Pengasuhan Positif

Tanggungjawab bapa lebih mencabar dengan seorang anak istimewa

Umar, seorang anak istimewa yang amat berbakat dalam muzik

Kebanyakan ibu bapa menggalas tanggungjawab yang tidak mudah apabila terdapat hanya seorang pencari nafkah dalam keluarga. Perkara sebegini tidak pernah dirancang oleh sesiapa tetapi Hasfizal Mukhtar dan isteri menerima dengan hati terbuka. Anak sulung mereka, Umar (kini 21 tahun) seorang anak istimewa.

“Menjadi bapa kepada anak istimewa membawa cabaran tersendiri. Saya dan isteri mula-mula ketahui bahawa Umar berada dalam spektrum autisme kira-kira 19 tahun lalu. Ketika itu, kesedaran autisme sangat rendah,” dedah bapa tiga anak lelaki itu.

Bolehkah anda kesan jika seseorang itu autistik?

Seseorang yang berada dalam spektrum autisme tidak dapat dikenal pasti hanya berdasarkan ciri-ciri fizikal. Bagaimanapun, mungkin ada perbezaan kelakuan seperti kesukaran interaksi sosial dan komunikasi dan kecenderungan untuk menunjukkan kelakuan terhad atau berulangan.

Dikenal pasti pada usia dua tahun

Sejurus selepas mengetahui bahawa Umar berada dalam spektrum autisme, pelbagai perasaan dan emosi dialami Hasfizal dan isterinya. “Memang benarlah bahawa anda akan berasa takut terhadap perkara tidak diketahui. Dua dekad lalu, tiada banyak maklumat tentang autism dalam internet. Selepas membuat pertanyaan di banyak tempat, kami akhirnya mengetahui bahawa Umar memerlukan program intervensi awal.”

Isteri Hasfizal telah berhenti kerja untuk menjaga Umar dan selepas hampir 20 tahun, ini sememangnya sangat berbaloi. Umar telah mempelajari untuk berdikari dan menjalani kehidupan yang agak normal. Umar berbakat dalam muzik dan menyanyi dan ini telah dipupuk dan digalakkan oleh ibu bapanya. Hasilnya, Umar telah banyak memperoleh keyakinan diri dan malah diundang untuk membuat persembahan di acara korporat dan kerajaan.

Umar semasa muda di rakaman studio
Umar dengan ibunya, bersama koleksi amugerahnya

Cabaran besar

Di samping beban kewangan yang digalas Hasfizal (beliau baru sahaja mula bekerja apabila isterinya menjadi suri rumah), beliau juga menghadapi waktu yang sukar untuk menerima keadaan anaknya. Rasa tanggungjawab menjadi lebih berat, terutamanya apabila kesejahteraan anaknya menjadi tanggungjawab sepanjang hidup.

Satu lagi cabaran bapa muda itu adalah untuk menghadapi ketakutannya berhadapan dengan orang ramai. Mujurlah, rakyat Malaysia agak baik hati dan memahami, jadi beliau mampu menyesuaikan diri dalam situasi itu dengan selesa.

“Ada masanya saya ternampak orang yang tidak selesa dengan Umar. Saya tidak menyalahkan mereka kerana autisme bukanlah keadaan yang diketahui ramai pada waktu itu… malah hari ini sekali pun masih kurang kesedaran,” luah Hasfizal.

Sukar untuk keluar

Perkara harian normal yang ramai orang ambil mudah, boleh menjadi satu masalah kepada anak dan ibu bapa yang perlu menghadapi autisme. Membesarkan Umar dalam sebuah komuniti yang tidak memahami mahupun tahu tentang autisme bukanlah mudah.

Membesarkan Umar dalam sebuah komuniti yang tidak memahami mahupun tahu tentang autisme bukanlah mudah.

Membawa Umar untuk potong rambut atau kenduri kahwin adalah mencabar. Hingga kini, Umar sensitif kepada bunyi dan getaran. Jadi, tukang gunting rambut terpaksa menggunakan hanya gunting dan harus sanggup bersabar dengannya. Di majlis perkahwinan, dengan ramai orang dan cuaca panas, situasi sebegini memaksa Hasfizal dan isterinya bergilir untuk makan sambil dan memegang Umar untuk menenangkannya.

Membantu di rumah

Walaupun isteri Hasfizal paling banyak menjaga Umar, Hasfizal tetap membantu sebanyak mungkin. Beliau berterusan terlibat secara mendalam dalam kehidupan Umar termasuk menguruskan kerjaya Umar sebagai pengurus, pemandu dan pengawal peribadi.

“Saya rasa para bapa harus turut berusaha membantu mengurangkan beban isteri mereka. Basuh pinggan atau basuh baju dan luangkan masa bersama-sama anak istimewa anda. Berikan ‘hari cuti’ pada hujung minggu untuk isteri anda berehat,” kongsi Hasfizal.

Keharmonian adik beradik

Beliau juga harus membahagikan masa dengan ketiga-tiga anak demi memastikan dua adik-beradik Umar yang lebih muda tidak berasa cemburu dengan masa tambahan yang diberikan kepada Umar. Ini juga membantu tiga beradik itu menjalinkan hubungan yang lebih kukuh.

Hasfizal dengan Umar

Hasfizal merancang aktiviti yang boleh disertai oleh ketiga-tiga beradik itu. Mereka akan meluang masa bermain muzik bersama-sama; Umar akan menjadi vokalis, adik-adiknya akan bermain piano dan dram dan Hasfizal akan bermain gitar. Ini cara yang baik untuk mereka merapatkan hubungan.

Petua Hasfizal membesarkan anak istimewa

  1. Kekal Positif: Pastikan anda realistik semasa menetapkan jangkaan. Jangkaan tidak realistik sememangnya akan menyebabkan banyak masalah. Terlalu menekankan sesuatu boleh menjadi tidak berkesan.
  2. Lihat usaha, bukan hasil: Setiap anak berbeza. Hargai usaha mereka dan jangan bandingkan hasil. Belajarlah untuk menerima bahawa kejayaan biasanya mengambil masa untuk dicapai.
  3. Kerjasama itu penting: Kedua-dua ibu bapa perlu menyokong sesama sendiri.
  4. Sentiasa bersedia dan elakkan pencetus: Fahami pencetusnya dan bersedia untuk menghadapinya agar mengelakkan kejadian tidak diingini.
  5. Berkenalan dengan ibu bapa lain: Berkongsi maklumat dan pengalaman dengan ibu bapa lain dapat membantu menjadikan kehidupan anda lebih mudah. Untuk maklumat lanjut, lawati sini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen