Pengasuhan Positif

Mencegah Kerosakan Gigi & Gingivitis pada Kanak-kanak

Senyuman seorang anak adalah ciri berharga yang mencerminkan kebahagiaan dan kesejahteraannya. Sebagai ibu bapa, senyuman tersebut perlu dilindungi bukan hanya dengan kerap memberus gigi. Memahami masalah gigi yang sering menjejaskan kanak-kanak, seperti kerosakan gigi dan gingivitis, serta mengetahui cara mencegah dan merawat masalah-masalah ini adalah penting untuk mengekalkan kesihatan mulut anak anda.

Masalah gigi yang sering terjadi

Kerosakan gigi, yang juga dikenali sebagai karies atau kaviti gigi, berlaku apabila bakteria dalam mulut menghasilkan asid yang menghakis enamel selepas pendedahan berterusan pada makanan dan minuman manis yang berlebihan. Gingivitis, satu peringkat awal penyakit gusi, melibatkan keradangan dan pendarahan gusi akibat pembentukan plak. Kedua-dua keadaan ini disebabkan oleh kebersihan mulut yang tidak bagus.

Jika kerosakan gigi dan gingivitis tidak ditangani dengan segera, ia boleh menyebabkan komplikasi yang serius. Gigi rosak yang tidak dirawat boleh menyebabkan kesakitan dan kesukaran mengunyah dan makan. Kerosakan gigi yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan jangkitan, abses, dan menyebabkan gigi dicabut. Gingivitis, jika diabaikan, boleh menjadi periodontitis, iaitu penyakit gusi yang lebih serius yang boleh merosakkan tisu lembut dan tulang yang menyokong gigi, sehingga menyebabkan kehilangan gigi.

Rawatan dan pencegahan

Pemeriksaan gigi boleh jadi menakutkan bagi kebanyakan kanak-kanak, terutamanya bagi yang mempunyai keresahan. Pengalaman yang menyakitkan atau buruk pada masa lalu mungkin menyebabkan mereka gelisah. Ibu bapa berperanan penting dalam membentuk sikap anak mereka terhadap pemeriksaan gigi. Kanak-kanak biasanya meniru kelakuan orang dewasa, jadi anda perlu bertenang dan bercakap secara positif tentang doktor gigi untuk mencipta suasana yang menenangkan.

Bagi ibu bapa yang mencari penjagaan pergigian khas untuk anak mereka, doktor gigi pediatrik adalah pilihan yang baik. Para pakar ini menumpukan pada rawatan kanak-kanak dan memastikan mereka mendapat penjagaan yang sesuai, baik secara fizikal mahupun emosi. Doktor gigi pediatrik memahami ketakutan dan cabaran unik yang mungkin dihadapi oleh kanak-kanak dan boleh menyediakan persekitaran yang selesa dan mesra kanak-kanak untuk pesakit kecil mereka.

Bagi pesakit yang lebih mudah resah, pilihan seperti pemberian sedatif dan anestesia umum boleh menjadikan rawatan lebih selesa dan bebas tekanan. Kaedah-kaedah ini memastikan agar penjagaan pergigian yang diperlukan boleh diberi tanpa menyebabkan tekanan yang tidak sepatutnya ke atas kanak-kanak.

Namun, pencegahan adalah strategi terbaik untuk menjaga kesihatan mulut anak anda. Berikut adalah beberapa tip penting untuk menggalakkan tabiat penjagaan mulut yang baik:

  1. Mewujudkan rutin: Ibu bapa perlu memberus gigi anak-anak sebaik sahaja gigi mereka tumbuh, dengan hanya sedikit sapuan ubat gigi berfluorida. Apabila anak anda berumur 3 tahun, gunakan jumlah ubat gigi sebesar kacang pis. Ajarkan anak anda untuk memberus gigi dua kali sehari sekurang-kurangnya selama 2 minit, sambil memastikan semua permukaan gigi diberus. Galakkannya meludah keluar ubat gigi selepas memberus, bukannya berkumur dengan air, supaya fluorida boleh melindungi gigi. Tetapkan pemasa, dan bagi kanak-kanak kecil, jadikannya menyeronokkan!
  2. Penggunaan fluorida: Pastikan anak anda menggunakan ubat gigi yang mengandungi sekurang-kurangnya 1000 ppm fluorida, kerana kepekatan fluorida yang betul boleh menguatkan enamel dan membantu mencegah kerosakan gigi.
  3. Diet sihat: Hadkan jumlah dan kekerapan pengambilan snek dan minuman bergula. Galakkan diet seimbang yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, dan produk tenusu yang membekalkan nutrien penting untuk gigi dan gusi yang kuat.
  4. Pemeriksaan gigi berkala: Jadualkan pemeriksaan gigi pertama anak anda menjelang ulang tahun pertamanya untuk membiasakannya dengan persekitaran klinik gigi dan membuatnya selesa. Pastikan anda menjadualkan pemeriksaan gigi setiap enam bulan. Pemeriksaan berkala membolehkan doktor gigi memantau kesihatan mulut anak anda, melakukan pembersihan profesional, dan mengenal pasti masalah awal.

Dengan menggalakkan tabiat pergigian yang baik sejak awal, anda boleh membantu memastikan gigi anak anda kekal kuat dan sihat, lalu membolehkannya tersenyum dengan yakin sepanjang hayat. Intervensi awal dan langkah pencegahan yang berterusan juga merupakan kunci untuk mengekalkan kesihatan gigi dan gusi seumur hidup. Untuk nasihat dan penjagaan yang khusus, sentiasa berunding dengan doktor gigi anda untuk menangani keperluan pergigian anak anda yang unik.

Langgani surat berita pengasuhan kami.