Pengasuhan Positif

5 Perkara yang Berlaku Selepas Perkahwinan Anda

Ramai pasangan yang berkahwin mengharapkan kebahagiaan sepanjang hayat. Malangnya, apabila keseronokan daripada perkahwinan anda reda, anda akan mula menyedari bahawa “bahagia selama-lamanya” tidak semuanya menjadi seperti yang diharapkan.

Tiba-tiba anda sedar terdapat bil-bil untuk dibayar, mulut untuk disuap dan longgokan pakaian untuk dibasuh yang tidak berkesudahan. Di tengah-tengah kekeliruan ini, anda juga akan mula menemui perkara-perkara lain mengenai pasangan anda yang anda tidak ketahui.

Dengan pantas anda akan menyedari bahawa perkahwinan bukanlah suatu kisah dongeng. Sebaliknya, ia adalah satu proses pembelajaran yang berterusan dan memerlukan kejujuran, kepercayaan serta usaha yang tinggi untuk menjayakannya.

Lima perkara yang boleh berlaku apabila anda berkahwin:

  1. Anda meneruskan kehidupan “bujang”.Kita semua boleh menggunakan sedikit “masa untuk bersendirian” atau keluar pada waktu malam untuk berhibur dengan rakan-rakan. Tetapi, mengenepikan pasangan anda daripada menyertai aktiviti tersebut untuk tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan mereka berasa kecewa dan tidak disayangi. Anda boleh melibatkan pasangan anda dengan memilih satu hobi atau aktiviti yang boleh anda lakukan bersama-sama seperti pergi ke gimnasium atau kelas tarian.
  2. Anda berhenti berkomunikasi.Sepanjang perkahwinan anda, perkara seperti ini kadang-kadang boleh berlaku. Pasangan akan berhenti bercakap diantara satu sama lain. Ini tidak dapat dibantu sekiranya anda sering menggunakan telefon pintar atau tablet. Perlu diingatkan bahawa perkahwinan adalah jalan dua hala. Pasangan perlu sentiasa berusaha untuk kekal terlibat dalam kehidupan masing-masing. Anda boleh mula melakukan ini dengan mengenepikan gajet anda dan mula berinteraksi antara satu sama lain.
  3. Anda berhenti memikat satu sama lain.Tidak dapat tidak, anda akan bosan dengan rutin lama. Lama kelamaan, perkahwinan anda akan hilang “keseronokannya” dan anda mungkin akan lupa apa yang membawa anda berdua ke alam perkahwinan. Cari semula rangsangan tersebut dengan melalui pengalaman baru atau luar biasa bersama-sama dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan seperti menyelam skuba, mendaki gunung, mengembara atau pergi ke restoran yang membolehkan anda makan dan minum dalam gelap.
  4. Anda berhenti memuji satu sama lain.Salah satu cara yang paling mudah dan senang untuk mengekalkan hubungan cinta yang terus membara adalah dengan memuji pasangan anda. Seperti yang dinyatakan oleh Mark Twain, “Seseorang boleh terus hidup dengan pujian yang baik selama dua bulan!” Ini mungkin kedengaran sedikit basi tetapi dengan membuatkan pasangan anda berasa baik mengenai diri mereka mungkin juga akan membuatkan anda merasa baik mengenai diri anda. Maka, apabila pasangan anda menukar gaya rambut baru pada masa hadapan, anda tahu apa yang perlu dilakukan.
  5. Anda memberi lebih tumpuan kepada perkara yang tidak baik.Si suami bekerja terlalu keras dan kurang meluangkan masa dengan anak-anak. Si isteri memiliki terlalu banyak kasut dan menyediakan masakan yang tidak sedap. Jika anda sentiasa mencari kesalahan pasangan anda, ini adalah masanya untuk anda berhenti! Jangan biarkan perasaan marah menguasai perkahwinan anda. Sebaliknya, fokus kepada perkara-perkara baik yang menyatukan anda bersama. Jika sikap pasangan atau tabiat tingkah laku mereka mengganggu anda, bercakaplah dengan mereka mengenainya. Berlaku jujur antara satu sama lain akan menyelesaikan sesuatu perkara dengan lebih cepat.

Sepanjang hidup bersama, pasangan akan menemui banyak pengalaman. Akan ada saat-saat gembira seperti mendapat anak, mendapat kenaikan pangkat atau makan malam yang romantik sempena ulang tahun. Di sepanjang perjalanan, anda juga akan menghadapi gelora yang akan sering berlaku termasuklah masalah kewangan dan tekanan emosi. Sebagai pasangan, harungi gelora ini dan kejayaan menempuhinya akan membuatkan anda menjadi lebih kuat daripada sebelumnya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen