Pengasuhan Positif

Kulit Bayi: Licin tetapi Sensitif!

Kulit ialah organ deria pertama yang terhasil pada janin. Kulit bayi baru lahir masih belum cukup matang pada waktu kelahiran kerana kekurangan kelenjar sebum dan peluh. Kulit bayi masih meneruskan proses pematangan semasa mereka kecil.

Antara fungsi kulit termasuk: (1) rintangan kepada kehilangan air, cahaya, dan bahan iritasi, (2) kawalan jangkitan, (3) perlindungan daripada kecederaan fizikal, (4) deria rasa, sakit dan suhu, dan (5) mengawal suhu badan. Stratum korneum, bahagian paling luar epidermis, berperanan penting untuk fungsi pertama.

Sewaktu kelahiran, bayi baru lahir meninggalkan rahim yang panas, basah, steril dan selamat kepada persekitaran yang lebih sejuk, kering dan penuh bakteria. Kulit bayi baru lahir amat penting semasa perubahan ini. Semasa kulitnya menyesuaikan dengan persekitaran baharu, akan ada perubahan pada hidrasi, ikatan air dan keasidan kulit. Deria sentuh juga berperanan penting dalam perkembangannya. Sentuhan, pelukan dan ciuman ibu memberikan keselesaan dan kasih sayang kepada bayi, sambil meyakinkannya bahawa ia selamat.

Perbandingan kulit bayi dan orang dewasa

Fungsi kulit kekal sama sepanjang hidup tetapi struktur kulit bayi dan orang dewasa berbeza. Stratum korneum dan epidermis kulit bayi lebih nipis (30% lebih nipis berbanding kulit orang dewasa). Kulit bayi juga cenderung mengalami kehilangan air transpidermal lebih tinggi (menyerap lebih banyak air tetapi lebih pantas kehilangan air berlebihan). Faktor pelembap semula jadi iaitu faktor yang mengikat air dan mengekalkan kulit terhidrasi juga kurang pada kulit bayi.

Perbezaan lain termasuk nisbah tinggi bagi kawasan permukaan kulit kepada jisim badan bayi dan sistem metabolisme kimia yang tidak matang. Kesemua ini boleh menyebabkan kulit bayi menjadi kering, sensitif kepada cahaya dan haba, serta lebih cenderung kepada alahan, iritasi dan jangkitan.

Menjaga kulit bayi

Kulit sensitif bayi memerlukan lebih jagaan dan perhatian.

  • Masa mandi: Ia harus singkat dan tidak terlalu kerap agar tidak kehilangan minyak semula jadi yang melindungi kulit bayi. Gunakan produk mandian yang tidak merengsakan dalam jumlah sedikit, bilas sepenuhnya, dan elakkan “terlalu banyak mandi” yang boleh menyebabkan kulit kering. Pastikan suhu air yang suam. Gunakan losyen bayi untuk kekalkan kelembapan kulit selepas mandi.

  • Penukaran lampin: Kulit kawasan lampin lebih mudah mengalami iritasi disebabkan kelembapan dan pH tinggi, geseran dan lain-lain. Kerap periksa lampin dan segera tukar jika kotor untuk mengelakkan ruam lampin. Selepas bersih, lap punggung bayi dengan lembut sehingga kering sebelum memakaikannya lampin baharu. Sapukan krim rintangan jika terdapat ruam lampin. Gunakan tisu lembap bebas alkohol dan lampin pakai buang yang mempunyai serapan tinggi untuk jagaan kawasan lampin sensitif yang selamat, berkesan dan lebih lembut.

  • Urutan bayi: Urutan membantu bayi bertenang, tidur dengan lebih baik, dan tidak terlalu lama menangis. Sapukan minyak bayi atau losyen lalu urut muka, abdomen dan anggota bayi dengan lembut sambil bercakap atau menyanyi kepadanya.

  • Produk bayi: Pilih produk khusus untuk bayi seperti syampu atau losyen yang tidak pedih di mata dan bebas alergen, dan produk yang mengekalkan tahap pH kulit bayi yang sedikit berasid. Berjaga-jaga dengan reaksi alahan. Produk untuk orang dewasa (seperti produk antibakteria, deodoran dan sebagainya) mungkin terlalu kasar untuk kulit bayi.

Kerisauan berkenaan bahan kimia

Ibu bapa perlu kenal pasti bahan kimia yang digunakan dalam produk penjagaan kulit bagi membuat pilihan yang baik untuk bayi mereka. Dua kerisauan umum ialah wangian dan bahan pengawet.

  • Wangian boleh mempengaruhi emosi dan digunakan untuk meningkatkan pengalaman kita semasa menggunakan produk tertentu. Wangian boleh merangsang deria bau, yang penting dalam memupuk hubungan antara ibu dan bayi. Namun, alahan wangian banyak berlaku kepada bayi. Maka pilih produk yang melalui penyelidikan terperinci dan disahkan selamat untuk bayi.
  • Bahan pengawet mencegah produk rosak akibat mikrob dan memanjangkan jangka hayatnya. Kandungan bahan pengawet yang rendah biasanya selamat, manakala produk bayi dicemari mikrob boleh menyebabkan jangkitan serius jika disapu pada kulit bayi yang tidak matang.

Ibu bapa perlu memahami label produk. Jika bayi mempunyai alahan, cari label ‘bebas alergen’. Label ‘bebas wangian’ atau ‘tiada pewangi’ mungkin mengandungi molekul wangian tetapi disembunyikan atau dineutralkan dengan bahan kimia lain. Ibu bapa juga perlu mempelajari penggunaan produk yang betul, dari segi dos dan kaedah sapuan yang betul.

Semasa memilih produk bayi, pastikan produk tersebut terbukti secara klinikal dan mematuhi peraturan piawaian dengan ketat. Kulit bayi anda lebih sensitif dan masih belum matang, tetapi kulit ialah antara cara pertama bayi anda berinteraksi dengan anda dan dunia. Interaksi ini penting untuk perkembangannya, jadi jagalah kulitnya dengan baik!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen