Pengasuhan Positif

Berenang bersama Bayi Anda

Jika anda ingin berenang bersama bayi anda, jangan takut – ia boleh jadi pengalaman yang menarik! Memperkenalkan bayi anda kepada pengalaman menakjubkan ini ialah cara yang bagus untuk berseronok sambil meluangkan masa bersama. Anda boleh mempersiapkan bayi anda untuk berenang dengan senaman ringkas tetapi berkesan, yang boleh membantu mengembangkan kemahiran berenangnya.

Untuk bermula

Langkah pertama adalah mencari posisi di kolam renang di mana anda boleh berdiri dengan stabil. Seterusnya, dukung bayi anda dengan kemas di bawah ketiaknya dan perlahan-lahan memasukkannya ke dalam air. Biarkan dia mula rasa air dengan tangan dan kakinya.

Pastikan kepala dan dagunya berada di atas paras air tetapi biarkan tangan dan kakinya bebas bergerak di dalam air. Anda boleh menyanyikan lagu kanak-kanak untuk menghiburkan bayi anda sambil berjalan dengannya di sekeliling kolam renang. Gunakan mainan terapung kecil dan galakkannya untuk cuba “berenang” ke arah mainan itu kerana ini membantu bayi anda meningkatkan keyakinan dan pergerakan dalam air.

Jangan risau jika air terpercik ke muka bayi anda kerana ini membantunya menjadi lebih selesa dalam air. Apabila dia bukan sahaja selesa malah sukakan pengalaman itu, anda boleh beralih ke peringkat seterusnya.

Langkah ‘Humpty Dumpty’

Untuk memulakan senaman kedua, biarkan bayi anda duduk di tepi kolam renang sambil anda berdiri di dalam kolam renang. Sambil menyanyi “Humpty Dumpty sat on a wall, Humpty Dumpty had a great fall”, bawanya perlahan-lahan ke dalam kolam renang sambil mendukungnya dengan selamat. Pastikan kepalanya berada di atas paras air.

Sekarang, ulangi langkah ‘Humpty Dumpty’, tetapi kali ini, cuba tenggelamkannya sehingga paras dagu. Ulangi langkah ini sebanyak mana yang perlu sehingga dia selesa. Sekarang, secara berperingkat, cuba tenggelamkan hidungnya ke dalam air (hanya sebentar). Selepas beberapa kali, anda boleh teruskan dengan menenggelamkannya sehingga paras mata.

Ingat, bayi suka pengulangan dan aktiviti ini cara baik untuk membina kepercayaan dan ikatan dengan bayi anda. Ini akan membantu bayi anda menjadi lebih selesa dengan anda dan air.

Apung lentang

Senaman akhir ialah apung lentang (back float) iaitu senaman paling penting bagi sesiapa yang sedang belajar berenang. Mulakan dengan membiarkan bayi anda baring melihat langit di permukaan air. Pastikan kepala bayi anda sejajar dengan bahu anda. Untuk menjadikannya lebih menarik, anda boleh menyanyi “Twinkle, twinkle, little star” atau memberitahunya untuk mencari burung yang sedang terbang atau kapal terbang di langit.

Perlahan-lahan jalan mengundur di dalam kolam sambil bayi anda terbaring dengan kepalanya di bahu anda. Teruskan langkah ini sehingga anda dapati bayi anda sudah selesa dan menikmati proses itu. Apabila bayi anda sudah tenang, anda boleh memegang hanya kepalanya untuk memberikan sokongan minimum.

Bayi anda akhirnya akan benar-benar bersedia untuk terapung dan ketika itu, anda boleh melepaskan tangan anda daripada bawah kepalanya dan biarkan dia terapung sendiri. Berhati-hati dan jangan lepaskannya melainkan dia benar-benar bersedia. Senaman akhir ini memerlukan banyak kesabaran dan anda perlu bergantung kepada naluri sendiri untuk tahu apabila dia bersedia.

Berseronoklah!

Inilah tiga senaman yang saya sangat syorkan kepada ibu bapa yang berminat untuk mengajar bayi mereka berenang. Jangan terburu-buru dalam proses itu dan jadikan ini peluang untuk menikmati waktu berkualiti dengan anak anda sambil melakukan tiga senaman tersebut. Biarkan anak anda nikmati keseronokan bermain air juga.

Akhir sekali, ingatlah untuk menyediakan dan membawa barang keperluan seperti baju renang, tuala dan salinan pakaian. Bawa snek sihat kerana anda dan bayi mungkin lapar selepas setiap sesi renang.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen