Pengasuhan Positif

Memupuk Kestabilan: Pengasuhan Bersama Selepas Bercerai

Perceraian adalah perjalanan yang mencabar, terutamanya apabila melibatkan anak-anak. Namun, ia tidak perlu menjadi jalan yang dipenuhi rintangan. Walaupun mungkin tidak sentiasa lancar, dengan strategi pengasuhan bersama (co-parenting) yang baik, ibu bapa masih boleh membina persekitaran yang stabil dan menggalakkan untuk anak-anak mereka selepas perceraian.

Kesan kepada anak-anak

Perceraian boleh memberi kesan mendalam kepada anak-anak dari segi fizikal, emosi, psikologi dan akademik. Pada peringkat awal, apabila anak-anak mengetahui apa yang berlaku, selera makan dan rutin tidur mereka mungkin terjejas. Anak-anak juga mungkin berasa kehilangan, keliru, dan tidak selamat semasa dan selepas perceraian. Kegelisahan emosi ini boleh muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk masalah tingkah laku, masalah pembelajaran, dan sukar mempercayai orang lain.

Masalah tingkah laku yang dialami oleh anak-anak selepas perceraian adalah berbeza-beza bergantung kepada faktor seperti umur dan perwatakan anak, serta tahap konflik semasa proses perceraian. Beberapa isu yang biasa dalam kalangan anak-anak dengan ibu bapa yang telah bercerai termasuk berperangai buruk, mengasingkan diri, ketidakstabilan emosi, dan kelakuan berisiko seperti mencuba dadah atau arak, terlibat dengan perilaku liar, atau melanggar peraturan di rumah dan sekolah.

Penyelidikan juga menunjukkan bahawa kesan perceraian ke atas anak-anak boleh berterusan hingga dewasa. Walaupun sesetengah kanak-kanak mungkin menunjukkan daya tahan dan kebolehan menyesuaikan diri, ada juga yang bergelut dengan kesulitan emosi dan interpersonal. Adalah penting bagi ibu bapa untuk mengenal pasti kesan jangka panjang perceraian ke atas anak-anak dan memberikan sokongan dan bimbingan berterusan apabila perlu. Selain itu, khidmat profesional daripada pakar kesihatan mental yang dipercayai (cth. kaunselor, pakar psikologi klinikal, pakar terapi perkahwinan dan keluarga) juga bermanfaat untuk membantu mereka mengatasi cabaran ini.

Mengurangkan kesan negatif

Walaupun perceraian pasti membawa perubahan, ibu bapa boleh mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kesan negatif ke atas anak-anak mereka. Paling penting, ibu bapa perlu utamakan kebajikan anak-anak berbanding perkara lain. Galakkan komunikasi secara terbuka, fahami perasaan mereka, dan yakinkan mereka bahawa mereka disayangi dan disokong oleh kedua ibu bapa walaupun terdapat perubahan dalam struktur keluarga. Ibu dan bapa perlu saling bekerjasama untuk konsisten dalam disiplin, peraturan, dan jangkaan kerana ini boleh memupuk kestabilan. Ketika ini, sokongan daripada pakar terapi keluarga atau kumpulan sokongan khusus bagi pengasuhan bersama amat berguna. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak kurang terkesan secara negatif akibat perceraian apabila kedua-dua ibu bapa terlibat dalam membesarkan mereka dan bekerjasama dalam pengasuhan.

Menguruskan pengasuhan bersama

Komunikasi yang berkesan dan kerap antara ibu dan bapa adalah penting. Kedua-dua ibu bapa harus mengutamakan komunikasi secara terbuka dan saling menghormati tentang keperluan, jadual, dan kebimbangan anak-anak mereka. Dengar soalan daripada anak-anak agar mereka rasa didengari dan difahami, serta bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. Tetapkan rutin yang konsisten agar anak-anak rasa selamat dan terkawal walaupun banyak perubahan yang berlaku. Guna kaedah seperti berkongsi kalendar atau aplikasi pengasuhan bersama untuk menyelaraskan jadual secara cekap. Menurut kajian, mengekalkan hubungan kerjasama bagi urusan pengasuhan akan memberi kesan lebih baik kepada anak-anak selepas perceraian – mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan secara amnya dan boleh berkembang dengan baik semasa membesar.

Melalui kerjasama, komunikasi, dan kasih sayang, ibu bapa boleh menempuh kesulitan yang dialami dalam pengasuhan bersama selepas perceraian di samping menjamin kesejahteraan emosi anak-anak. Ingatlah, walaupun perceraian mungkin menandakan berakhirnya perkahwinan, ia tidak seharusnya menandakan berakhirnya pengasuhan yang baik. Ibu dan bapa boleh sama-sama membina jalan baru yang penuh dengan kasih sayang, kefahaman dan daya tahan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.