anda boleh lakukan:
- Cara biasa. Titiskan sedikit minyak bayi, minyak zaitun, minyak mineral atau gliserin untuk melembutkan tahi telinga di bahagian luar telinga.
- Ubat serumenolisis. Gunakan ubat pelembut tahi telinga (serumenolisis) yang boleh didapati di farmasi dalam bentuk ubat titis atau semburan.
- Rujuk pakar ENT jika tahi telinga tersumpat hingga menyebabkan telinga tidak selesa atau jika kaedah di atas tidak menyelesaikan masalah. Rawatan yang mungkin dijalankan termasuklah membuang tahi telinga dengan endoskop, mikroskop, sedutan atau semburan.
JANGAN guna:
- Hidrogen peroksida. Ia boleh memburukkan situasi jika masalah itu bukan disebabkan tahi telinga, tapi perkara yang lebih serius.
- Rawatan lilin (ear candle). Ini tidak berkesan dan boleh menyebabkan kecederaan seperti melecur atau tercucuk saluran telinga ketika dimasukkan.
Petua jagaan telinga
● Jangan letakkan objek ke dalam telinga untuk apa-apa tujuan sekali pun, termasuklah untuk membersihkannya (ajarkan anak anda sejak kecil). ● Jangan pukul kepala untuk mengeluarkan bendasing yang tersumbat dalam telinga. ● Jika telinga cedera, jangan hembus hidung anda. ● Pastikan air tidak masuk ke dalam telinga yang cedera. ● Sentiasa rawat kecederaan/jangkitan telinga dengan segera. |
Ibu bapa perlu memahami kepentingan dan fungsi tahi telinga. Anda perlu tahu membezakan antara tahi telinga biasa dan jangkitan kerana rawatan mungkin berbeza. Jumpa pakar untuk sebarang kes serius kerana mereka mempunyai peralatan khas untuk memeriksa saluran telinga anak anda dan mengeluarkan plak tahi telinga.
Komen