Pengasuhan Positif

Mengapa Anak Saya Tidak Boleh Minum Susu?

Ketidakupayaan menghadam susu dengan baik bukan perkara yang jarang berlaku dan keadaan ini dipanggil intoleransi laktosa. Laktosa adalah sejenis gula dalam susu dan produk tenusu. Tidak seperti alergi protein susu lembu (CMPA), yang melibatkan sistem imun, intoleransi laktosa ialah masalah penghadaman. Ini bermaksud walaupun intoleransi laktosa boleh menyebabkan ketidakselesaan perut, ia tidak akan menghasilkan reaksi mengancam nyawa seperti anafilaksis.

Satu lagi perbezaan adalah alergi susu cenderung muncul dalam tahun pertama hayat seseorang, sementara intoleransi laktosa pula boleh bermula semasa zaman kanak-kanak dan secara berperingkat menjadi semakin ketara apabila dewasa. Kajian ke atas dewasa di Malaysia mendapati prevalens intoleransi laktosa setinggi 91%.

Bagaimanakah ia berlaku?

Tubuh anak anda mencerna laktosa dalam susu dengan enzim laktase, yang membantu memecahkan laktosa kepada glukosa dan galaktosa. Jika badan anak anda tidak menghasilkan laktase yang cukup, ia akan membawa kepada intoleransi laktosa, kerana badannya tidak dapat mencerna laktosa dalam susu.

Simptom intoleransi laktosa juga berbeza bergantung kepada jumlah laktosa yang anak anda ambil. Maknanya, meminum lebih banyak susu akan mendatangkan simptom lebih serius serta boleh meningkatkan jumlah simptom dialami.

Selalunya petanda dan simptom akan berlaku antara 30 minit hingga 2 jam selepas meminum susu (atau memakan produk tenusu). Tahapnya mungkin berbeza daripada ringan kepada teruk, dan bergantung pada jumlah yang diambil dan sejauh mana anak anda boleh bertoleransi dengan laktosa. Antara petanda/simptom intoleransi laktosa ialah:

Sekiranya anak anda (terutamanya bayi baru lahir) meragam atau tidak sihat, lakukan yang terbaik untuk menenangkannya. Bagi ibu yang mengalami intoleransi laktosa, selamat untuk anda menyusukan bayi anda kerana ia tidak meningkatkan risikonya mengalami intoleransi laktosa. Teruskan memberi susu badan secara eksklusif (melainkan doktor menasihatkan untuk berhenti) buat 6 bulan pertama kerana kajian menunjukkan ini mengurangkan risiko alergi protein susu lembu berbanding menyusu menggunakan formula bayi pada masa itu.

Intoleransi laktosa juga boleh berlaku untuk tempoh sementara jika anak anda mengalami jangkitan virus atau anak anda mengalami gangguan penghadaman yang menyebabkan keradangan dalam ususnya, contohnya penyakit seliak (celiac).

Mendiagnos intoleransi laktosa

Pakar pediatrik anak anda akan memulakan diagnosis dengan mencatat sejarah kesihatan, keluarga dan pemakanan. Ujian nafas hidrogen mungkin perlu dilakukan – ini adalah ujian ringkas di mana anak anda perlu bernafas ke dalam satu peranti yang mengukur tahap hidrogen nafasnya sebelum dan selepas meminum sampel yang mengandungi jumlah laktosa tertentu. Ujian itu hanya akan mengesan jumlah hidrogen yang sedikit dalam nafas jika anak anda tidak mengalami intoleransi laktosa. Peningkatan dalam hidrogen yang dikesan akan menunjukkan anak anda mengalami intoleransi laktosa.

Satu lagi ujian yang digunakan oleh pakar pediatrik adalah memeriksa najis anak anda, terutamanya jika anak anda terlalu kecil dan tidak dapat melakukan ujian nafas hidrogen dengan betul. Keasidan najis mungkin menunjukkan adanya masalah berkaitan penyerapan laktosa, sementara satu lagi ujian najis menguji kandungan glukosa dalam najis, yang menunjukkan laktosa yang tidak dihadam. Bergantung pada tahap simptom, biopsi (sampel tisu) mungkin diperlukan. Ini dilakukan menerusi prosedur yang digelar endoskopi, di mana satu alat yang panjang, halus dan fleksibel dimasukkan menerusi dubur untuk mengukur tahap laktase dalam usus.

Kalsium untuk anak anda

Cara anda menguruskan intoleransi laktosa anak anda bergantung pada betapa serius keadaannya. Jika simptomnya ringan, anda mungkin boleh memberikannya sedikit susu atau produk tenusu. Jangan berikannya segelas penuh susu, sebaliknya cuba berikan separuh cawan atau kurang daripada itu.

Jika intoleransi laktosa anak anda cukup serius sehingga dia tidak mampu minum sebarang susu lembu, anak anda masih boleh dapatkan kalsium dari produk tenusu tanpa laktosa, sayur-sayuran berdaun hijau (contohnya, bayam, brokoli, kubis daun), kekacang, ikan (contohnya, sardin, salmon) dan produk makanan dengan kalsium tambahan. Rujuk pakar pediatrik sebelum memberikan anak anda suplemen kalsium kerana terlalu banyak juga boleh menyebabkan sembelit dan mengganggu keupayaan badan untuk menyerap zat besi atau zink.

Selain itu, anda juga boleh mencuba pengganti susu yang lain seperti susu soya, badam, beras, dan oat. Sebagai sumber kalsium dan protein yang baik, susu soya adalah pengganti susu yang popular, manakala susu badam pula merupakan sumber kalsium yang baik tetapi lebih rendah kandungan protein jika dibandingkan dengan susu lembu. Sebelum memberikan anak anda sebarang pengganti susu, rujuk pakar pediatriknya dahulu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen