Pengasuhan Positif

Wanita bekerjaya: Ibu dan Cuti Bersalin

Dengarlah suara ibu-ibu bekerjaya ini!

Bagi ibu-ibu muda bekerjaya yang merasakan perjalanan mereka amat mencabar, Pengasuhan Positif berkongsi empat kisah daripada wanita yang berjaya melaluinya!

Siti Hajar Abdul Rahman

39, dari Petaling Jaya ialah seorang pengurus kanan dalam Komunikasi Korporat yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Adakah anda nikmati masa yang anda luangkan bersama bayi anda, dan mengapa?

Secara semula jadinya, pertama kali menjadi ibu, saya sentiasa rasa gembira, sedih dan risau pada masa yang sama! Gembira, kerana saya akhirnya boleh menggelar diri saya seorang ibu (saya berusia 35 tahun semasa melahirkan anak) dan saya dapat melihat diri saya melakukan sesuatu selain bekerja. Sedih, kerana saya rasa saya takkan dapat tidur yang mencukupi lagi dan badan saya sudah banyak berubah! Dan juga risau, kerana saya tidak pasti jika apa yang saya lakukan adalah betul atau terbaik untuk bayi saya.

Bilakah anda kembali bekerja dan adakah ia satu keputusan yang sukar?

Saya harus katakan yang saya bertuah kerana mendapat kerja sebagai perunding yang membolehkan saya bekerja dua hari seminggu. Saya mula bekerja semula enam bulan selepas melahirkan anak. Walaupun saya gembira dapat menjadi seorang ibu, dalam bulan kelima saya sudah pun menginginkan sesuatu yang lebih daripada rutin harian menukar lampin, merancang hidangan makanan dan menetapkan waktu tidur! Ia bukanlah keputusan yang sukar kerana saya mendapat sokongan daripada suami dan keluarga.

Apakah cabaran menyeimbangkan pengasuhan anak kecil dengan kerja, kawan dan keluarga?

Saya selalu rasa bersalah. Saya rasa bersalah apabila saya harus pulang dari kerja tepat pada waktunya untuk memasak dan menidurkan anak saya. Saya rasa bersalah kerana suami saya lebih banyak meluangkan masa dengan anak saya berbanding saya disebabkan komitmen kerja (suami saya bekerja sendiri, jadi masanya lebih fleksibel). Saya rasa bersalah kerana tahap tumpuan saya tidak sebagus sebelum ini dan saya sentiasa terganggu, sama ada di rumah atau tempat kerja. Ia juga sukar apabila saya harus memilih antara meluangkan masa dengan anak saya, bersenam atau meluangkan masa bersama keluarga dan kawan. Saya tidak boleh melakukan kesemuanya. Pasti ada yang terpaksa dikorbankan.

Apakah tempoh yang ideal, bagi pendapat anda, untuk cuti bersalin? Apa pendapat anda berkenaan cuti paterniti (untuk bapa)?

Enam bulan adalah cukup bagi saya. Cukup bagi saya bukan sahaja untuk membiasakan diri dengan rutin yang baik, tetapi juga memberikan saya masa dan kebolehan untuk memberikan susu ibu secara eksklusif, yang mana penting bagi saya. Waktu itu juga cukup panjang untuk membuatkan saya tidak sabar untuk kembali bekerja! Cuti paterniti pula harus diwajibkan. Suami saya memainkan peranan penting pada bulan-bulan terawal dan sehinggalah hari ini. Selepas melahirkan anak saya, saya mengalami sakit pelvis yang teruk. Saya terpaksa menghadiri sesi fisioterapi setiap selang sehari selama tiga bulan sehingga sembuh. Ketika itu, kehadiran suami saya banyak membantu meringankan beban menjaga bayi baru lahir supaya saya boleh sembuh.

Ooi See Bee

42 tahun, dari Kuching, Sarawak, bekerja dalam sektor jualan dan pengurusan dan mempunyai dua orang anak: seorang anak perempuan berusia lima tahun (Elendrianna) dan seorang bayi lelaki (Elijah) yang baru dilahirkan pada pertengahan 2019.

Adakah anda bekerja sepenuh masa semasa mengandung? Anda masih bekerja sekarang?

Saya baru mula bekerja sepenuh masa dalam jualan dan pengurusan untuk sebuah perniagaan langsir. Saya juga memiliki perniagaan trak makanan aiskrim, Cloud-99 Ice Cream. Saya mahu menumpukan pada kerja sepenuh masa sekarang kerana mahu mempelajari lebih banyak tentang perniagaan dan ia memberikan kami pendapatan yang lebih stabil. Bagi perniagaan aiskrim saya, saya hanya memenuhi permintaan acara khas buat masa sekarang dan mencari rakan kongsi perniagaan untuk membantu operasi dan jualan harian.

Adakah anda gembira dapat berehat seketika daripada bekerja serta berpeluang mengeratkan hubungan dengan bayi anda, dan bagaimana anda lakukannya?

Berehat daripada kerja sangat bagus! Saya ada lebih banyak masa untuk merapatkan hubungan dengan bayi saya, menyusu, bercakap dan menyanyi kepadanya dan tidur bersama-samanya.

Pernahkah anda rasa seperti tidak harus kembali bekerja? Jika ya, jelaskan.

Jika berpeluang, saya mahu berada di rumah dan menumpukan sepenuh perhatian dan dedikasi untuk menguruskan rumah dan membesarkan anak-anak. Saya suka menjadi kreatif dalam memasak, membuat roti dan kek dan menyediakan makanan untuk keluarga. Kanak-kanak zaman sekarang berbeza, mereka memerlukan lebih banyak perhatian, jika tidak, TV dan tablet akan menjadi kawan baik mereka! Saya suka meluangkan masa membuat kraf bersama anak perempuan saya. Namun, hujung minggu tidak mencukupi untuk melakukan semua itu. Malangnya, satu sumber pendapatan tidak mencukupi, jadi kedua-dua ibu bapa harus bekerja sepenuh masa.

Apakah tempoh cuti bersalin yang sesuai untuk ibu, dan mengapa?

Saya rasa dua atau tiga bulan sudah mencukupi. Sebulan untuk berpantang dan sebulan lagi untuk menyesuaikan diri dengan rutin yang harus anda lakukan sebagai ibu dan di tempat kerja. Sesetengah ibu memerlukan lebih banyak masa untuk pulih.

Haruskah cuti bersalin diberikan kepada bapa juga?

Ya, kehadiran pasangan untuk memberikan sokongan dan membantu semasa berpantang amat penting.

Apakah yang majikan boleh lakukan, bagi pendapat anda, untuk memberikan peluang yang sama untuk ibu bekerja, khususnya ibu yang pertama kali melahirkan anak?

  1. Semua syarikat harus mempunyai bilik penyusuan dilengkapi dengan air panas dan peti sejuk
  2. Sediakan taska. Ini memudahkan ibu bapa untuk menguruskan bayi baru lahir dan anak kecil.
  3. Membenarkan ibu untuk membawa bayi baru lahir ke tempat kerja; sekurang-kurangnya selama setahun bagi mereka yang mahu menyusukan bayi mereka.
  4. Waktu kerja yang fleksibel. Kami juga memerlukan cuti sekurang-kurangnya sekali sebulan (cuti separuh hari) untuk tahun pertama kerana bayi baru lahir memerlukan pemeriksaan dan vaksinasi. Biasanya, ibu-ibu terpaksa ambil cuti tidak berbayar kerana ini.

Nasa Maria Entaban

37 tahun, dari Petaling Jaya, ialah seorang wartawan yang mempunyai dua anak perempuan: seorang berusia enam tahun (Dani Karina) dan seorang bayi lapan bulan (Nuri Marlena).

Adakah anda gembira dapat berehat seketika daripada bekerja serta berpeluang mengeratkan hubungan dengan bayi anda, dan bagaimana anda lakukannya?

Untuk kedua-dua tempoh berpantang, saya diberikan cuti bersalin berbayar selama tiga bulan. Pengalaman itu sangat melegakan dan saya berpeluang meluangkan masa bersama anak-anak dalam cara yang berbeza. Kali kedua berpantang, saya harus menyeimbangkan masa untuk kedua-dua anak dan ia memang mencabar, tetapi dengan sokongan suami (Davin Fernandez) dan pembantu rumah, semuanya mampu dilakukan dan saya tidak rasa seperti mengabaikan mana-mana anak.

Apakah cabaran yang anda hadapi apabila kembali bekerja, dan siapakah yang memberikan sokongan kepada anda?

Kedua-dua waktu amat berbeza. Semasa kali pertama, anak saya dijaga oleh ibu mertua dan saya sentiasa dilanda rasa bersalah kerana “membebankannya” dan saya akan pulang secepat mungkin selepas kerja untuk membantunya. Kali ini, anak saya dihantar ke pusat jagaan harian, dan saya tidak lagi rasa bersalah kerana penjaga dibayar untuk menjaga anak saya. Apa yang sama dengan kedua-dua pengalaman adalah saya pelajari cara untuk menjadi lebih cekap di tempat kerja supaya boleh pulang tepat pada waktunya dan meluangkan masa sebanyak mungkin dengan anak-anak.

Bagi anda, apakah tempoh masa yang sesuai untuk cuti bersalin, dan mengapa?

Enam bulan sehingga setahun, untuk membolehkan badan pulih dengan baik dan untuk mengeratkan hubungan ibu dengan bayi. Berpisah secara tiba-tiba dengan bayi baru lahir berusia tiga bulan selama berjam-jam setiap hari adalah perkara yang menakutkan bagi ibu dan bayi, satu pengalaman yang kebanyakan ibu bapa terpaksa hadapi.

Haruskah cuti bersalin diberikan kepada bapa juga?

Ya, memang perlu, sekurang-kurangnya sehingga ibu sihat kerana ramai ibu baharu mungkin tiada sokongan di rumah seperti daripada datuk dan nenek, pembantu dan lain-lain.

Pernahkah ada rasa seperti anda tidak harus kembali bekerja? Jika ya, jelaskan.

Saya tidak mahu berhenti memperoleh pendapatan sendiri, dan jika ada pilihan lain, pastinya kerja sambilan. Jadi, saya tidak pernah rasa saya harus berhenti bekerja.

Apakah yang majikan boleh lakukan, bagi pendapat anda, untuk memberikan peluang yang sama untuk ibu bekerja, khususnya ibu yang pertama kali melahirkan anak?

Secara umumnya, kita perlu lebih fahami kepentingan peranan bapa dalam menjaga anak-anak, jangan teruskan stereotaip bahawa pengasuhan ialah 90% tanggungjawab wanita. Berikan bapa peluang untuk membawa anak-anak berjumpa doktor dan sebagainya. Jika ibu melakukan kebanyakan tugas pengasuhan, wanita akan terus ketinggalan dari segi kerjaya.

Bagi ibu baharu, sediakan pusat jagaan harian dalam bangunan yang sama agar mereka boleh kembali bekerja dengan yakin kerana bayi mereka ada berhampiran dengan mereka. Lebih penting lagi, jika mereka menyusukan bayi, ini membolehkan mereka mengekalkan bekalan susu yang biasanya menurun apabila ibu kembali bekerja sepenuh masa. Boleh juga tawarkan subsidi untuk pusat jagaan harian berdekatan tempat kerja (sesetengah syarikat multinasional di Kuala Lumpur ada menawarkan ini). Bagi ibu yang bekerja, berikan mereka pilihan untuk bekerja dari rumah. Akhir sekali, jangan hukum ibu bapa hanya kerana mereka mahu membesarkan generasi seterusnya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen