Pengasuhan Positif

Ruam Bayi Baru Lahir

Kulit bayi baru lahir (0-30 hari) melalui pelbagai perubahan pada bulan pertama. Kulit mereka lebih sensitif berbanding orang dewasa, menjadikannya lebih cenderung untuk mengalami ruam. Kebanyakan ruam di kalangan bayi baru lahir adalah disebabkan oleh penyesuaian fisiologi normal yang berlaku pada kulit bayi baru lahir terhadap persekitaran baharu. Mujurlah, ruam ini biasanya pulih sendiri serta tidak berbahaya dan tidak memerlukan sebarang rawatan khusus. Bagaimanapun, jika keadaan bertambah buruk atau simptom serius lain muncul, seperti demam atau kehilangan selera, rujuklah dengan doktor kanak-kanak untuk pemeriksaan.

Ruam bayi baru lahir yang lazim

Jenis ruam
Jerawat bayi (neonatal acne)
Jerawat bayi (neonatal acne)
Jerawat bayi (neonatal acne)

Jerawat kecil berwarna putih atau merah tumbuh di pipi, hidung, dan dahi bayi. Jerawat ini mungkin muncul ketika dilahirkan atau dalam lingkungan sebulan dan biasanya akan hilang tanpa perlukan sebarang rawatan. Jerawat ini adalah kesan hormon yang dipindahkan daripada ibu pada akhir kehamilan.

Cara pengurusan: Basuh muka bayi dengan air dan sabun bayi yang lembut. Sapukan pelembap yang lembut. Jangan gunakan ubat jerawat biasa dari kedai atau losyen yang berminyak.

Dermatitis seborea (cradle cap)
Dermatitis seborea (cradle cap)
Dermatitis seborea (cradle cap)

Kulit bayi yang mengalami keruping (flaky) yang kekuningan dan berminyak, di bahagian kepala, leher, telinga, kening, ketiak, dan kadangkala di kawasan lampin (sebagai ruam lampin). Dermatitis seborea berlaku seawal 2 minggu kelahiran dan surut paling lewat ketika 1 tahun. Ia bukan kerana alergi atau kekotoran. Kadangkala, mungkin boleh menjadi ekzema di bahagian lipatan tubuh.

Cara pengurusan: Basuh rambut bayi dengan air dan syampu bayi yang lembut. Boleh juga gunakan minyak bayi untuk membasahkan keruping sebelum menyikatnya dengan lembut semasa membasuh.

Eritema toksikum
Eritema toksikum
Eritema toksikum

Tompokan kecil merah yang selalunya muncul di tubuh, muka, dan anggota badan. Selalunya ia muncul pada 2-5 hari selepas kelahiran dan hilang dalam beberapa minggu. Ruam seperti ini tidak mengganggu bayi.

Cara pengurusan: Tiada rawatan khusus diperlukan. Basuhan lembut dengan sabun bayi mungkin membantu.

Ruam panas (miliaria)
Ruam panas (miliaria)
Ruam panas (miliaria)

Bintil kecil kemerahan yang muncul di mana-mana bahagian badan tetapi biasanya di belakang, kepala dan kawasan leher. Ia berlaku mungkin kerana kelenjar peluh yang terhalang. Persekitaran yang panas dan lembap, atau pemakaian terlalu tebal mungkin akan memburukkan lagi ruam panas.

Cara pengurusan: Pastikan kawasan yang terkena ruam sentiasa kering dan pastikan bayi berada dalam persekitaran yang sejuk. Pakaikan bayi pakaian yang ringan dan longgar.

Ruam lampin
Ruam lampin
Ruam lampin

Ini adalah ruam merah dengan keradangan di kawasan lampin dan biasanya berlaku kepada bayi bawah setahun atau yang memakai lampin. Ia disebabkan oleh kawasan lampin yang terdedah lama kepada kencing atau najis bayi serta jangkitan bakteria atau yis.

Cara pengurusan: Pastikan kawasan lampin sentiasa kering dan bersih dengan menukar lampin sekerap mungkin. Bersihkan dengan air, lap kering dan sapu lapisan ubat semasa menukar lampin. Rujuklah doktor anda jika ruam ini tidak beransur pulih. Doktor mungkin akan memberikan krim anti fungus atau antibiotik jika terdapat sebarang jangkitan.

Hiperplasia sebum neonatal
Hiperplasia sebum neonatal
Hiperplasia sebum neonatal

Ini adalah bintik kecil kekuningan pada hidung, pipi, dan dahi. Ia berlaku akibat pertumbuhan kelenjar sebum berlebihan disebabkan oleh hormon ibu. Biasanya muncul pada minggu pertama.

Cara pengurusan: Tiada rawatan diperlukan. Ia akan pulih dalam beberapa minggu.

Bilakah anda harus bimbang?

Ruam yang diterangkan di atas biasanya tidak berbahaya dan akan beransur pulih dalam beberapa minggu tanpa sebarang rawatan. Bagaimanapun, jika keadaan menjadi semakin serius atau terlalu lama, rujuklah pakar pediatrik anak anda untuk diagnosis dan rawatan yang sebetulnya.

Ruam kulit lain yang mungkin anda perlu rujuk kepada pakar pediatrik termasuklah gegata (hives) pada kulit yang mungkin menunjukkan respons alergi terutamanya terhadap makanan. Doktor anda boleh membantu mengenal pasti alergen yang betul. Ruam yang disertai simptom lain seperti demam, kepedihan, dan kehilangan selera atau mudah terganggu, mungkin petanda jangkitan kulit seperti impetigo atau malahan jangkitan serius atau berbahaya seperti meningitis.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen