Amalan berpantang ialah amalan pasca-natal tradisional bagi para ibu. Ibu baru bersalin dianggap berada dalam tempoh berpantang kerana terdapat beberapa peraturan dan larangan tradisional yang perlu mereka ikuti.
Peraturan ini melibatkan pemakanan dan rutin mereka, dan tempoh berpantang boleh mengambil masa 30-44 hari bermula dari kelahiran bayi. Budaya berlainan mempunyai sedikit perbezaan dalam amalan berpantang dan sesetengahnya mungkin dilihat ketinggalan zaman, tanpa bukti saintifik yang kukuh. Bagaimanapun, tujuannya masih relevan: untuk menyokong ibu baharu, membolehkan fizikal dan emosi mereka sembuh selepas bersalin, dan membantu peralihan mereka menjadi seorang ibu, terutamanya bagi ibu yang pertama kali bersalin.
Secara tradisionalnya, ibu- ibu kepada ibu bapa baharu akan bertanggungjawab untuk penjagaan pantang dengan bantuan daripada pembantu pantang (pui yuet atau bidan) untuk menjaga ibu baharu dan bayi. Pui yuet dalam komuniti Cina akan tinggal bersama ibu baharu semasa tempoh berpantang, manakala bidan dalam komuniti Melayu akan melawat ibu baharu untuk memberikan urutan
dan bertungku, memakaikan bengkung, dan amalan-amalan lain.
Pusat berpantang
Kini, ibu boleh mendaftarkan diri mereka di pusat berpantang yang kini semakin bertambah dan popular. Pusat-pusat ini biasanya menyediakan penginapan dan makanan berpantang untuk ibu dan bayi, dengan perkhidmatan dobi dan kakitangan sokongan 24 jam, termasuk jururawat, bidan atau pembantu pantang. Sesetengah pusat juga menyediakan produk berpantang dan produk bayi, serta aktiviti seperti kelas pengasuhan dan sesi urutan.
Bagaimanapun, pusat-pusat ini mungkin mempunyai dasar berbeza dalam hal-hal tertentu. Sesetengah pusat membenarkan bapa menginap di situ, manakala pusat lain hanya membenarkan bapa melawat ketika waktu tertentu. Dasar pemberian susu ibu juga mungkin berbeza – kebanyakan pusat biasanya menyokong pemberian susu ibu tetapi ada juga pusat yang menggalakkan pemberian susu formula. Setiap pusat juga mungkin mempunyai dasar sendiri berkenaan amalan berpantang.
Kebimbangan berhubung peraturan
Peraturan berkaitan pusat- pusat berpantang masih kabur. Pada 2016, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datin Paduka Chew Mei Fun, mengeluarkan kenyataan mengarahkan pusat berpantang tanpa kemudahan perubatan untuk mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Akta Pusat Penjagaan 1993. Bagaimanapun, tidak banyak yang boleh dilakukan kerajaan terhadap pusat berpantang yang bermasalah, kerana tiada pusat-pusat ini. Akta Penjagaan Kesihatan Swasta juga tidak merangkumi pusat berpantang. Maka, pusat-pusat ini tidak terikat oleh sebarang piawaian atau syarat minimum.
Buat masa ini, kebanyakan pusat berpantang hanya diperakui sebagai perniagaan seperti spa atau hotel, bukannya pusat perubatan.
Jadi, sebarang isu atau masalah berbangkit semasa penginapan ibu dan bayi di pusat-pusat ini biasanya diselesaikan sendiri antara pusat berpantang dan ibu. Tiada saluran khas bagi para ibu untuk membangkitkan isu tersebut jika terdapat pertikaian. Ini lebih teruk dengan kekurangan pakar perubatan (seperti pakar ginekologi atau pakar pediatrik) di kebanyakan pusat ini bagi mengesan dan mendiagnosis sebarang tanda komplikasi pada ibu dan bayi.
Peranan kerajaan
Bagi menyelesaikan isu ini, penggubal undang-undang harus berusaha ke arah menggubal undang-undang baharu atau meminda undang-undang sedia ada bagi mengawal selia pusat berpantang, dan melindungi ibu dan bayi daripada kejadian tidak diingini. Buat masa ini, ibu-ibu yang mahu berpantang boleh memilih pakej penjagaan pascanatal yang disediakan percuma oleh Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari di beberapa hospital kerajaan. Kementerian Kesihatan juga menyediakan penjagaan pasca-natal melalui lawatan ke rumah oleh jururawat. Seorang jururawat daripada klinik kesihatan/komuniti terdekat pada hari-hari tertentu selepas kelahiran (Hari 1, 2, 3, 4, 6, 8, 10, 15, dan 20) bagi mengawasi status kesihatan ibu dan bayi.
Selain itu, terdapat juga program MamaCare oleh LPPKN yang melatih wanita warga emas dan ibu tunggal daripada isi rumah berpendapatan rendah dalam bidang perkhidmatan penjagaan pascanatal. Apabila menamatkan program itu, mereka akan menerima Sijil Amalan Urutan Profesional yang diperakui oleh kerajaan. Mereka boleh meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka dalam penjagaan pascanatal holistik di peringkat Diploma menerusi program MamaCare LPPKN yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.
Para ibu boleh mengikuti amalan berpantang, asalkan tidak membahayakan tubuh dan masih mendapat keperluan pemakanan mencukupi. Rujuklah doktor jika terdapat sebarang keraguan tentang mana-mana amalan pantang, atau anda mengalami sesak nafas, nafas yang laju, sakit dada atau batuk berdarah semasa berpantang (ini antara gejala embolisme pulmonari). Jika anda memilih untuk mendaftar di pusat berpantang, lakukan kajian mendalam terlebih dahulu, pastikan kakitangannya berkelayakan dan berpengalaman, dan teliti kontraknya sebelum anda membuat keputusan.
Komen