Jangan panik jika bayi anda pramatang kerana itu bukan perkara luar biasa. Penjagaan bayi pramatang lebih mencabar, tetapi dengan pemakanan yang betul, bayi akan lebih berpeluang untuk membesar secara normal.
Bayi pramatang dilahirkan sebelum 37 minggu tempoh gestasi, sementara kelahiran selepas itu dikira cukup bulan. Secara global, dianggarkan 1 dalam setiap 10 bayi dilahirkan sebagai bayi pramatang. Salah satu kerisauan si ibu berkenaan bayi pramatang ialah pemakanan dan tumbesaran mereka.
Susu ibu sejak awal
Berat badan bayi pramatang biasanya rendah ketika lahir (2.5kg dan ke bawah), dan memerlukan pemakanan khas kerana badan mereka masih belum menyimpan tenaga dan nutrien yang mencukupi. Mereka juga boleh mengalami penyakit berkaitan ketidakmatangan seperti penyakit peparu akut.
Adalah baik jika ibu mampu memberikan kolostrum (susu awal ibu) kepada bayi pramatang mereka seawal mungkin. Ini boleh membantu melindungi usus dan kolostrum juga mengandungi antibodi yang membantu melindungi bayi pramatang anda daripada jangkitan. Di kebanyakan negara maju, apabila tidak dapat memberikan susu sendiri kepada bayi, ibu boleh memilih untuk memberikan susu ibu penderma yang dikendalikan oleh bank susu berakreditasi.
Bayi pramatang yang dilahirkan sebelum 34 minggu cenderung menghadapi kesukaran penyusuan oral seperti menghisap, menelan dan mengkoordinasi dengan pernafasan, dan pergerakan usus yang lemah akibat fungsi badan mereka yang tidak matang. Oleh itu, mereka biasanya diberikan susu menerusi tiub terus ke perut mereka pada 1-2 minggu yang pertama. Satu rumusan khas yang dipanggil nutrisi parenteral (total parenteral nutrition) yang mengandungi campuran nutrien untuk menyokong keperluan tenaga dan tumbesaran mereka mungkin akan disalurkan ke dalam saluran darah.
Tidak seperti bayi cukup bulan, bayi pramatang memerlukan tenaga dan nutrien lebih banyak. Apabila bayi pramatang mencapai pengambilan susu ibu yang mencukupi, doktor mungkin akan mengesyorkan penambahan human milk fortifiers (HMF) ke dalam perahan susu ibu agar bayi pramatang menerima pemakanan optimum diperlukan untuk ‘mengejar’ tumbesaran. Bagaimanapun, jika bekalan susu ibu tidak mencukupi, formula pramatang khas boleh diberikan.
Membawa bayi pramatang pulang
Di Malaysia, kebanyakan hospital membenarkan bayi pramatang pulang apabila mereka menunjukkan kenaikan berat badan konsisten yang baik iaitu sekurang-kurangnya 1.8kg, mampu menyusu daripada ibu atau botol, dan telah mencapai umur yang disesuaikan (corrected age) 36 minggu.
Pemakanan yang baik penting untuk memastikan tumbesaran keseluruhan yang cukup dan mengurangkan risiko tumbesaran lemah. Paling penting, teruskan menyusu bayi pramatang anda. Dalam sesetengah kes, bayi pramatang mungkin masih memerlukan HMF. Lebih-lebih lagi dalam kes bayi dengan berat kelahiran yang sangat rendah iaitu 1500g semasa lahir. Jika bekalan susu ibu masih tidak mencukupi, anda mungkin boleh menambah formula pos discaj (post-discharge formula, PDF) untuk menambah penyusuan kepada bayi.
Bagaimanapun, jika penyusuan susu ibu bukan satu pilihan atau tiada susu ibu langsung, doktor boleh mengesyorkan penggunaan PDF sahaja. Ia adalah untuk bayi pramatang, atau bayi dengan berat kelahiran rendah dan digunakan selepas keluar hospital dalam tahun pertama sehingga tumbesaran menjadi normal (umur yang disesuaikan).
Pantau tumbesarannya
Awasi tumbesaran bayi pramatang anda secara teliti. Nutrien tertentu penting untuk membantu bayi itu mengejar tumbesarannya.
Dia memerlukan pengambilan tenaga, protein, mineral dan vitamin yang lebih tinggi.
Anda mungkin tahu faedah asid lemak poli tidak tepu omega-3 dan omega-6 seperti asid dokosaheksaenoik (DHA) dan asid arakidonik (AA) yang penting untuk perkembangan mata dan otak. Walaupun kebanyakan formula susu mengandungi nutrien ini, susu ibu adalah yang terbaik kerana mempunyai nisbah yang betul untuk keperluan bayi pramatang anda.
Bagi bayi pramatang yang lebih besar, penyusuan susu ibu sahaja sudah mencukupi. Bagaimanapun, temu janji susulan di klinik disyorkan bagi pemeriksaan berkala untuk memastikan bayi pramatang anda mempunyai nutrien mencukupi untuk menyokong tumbesaran tulang.
Sebagai peringatan
Susu ibu tetap pilihan TERBAIK untuk semua bayi. Jika tumbesaran bayi pramatang anda pada tahap memuaskan, doktor
mungkin akan menasihati anda beralih kepada penyusuan susu ibu secara eksklusif dan menghentikan penambahan HMF. Jika anda tidak memberikan susu ibu, PDF boleh digantikan dengan formula susu biasa.
Pada umur 6 bulan mengikut umur yang disesuaikan, mulakan pemberian makanan pelengkap untuk memenuhi keperluan pemakanan dan tumbesaran. Paling penting, penyusuan susu ibu berterusan dalam tahun pertama amat digalakkan. Tetapi ingat, sementara pemakanan yang baik dan mencukupi adalah penting untuk tumbesaran dan perkembangan baik, pemakanan berlebihan boleh membawa kepada obesiti. Ini boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan bayi pramatang anda di kemudian hari.
Akhir sekali, jangan sesekali tidak hadir temu janji klinik! Temu janji ini membolehkan doktor mengawasi tumbesaran dan perkembangan bayi pramatang anda. Anda juga boleh berunding dengan doktor anda untuk nasihat berkenaan membekalkan pemakanan yang betul dengan jumlah yang sepatutnya, pada waktu yang tepat untuk tumbesaran sihat bayi pramatang anda.
Komen