Pengasuhan Positif

Minuman Tenaga untuk Ketagihan Kafein?

Kerja sekolah, kelas tusyen, tarikh akhir, peperiksaan, dan tidur lewat malam. Tidak hairanlah anak remaja anda ketagihkan kafein dan bertukar daripada minuman kopi ke minuman tenaga yang lebih mudah dapat dan mampu beli!

Apakah itu minuman tenaga?

Minuman tenaga adalah minuman yang mengandungi kafein, taurina, vitamin, dan suplemen herba serta gula atau pemanis. Ia selalunya mengandungi aditif seperti guarana, kacang kola, yerba mate dan koko. Ramuan utama di dalam minuman tenaga adalah kafein. Kebanyakan minuman tenaga di pasaran kini mengandungi 70-80 mg kafein dalam setiap sajian 8 auns (236.58 ml), iaitu 3 kali ganda lebih daripada amaun di dalam minuman kola.

Minuman tenaga dikatakan boleh meningkatkan tenaga, stamina, prestasi atlet, daya tumpuan dan membantu menurunkan berat badan. Oleh yang demikian, ia popular di kalangan remaja masa kini, tambahan pula, ia mudah didapati di mana-mana kedai serbaneka atau pasaraya.

Adakah ini bermaksud bahawa minuman tenaga berbahaya? Walaupun minuman tenaga tidak semestinya berbahaya, ia tidak memberi sebarang kebaikan kesihatan dan pengambilan berlebihan boleh memudaratkan. Ia mungkin membantu menghilangkan rasa mengantuk di waktu pagi tetapi akhirnya tubuh anak remaja anda akan bergantung padanya untuk berfungsi secara normal.

Tahukah anda?

Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) tidak menghadkan kandungan kafein di dalam minuman tenaga kerana ia diklasifikasikan sebagai suplemen pemakanan. Namun, FDA dengan tegasnya menasihatkan pengguna bahawa produk-produk yang dipasarkan sebagai “perangsang tenaga” atau “minuman tenaga” tidak seharusnya menggantikan rehat atau tidur.

Apakah kesan sampingan minuman tenaga?

Berikut adalah kesan sampingan pengambilan minuman tenaga secara berlebihan, daripada yang paling kerap berlaku hingga yang paling jarang berlaku yang dikumpulkan oleh Pusat Racun Australia:-

  1. Palpitasi/ takikardia
  2. Menggeletar/ menggigil
  3. Agitasi/ keresahan
  4. Gangguan usus (cirit birit/sembelit)
  5. Sakit dada
  6. Pening
  7. Paraestesia (sensasi sesemut, geli, atau kebas di kulit)
  8. Insomnia/ gangguan tidur
  9. Sukar bernafas
  10. Sakit kepala

Minuman tenaga mungkin tidak menyebabkan kesan buruk bila diambil dengan sederhana dalam jangka masa pendek, tetapi kesan sampingan jangka masa panjang akibat pengambilan minuman tenaga secara berlebihan masih belum diketahui. Walaubagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa mereka yang mengambil minuman tenaga, lebih cenderung kepada tingkah laku berisiko tinggi, termasuk penyalahgunaan dadah, mengambil risiko seksual, terlibat dengan pergaduhan, tidak memakai tali pinggan keledar dan mengambil risiko apabila dicabar. Kemungkinan besar mereka juga merokok dan meminum alkohol.

Kandungan gula di dalam minuman tenaga adalah tinggi. Kebiasaannya, terdapat 54 g gula di dalam tin 500 ml minuman tenaga, iaitu bersamaan dengan 13 sudu teh gula. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dalam sehari pengambilan gula ringkas tidak seharusnya melebihi 10% daripada jumlah pengambilan tenaga seseorang untuk mengawal masalah obesiti atau kerosakan gigi. Dengan pengambilan minuman tenaga yang berpanjangan, anak remaja anda mempunyai risiko tinggi mengidap obesiti dan seterusnya penyakit diabetes.

Apakah gula ringkas?

Ia termasuk monosakarida seperti glukosa dan fruktosa; dan disakarida seperti sukrosa dan laktosa. Ia selalunya ditambahkan ke dalam makanan oleh pengilang, tukang masak dan juga konsumer itu sendiri. Gula ringkas juga terdapat secara semula jadi di dalam madu, jus dan pati buah-buahan.

Oleh itu, jika anak remaja anda adalah di antara yang suka berjaga malam dan memerlukan kafein di waktu pagi, ingatlah bahawa walaupun minuman tenaga yang diambil secara sedikit dikatakan selamat, ianya masih boleh memudaratkan tubuh jika diambil dalam jangka masa panjang atau secara berlebihan. Bantulah anak remaja anda untuk mengurangkan pengambilan kafeinnya secara beransur-ansur kerana dia mungkin mengalami sakit kepala yang teruk jika pengambilan kafeinnya dikurangkan secara mendadak.

Adalah penting bagi ibu bapa untuk sentiasa mengetahui apa yang diambil oleh anak-anak mereka. Sebelum anak remaja anda mula mangambil minuman tenaga, pastikan mereka mengetahui kesan-kesan sampingannya. Minuman tenaga harus diambil secara sederhana oleh semua orang, terutamanya remaja. Kanak kanak tidak digalakkan untuk mengambil minuman tenaga kerana kandungan kafeinnya yang tinggi lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai masalah kesihatan.

Dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen