Pengasuhan Positif

Melawan Meningitis Pneumokokus

Pneumokokus (Streptococcus pneumonia) adalah kuman yang boleh menyebabkan penyakit seperti radang paru-paru, radang telinga, jangkitan darah (bakteremia), dan meningitis. Meningitis pneumokokus adalah yang paling serius kerana selaput otak dan saraf tunjang dijangkiti kuman pneumokokus. Komplikasinya termasuk terencat akal, terencat fizikal, pekak, buta, dan paling teruk, kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara 0.7-1 juta kanak-kanak bawah 5 tahun mati setiap tahun akibat jangkitan pneumokokus. Pneumokokus adalah kuman yang paling kerap menyebabkan meningitis di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Lebih kurang 15% kes meningitis pneumokokus berakhir dengan kematian. Dalam artikel ini, Sarah menceritakan penderitaan anak lelakinya, Adam, yang cacat pendengaran akibat meningitis pneumokokus.

Kisah Adam

Adam mengalami demam dan enggan makan dan minum. Doktor di klinik mengenal pasti radang telinga tengah dan memberikannya antibiotik. Keadaannya bertambah baik, tetapi 3 hari kemudian suhunya naik semula, dan dia asyik muntah dan keletihan. “Adam seperti anak patung semasa saya mengangkatnya. Saya memanggil namanya tetapi Adam tidak memberikan respons. Kami serta-merta bergegas ke hospital pagi itu,” kata Sarah.

Adam telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan diberikan cecair intravena dan antibiotik. Ujian darah menunjukkan jangkitan kuman yang serius. Imbasan CT otaknya mendapati terdapat cecair berlebihan di bahagian otaknya. Keesokan harinya, doktor telah mengambil cecair serebrospina (CSF) daripada tulang belakangnya. Ujian CSF didapati positif untuk pneumokokus. “Doktor memberitahu saya agar bersedia menghadapi kemungkinan buruk. Hati saya hancur. Saya pernah dengar orang meninggal dunia akibat meningitis, tetapi saya tidak pernah menjangka ia akan berlaku kepada anak tersayang saya,” kata Sarah.

Hari-hari berikutnya, Adam melalui pembedahan untuk mengeluarkan cairan berlebihan daripada otaknya, dan dia diberikan dos antibiotik yang tinggi untuk melawan jangkitan itu. Sarah berkata, “Apabila Adam terjaga 3 hari selepas itu dan menyebut ‘Mama’, ia memberikan saya harapan, mungkin dia akan bertahan.” Keadaan Adam bertambah baik secara perlahan-lahan dan dia akhirnya dibenarkan pulang selepas 3 minggu menerima rawatan. Adam berjaya melawan meningitis pneumokokus, tetapi dia kehilangan sebahagian pendengarannya dan perkembangannya terencat sedikit. “Jika saya diberikan peluang, saya akan melakukan segalanya untuk mencegah perkara ini berlaku. Kini, saya hanya bersyukur dia masih hidup,” kata Sarah.

Menurut Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, kanak-kanak seperti Adam, yang berumur bawah 2 tahun, berisiko lebih tinggi dijangkiti kuman pneumokokus. Orang dewasa lebih 65 tahun, dan juga mereka dengan penyakit kronik atau sistem imun yang lemah, juga berisiko tinggi. Dalam kes Adam, dia mengalami radang telinga tengah yang menular ke bahagian selaput otaknya. Seramai 40% kanak-kanak mempunyai bakteria ini dalam hidung atau tekak mereka tanpa menunjukkan sebarang petanda penyakit. Ia mudah tersebar menerusi bersin atau batuk. Imunisasi dengan vaksin konjugat pneumokokal adalah kaedah terbaik untuk melindungi anak-anak anda daripada jangkitan pneumokokus dan mengelakkan daripada komplikasi dahsyat, termasuk kematian,” kata Dr Musa.

Orang dewasa, terutamanya yang berusia 50 tahun ke atas, juga seharusnya mengambil vaksin konjugat pneumokokal (PCV). Satu lagi kebaikan imunisasi dengan PCV ialah perlindungan tambahan menerusi imuniti kelompok. “Imuniti kelompok berfungsi apabila komuniti mempunyai kadar imunisasi yang tinggi dan ia memberikan perlindungan kepada individu yang lain, seperti kanak-kanak yang tidak boleh diberi vaksin kerana usia yang awal serta mereka yang menghidap leukemia atau diberi ubat seperti steroid atau sinar radioterapi,” jelas Dr Musa. PCV bukan sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia. Tetapi suntikan PCV amat digalakkan dan boleh diambil di klinik pakar pediatrik atau hospital swasta. Rujuklah doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya dan cegahlah penyakit ini daripada merosakkan kebahagiaan anda dan keluarga.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen