Pengasuhan Positif

Bersedia ke Sekolah Semasa Norma Baharu

Ramai kanak-kanak sekolah serta ibu bapa mungkin akan sedikit keliru apabila tahun baru persekolahan bermula pada Mac 2023 nanti, kerana di Malaysia, sekolah biasanya bermula pada Januari selepas cuti panjang di hujung tahun. Bagi mengelakkan masalah, lebih baik jika persediaan awal diambil oleh ibu bapa.

Persediaan untuk ke sekolah

Walaupun arahan memakai pelitup muka telah dilonggarkan pada September lepas dan kehidupan mula kembali ke rentaknya yang asal, kanak-kanak (dan ibu bapa!) mungkin masih tertanya-tanya tentang COVID-19 dan kesannya ke atas kita semua.

Pelbagai tindakan boleh diambil untuk melakukan persediaan. Anda boleh melawat sekolah anak anda dan bertanya kepada pihak pentadbiran mengenai peraturan dan dasar terbaru mengenai kesihatan dan kebersihan di sekolah. Setiap sekolah mungkin berbeza, jadi lebih baik jika anda pastikan dengan pihak sekolah jika pelitup muka masih diwajibkan dan sama ada pelajar masih perlu mengamalkan penjarakan fizikal.

Selain itu, anda boleh menyediakan jadual harian untuk anak anda sebelum tahun baru persekolahan bermula. Cuba masukkan dalam jadualnya masa dan ruang untuk dia berehat dan berinteraksi dengan anda tentang masalah yang dihadapi serta berbincang cara mengatasinya. Jadikan rutin harian untuk meluangkan masa bersama anak bagi mengambil tahu apa yang anak anda lakukan saban hari.

Jangan lupa untuk menyediakan kelengkapan yang anak anda perlukan, seperti pakaian seragam, buku latihan dan rujukan, alat tulis, serta peralatan seni. Mulakan rancangan sajian bersama anak anda dan sertakan sajian dan snek sihat yang dia gemari. Anda juga mungkin boleh merancang percutian keluarga lebih awal, kerana jadual cuti mungkin sedikit berbeza berbanding tahun-tahun lepas.

Kepentingan kesihatan

Dari segi kesihatan, tahun baru merupakan masa terbaik untuk menilai kesihatan keluarga dan mendapatkan suntikan vaksin penting yang anak anda perlukan. Sebagai sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan, anak anda mungkin perlu mendapatkan suntikan berikut jika dia berada di Darjah 1, atau Tingkatan 1 atau 3:

  • 7 tahun: difteria-tetanus (dT)
  • 13 tahun (perempuan): HPV (2 dos)
  • 15 tahun: tetanus (ATT)

Selain itu, ibu bapa juga boleh mendapatkan suntikan flu tahunan untuk anak-anak. Vaksin flu merupakan pertahanan terbaik terhadap influenza dan mengurangkan penyebaran kepada orang lain. Ia juga mengurangkan jatuh sakit, temujanji dengan doktor serta ketidakhadiran ke sekolah. Vaksin cacar air (varisela-zoster) juga disarankan kepada kanak-kanak kerana sekolah merupakan tempat di mana berlakunya sentuhan rapat antara mereka. Kanak-kanak yang tidak pernah dijangkiti cacar air terdedah kepada jangkitan tersebut. Rujuk pakar kesihatan untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksin yang disarankan untuk kanak-kanak.

Awal tahun juga masa terbaik untuk mengingatkan anak anda tentang amalan kebersihan yang baik, seperti membasuh tangan dengan betul, serta etika bersin/batuk yang baik, contohnya, batuk dan bersin ke dalam tisu dan membuangnya dengan betul.

Selain itu, pantau penanda perkembangan dan kebolehan belajar anak anda untuk mengesan sebarang masalah, yang kemudiannya boleh dibincangkan dengan guru dan pakar kesihatan. Kesihatan mental juga membimbangkan selepas pandemik, oleh itu perhatikan sebarang tanda atau kelakuan bermasalah dalam anak anda agar ia boleh ditangani dengan awal.

Ibu bapa juga perlu mengamalkan komunikasi terbuka dengan anak-anak dan menjadikan satu amalan untuk berbincang tentang sekolah dan apa-apa kerisauan yang mereka hadapi. Semua langkah-langkah ini akan membolehkan anda membantu anak anda bersedia apabila dia kembali ke sekolah pada tahun baru kelak.

Senarai kembali ke sekolah

Berikut satu senarai ringkas agar anda tidak terlepas apa-apa perkara sebelum sekolah bermula:

Sebelum sekolah bermula:

  • Pengangkutan pergi-balik sekolah
  • Jadual sekolah/tuisyen/aktiviti ko-kurikulum
  • Duit belanja
  • Bekal sekolah & snek selepas sekolah
  • Yuran sekolah dan tarikh perlu dibayar
  • Kesihatan anak & vaksinasi

Aktiviti dengan anak anda:

  • Membalut buku sekolah
  • Membeli pakaian seragam, beg, kasut, alat tulis baru
  • Merangka rutin tidur dan bangun pagi
  • Luangkan masa berbual dengan anak anda tentang harinya

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen