Pengasuhan Positif

Kepentingan dan Keperluan Vaksinasi Remaja

Program vaksinasi disediakan untuk melindungi kanak-kanak daripada pelbagai penyakit. Ini juga termasuk program vaksinasi untuk remaja, yang jarang diberi perhatian. Penting bagi ibu bapa untuk memahami kenapa remaja juga perlu divaksin, apakah vaksin yang perlu mereka terima dan kepentingan vaksinasi.

Kenapa remaja perlu divaksin?

  • Mengurangkan risiko jangkitan – Umumnya, bayi dan warga emas terdedah kepada jangkitan serius. Ini tidak bermakna yang remaja selamat sepenuhnya. Remaja juga perlu divaksin untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan serius.
  • Selamat dan berkesan – Vaksin terbukti selamat dan berkesan untuk melindungi diri daripada ‘penyakit boleh dicegah vaksin’ (vaccine-preventable diseases, VPD). Jika remaja pergi ke tempat yang endemik dengan VPD tertentu, dia terdedah kepada risiko jangkitan. Vaksinasi boleh mengurangkan risiko ini.
  • Lindungi orang lain – Apabila remaja dijangkiti penyakit, orang di sekitar mereka juga berisiko dijangkiti. Ini berbahaya jika jangkitan tersebar kepada seseorang yang rentan terhadap jangkitan serius. Vaksinasi bukan sahaja melindungi orang yang divaksin, malah orang lain di sekeliling mereka.
  • Lindungi generasi masa hadapan – Pematuhan berterusan terhadap program vaksinasi akhirnya akan menghapuskan pelbagai penyakit yang ada hari ini. Generasi masa hadapan tidak perlu risau lagi tentang VPD yang kita hadapi ketika ini.
  • Remaja juga berisiko – Remaja, terutamanya yang merancang untuk tinggal di asrama, berisiko tinggi dijangkiti. Jangkitan boleh tersebar mudah di asrama yang padat atau di tempat tertutup di mana pelajar sering bersosial. Vaksinasi boleh mengurangkan risiko ini.

Vaksin berjadual untuk remaja di Malaysia

Vaksin Papilomavirus (Human Papillomavirus, HPV) – gadis remaja

Vaksin HPV disertakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) dan membantu mencegah penyakit barah berpunca daripada virus tersebut, terutamanya barah serviks. Vaksin ini dijadualkan untuk gadis berumur 13 tahun. Dua dos diberi: dos pertama pada umur 13 tahun dan dos kedua enam bulan selepas dos pertama.

Dos Penggalak Tetanus Toksoid (ATT)

Vaksin ATT ialah suntikan penggalak yang disertakan dalam PIK Malaysia yang membantu meningkatkan imuniti terhadap penyakit tetanus. Sejumlah enam dos vaksin dalam PIK diberi terhadap tetanus. Tiga dos utama diberi pada umur 2, 3 dan 5 bulan (sebahagian daripada vaksin heksavalen). Kemudian, tiga dos penggalak diberi pada umur 18 bulan (vaksin heksavalen), 7 tahun (vaksin dT) dan 15 tahun (vaksin ATT). Terdapat juga vaksin Tdap baru yang melindungi daripada difteria dan batuk kokol untuk remaja dan orang dewasa.

Vaksin lain yang disarankan kepada remaja di Malaysia

Vaksin Konjugat Meningokokus (MenACWY)

Vaksin MenACWY melindungi daripada empat jenis bakteria meningokokus iaitu A, C, W-135 dan Y, yang menyebabkan penyakit meningokokus. Ia disarankan kepada pengembara ke negara di mana penyakit meningokokus adalah endemik (cth: Afrika sub-Sahara), sekurangnya dua minggu sebelum berangkat. Vaksin ini boleh diambil seawal umur 6 minggu. Bagi kanak-kanak berumur lebih 12 bulan, serta remaja dan orang dewasa, hanya satu dos yang diperlukan.

Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV)

PCV melindungi daripada pelbagai strain S. pneumoniae yang menyebabkan penyakit pneumokokus. Bermula Disember 2020, vaksin pneumokokus telah diperkenalkan dalam PIK Malaysia dan dijadualkan untuk bayi. Satu dos juga disarankan bagi remaja berisiko tinggi, warga emas berumur 65 tahun ke atas, dan orang dewasa yang mempunyai penyakit lain.

Vaksin Influenza (Flu)

Vaksin influenza melindungi daripada virus influenza. Semua orang berumur lebih 6 tahun disarankan untuk mendapatkannya setiap tahun, terutamanya bagi golongon berisiko tinggi, kerana virus ini kerap berubah.

Dos Penggalak Difteria-Tetanus-Pertusis (Tdap)

Vaksin Tdap dikenali sebagai dos penggalak bagi vaksinasi difteria-tetanus-pertusis (DTaP) yang dijadualkan untuk kanak-kanak dalam PIK Malaysia. Satu dos vaksin ini disarankan untuk remaja dan orang dewasa jika kali terakhir mereka mengambil dos utama atau penggalak adalah 10 tahun lalu atau lebih. Ibu bapa boleh memilih untuk memberi anak mereka Tdap sebagai alternatif kepada ATT untuk perlindungan tambahan.

Obesiti, faktor risiko kardiovaskular dan diabetes juga makin meningkat di kalangan remaja Malaysia. Ini membuatkan remaja lebih berkemungkinan mendapat komorbiditi (menghidap dua atau lebih penyakit pada masa yang sama). Remaja dengan komorbiditi berisiko tinggi mendapat jangkitan serius. Vaksinasi boleh membantu mengurangkan risiko ini dan mencegah komplikasi serius.

Contohnya, remaja dengan komorbiditi boleh terdedah kepada jangkitan pneumokokus yang serius. Ini meningkatkan risiko komplikasi teruk seperti pneumonia, meningitis dan septisemia (jangkitan kuman pada paru-paru, selaput otak dan darah). Pengambilan PCV boleh mengurangkan risiko ini.

Mencegah sentiasa lebih baik daripada merawat. Pastikan anak remaja anda menerima vaksinasi sewajarnya pada masa yang tepat bagi menjamin kesihatan mereka pada jangka panjang.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen