Pengasuhan Positif

Bagaimana Pengimunan Ibu Boleh Mencegah Pertusis Neonatal

Tempoh neonatal (empat minggu pertama selepas lahir) merupakan masa paling berisiko bagi seorang bayi. Antara kerisauan utama pada tempoh ini ialah pertusis neonatal dan pengimunan ibu ketika hamil merupakan strategi pencegahan yang amat disyorkan.

28 hari pertama selepas kelahiran bayi merupakan tempoh paling kritikal kerana ketika inilah corak pemakanan terbentuk dan hubungan ibu bapa dan bayi bermula. Ketika ini juga, risiko jangkitan lebih tinggi, lalu menjadikan bayi lebih terdedah kepada bahaya.

Malah, kebarangkalian bayi untuk meninggal dunia pada bulan pertama lebih tinggi berbanding tempoh lain semasa zaman kanak-kanak. Kadar purata kematian global pada 2019 bagi bayi berumur 1 bulan dan ke bawah ialah 17 kematian per 1,000 kelahiran hidup. Ini lebih tinggi berbanding kebarangkalian kematian bayi berumur antara 1 bulan dan 12 bulan, iaitu 11 kematian per 1,000.

Jangkitan neonatal berbahaya kerana sistem imun bayi baru lahir belum matang sepenuhnya dan lebih terdedah kepada jangkitan. Ia boleh terjadi semasa dalam rahim melalui uri, dalam saluran kelahiran ketika bersalin, atau selepas kelahiran melalui ibu atau orang lain yang dijangkiti. Antara jangkitan yang boleh menyerang kanak-kanak pada tempoh ini ialah HIV, hepatitis B, pertusis dan streptokokus.

Perlindungan ibu

Terdapat dua cara ibu boleh memberi perlindungan pasif daripada patogen kepada bayi mereka pada beberapa minggu terawal kelahiran:
1) Ketika kehamilan: antibodi ibu dipindahkan melalui uri ke janin.
2) Selepas lahir: bayi diberi susu ibu yang mengandungi antibodi.

Pengimunan ibu yang boleh meningkatkan perlindungan ini juga memberikan dua lapis perlindungan kepada ibu dan bayi. Ibu dilindungi daripada penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kesan teruk semasa hamil, manakala bayi dilindungi daripada sebilangan penyakit kritikal semasa tempoh neonatal.

Secara amnya, wanita hamil boleh divaksin dengan vaksin bakteria/virus tak aktif atau vaksin toksoid. immunisasi ibu terhadap pertusis, tetanus dan influenza telah disyorkan secara rutin sebagai sebahagian daripada strategi mencegah jangkitan neonatal. Kajian menunjukkan vaksin ini selamat tanpa kesan sampingan ke atas janin.

Sebaliknya, vaksin bakteria/virus hidup yang dilemahkan, seperti vaksin MMR (beguk, campak, rubela), mungkin berisiko kepada janin, dan oleh itu, tidak disyorkan kepada wanita hamil.

Vaksin Tdap untuk ibu

Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia menjadualkan pemberian vaksin DTaP (difteria, tetanus, pertusis) kepada bayi semasa umur 2 bulan. Namun, bayi masih terdedah kepada jangkitan pertusis pada 60 hari pertama selepas kelahiran. Maka, wanita hamil amat dinasihatkan untuk mengambil vaksin Tdap untuk memastikan bayi mereka dilindungi ketika tempoh ini.

Vaksin Tdap ialah suntikan penggalak yang melindungi daripada tetanus, difteria dan pertusis, dan diberi kepada remaja dan orang dewasa, manakala vaksin DTaP diberi kepada kanak-kanak dalam beberapa dos. WHO mengesyorkan satu dos vaksin Tdap bagi setiap kehamilan, ketika hujung trimester kedua atau awal trimester ketiga atau pada minggu 27 ke 36 kehamilan, sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh dijangka bersalin.

Ibu juga disyorkan untuk mengambil vaksin Tdap bagi setiap kehamilan kerana keberkesanan perlindungannya menurun mengikut waktu. Jika tidak diambil ketika hamil, ibu disyorkan untuk mengambil vaksin Tdap sejurus selepas bersalin bagi mengurangkan risiko penyebaran.

Kes kajian

Seorang bayi berumur 19 hari dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal selepas menunjukkan gejala batuk, apnea, sianosis, dan kegagalan pernafasan yang makin teruk. Bayi tersebut pada mulanya menunjukkan tanda jangkitan salur pernafasan atas yang ringan empat hari sebelumnya, tapi gejalanya menjadi semakin teruk, menyebabkan dia perlu dibawa ke hospital.

Menurut ibunya, bayi tersebut mengalami kesukaran menyingkirkan lendir tebal dalam salur pernafasannya, menyebabkan dia tidak mendapat oksigen. Batuk berterusan juga menyebabkan tekanan pada jantungnya yang lemah. Ketika tiba di hospital, bayi itu sudah kebiru-biruan. Dia kemudian didiagnosis dengan pertusis. Punca jangkitan dipercayai ibunya yang mengalami batuk ringan sejak 4 minggu lebih awal dan tidak menerima vaksin Tdap ketika hamil.

Kebanyakan kes pertusis berlaku apabila bayi dijangkiti ahli keluarga terdekat, terutamanya ibu, yang tidak menyedari dia telah dijangkiti. Ini kerana gejalanya yang ringan dan tidak spesifik dalam orang dewasa, kurang kesedaran tentang pertusis atau vaksinnya, serta tiada kelengkapan diagnosis di klinik/hospital.

Pertusis atau jangkitan lain boleh menyebabkan komplikasi serius dan membawa maut kepada bayi baru lahir. Pada 2018, 22 kematian direkodkan akibat pertusis di Malaysia. Kebanyakan kematian melibatkan bayi bawah umur 6 bulan yang tidak divaksin. Pengimunan ibu ketika hamil ialah langkah pencegahan terbaik terhadap pertusis neonatal. Jika anda hamil, tanyalah doktor anda mengenai vaksin Tdap.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen