Haid, juga dipanggil datang bulan, ialah pendarahan faraj yang berlaku setiap bulan. Haid yang menyakitkan dipanggil “senggugut” atau “dysmenorrhea”.
Apa itu senggugut?
Apabila anak gadis anda mula datang bulan, dia mungkin mengalami senggugut. Kekejangan bawah abdomen, sakit bawah belakang, loya, kembung perut atau sakit kepala adalah antara gejala senggugut, dan dia mungkin menghadapi cabaran menangani gejala-gejala ini.
Senggugut kebiasaannya terjadi disebabkan pengeluaran berlebihan prostaglandin, sejenis bahan yang dihasilkan oleh rahim. Prostaglandin menyebabkan otot rahim menegang dan mengendur bagi menyingkirkan lapisannya setiap bulan, dan ini boleh mengakibatkan kesakitan.
Selalunya, senggugut dialami apabila haid bermula dan boleh berterusan sehingga 2-3 hari, malah lebih lama. Biasanya senggugut akan berkurangan apabila wanita semakin berumur atau selepas melahirkan anak.
Selain itu, terdapat senggugut sekunder yang disebabkan oleh masalah kesihatan lain, seperti penyakit keradangan pelvis atau endometriosis. Jika anak gadis anda mengalami haid yang banyak atau tidak teratur, dia dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan dengan pakar.
Tahukah anda?
Senggugut berbeza daripada sindrom prahaid (premenstrual syndrome, PMS). PMS memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan fizikal seseorang wanita sebelum haidnya datang. Anak anda mungkin menjadi murung, mudah marah atau beremosi ketika ini, tapi ini perkara biasa.
Mengawal kesakitan
Cara termudah untuk anak anda mengawal senggugut adalah dengan ubat tahan sakit seperti ibuprofen atau parasetamol. Jika ubat tahan sakit biasa tidak membantu, minta yang lebih kuat daripada doktor, seperti naproxen.
Pastikan anak anda makan makanan sihat seperti sayur-sayuran, serat dan vitamin, dan sentiasa minum air, cukup tidur dan kekal aktif. Dia mungkin rasa berat untuk bersenam semasa datang bulan, tapi senaman boleh mengurangkan kesakitan. Maka, galakkan senaman aerobik sederhana, seperti berjalan atau berjoging, yang boleh melancarkan perjalanan darah dan menghasilkan endorfin.
Rawatan di rumah
Cuba letakkan pad pemanas atau botol air panas pada perutnya (guna tuala agar tidak tercedera) atau minta anak gadis anda mandi air panas untuk membantu melegakan sakit. Ada juga wanita yang suka berurut (dengan minyak pati) dan mengamalkan kaedah lain seperti yoga dan Pilates.
Akupunktur dan acupressure juga mungkin berkesan. Anak anda juga boleh mencuba ubatan herba seperti teh kamomil, halia dan kayu manis. Namun, rujuklah doktor sebelum mencuba sesuatu yang luar daripada kebiasaan.
Akhir kata, senggugut adalah semulajadi, biasa dan boleh ditangani dengan ubatan dan rawatan rumah. Setiap orang berlainan, jadi cuba cari penyelesaian terbaik untuk anak anda agar dia lebih bersedia berhadapan dengan cabaran bulanannya. Namun, jika anak anda tiba-tiba mengalami sakit yang lebih teruk berbanding biasa, atau jika ada apa-apa yang luar biasa, jumpalah doktor untuk memastikan tiada perkara serius.
Komen