Pengasuhan Positif

Segalanya Tentang Alahan

Selepas pulang daripada melawat rumah saudara, bayi anda mula batuk, sesak nafas dan berdehit (wheezing). Anda teringat yang dia ada bermain dengan kucing di rumah yang dilawat tadi. Mungkinkah ini tindak balas alahan?

Apakah itu alahan?

Alahan atau alergi adalah tindak balas tubuh kepada bendasing (alergen), seperti debunga, habuk atau kelemumur haiwan, yang biasanya tidak berbahaya dan tidak mencetuskan sebarang tindak balas bagi kebanyakan orang. Gelaja alahan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti alahan makanan, dermatitis atopik, rinitis (resdung) atau asma. Dianggarkan seramai 30-40% penduduk seluruh dunia mengalami penyakit alahan.

Apakah punca alahan?

Alahan berlaku apabila sistem imun kita bertindak balas berlebihan terhadap bendasing (alergen) dan menyebabkan penghasilan secara mendadak antibodi imunoglobulin E (IgE). Antibodi ini berikutnya mengikat pada alergen tersebut lalu merangsang sel mast (sejenis sel imun) yang berada dalam kulit, salur pernafasan dan usus untuk merembeskan histamin dan pelbagai protein lain yang menyebabkan tindak balas alahan.

Antara alergen biasa yang boleh mencetuskan tindak balas alahan adalah:

  • Alergen persekitaran/udara, seperti debunga, kelemumur haiwan, hama debu dan kulapuk

  • Sesetengah makanan, seperti kacang, gandum, soya, udang, telur dan susu lembu

  • Sengat serangga, seperti lebah, tebuan, semut api

  • Getah atau bahan lain yang bersentuhan dengan kulit

  • Ubatan, seperti antibiotik, antikonvulsan (ubat sawan), NSAID, ubat kemoterapi

Apakah gejala tindak balas alahan?

Gejala alahan bergantung pada jenis alergen dan bahagian tubuh yang terlibat. Tindak balas alahan boleh menjejaskan saluran pernafasan, saluran sinus dan hidung, kulit atau sistem penghadaman. Berikut adalah gejala alahan yang mungkin dialami:

Awas dengan anafilaksis!

Kadang-kadang, tindak balas alahan boleh menyebabkan keadaan yang sangat serius dan boleh menyebabkan maut yang dikenali sebagai anafilaksis, dengan gejala seperti:

  • Tidak sedarkan diri (pengsan)
  • Tekanan darah rendah
  • Sesak nafas
  • Kekurangan oksigen
  • Ruam kulit
  • Pitam
  • Loya dan muntah-muntah

Ini merupakan satu kecemasan yang mengancam nyawa dan memerlukan rawatan segera!

Bagaimana kita boleh menangani alahan dalam kanak-kanak?

  • Elakkan alergen/pencetus. Ambil langkah-langkah sebaik mungkin untuk mencegah anak terdedah kepada alergen yang diketahui. Contohnya, jangan benarkan anak bermain dengan kucing jika dia alah kepada kelemumur kucing.
  • Pakai gelang atau rantai pengenalan kesihatan. Ini supaya sesiapa yang membantu anak anda sedar tentang alahannya jika berlaku tindak balas teruk dan anda tiada bersamanya.
  • Rawatan dengan ubatan. Ubatan seperti antihistamin, pelega hidung tersumbat (decongestant), penyembur hidung dan ubatan asma boleh melegakan gejala apabila tindak balas alahan terjadi.
  • Bagi kanak-kanak dengan sejarah tindak balas alahan teruk dan anafilaksis, suntikan epinefrin kecemasan (EpiPen) harus sentiasa tersedia. Ia sejenis alat yang mudah digunakan untuk memberikan ubatan epinefrin dengan segera jika berlaku tindak balas alahan teruk supaya dapat menyelamatkan nyawanya. Pastikan anda tahu cara penggunaan alat tersebut.

Jika anda mengesyaki anak anda mempunyai alahan, jangan risau. Bincanglah dengan doktor anak anda untuk memahami alahan tersebut dan mendapatkan pelan aturan rawatan untuk gejala alahan yang mungkin dialaminya. Dengan mengambil langkah prihatin untuk menangani alahan tersebut, ia tidak akan lagi menjadi penghalang bagi si manja untuk terus maju dalam hidup.

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen