Pengasuhan Positif

Membekalkan Khasiat untuk Hubungan Usus-Otak Anak Anda

Anda mungkin tidak sedar tetapi otak dan usus kita mempunyai banyak persamaan. Usus mempunyai lebih 100 juta sel saraf neuron. Kandungan neuron di usus adalah yang kedua tertinggi selepas otak, dan kedua-dua organ ini adalah sangat berkait rapat.

Banyak kajian saintifik mendapati bahawa terdapat kaitan di antara pesakit yang mengalami gangguan penghadaman seperti sindrom usus rengsa (atau Irritable Bowel Syndrome, IBS) dan isu kesihatan mental seperti kegelisahan, kemurungan dan gangguan emosi. Satu lagi contoh bagaimana otak boleh memberi kesan kepada perut dan usus ialah dengan hanya berfikir tentang makanan kegemaran boleh membuatkan anda terliur dan perut berbunyi!

Pada masa yang sama, usus juga bertindak balas kepada emosi yang kuat seperti tekanan perasaan, kemarahan, kegelisahan atau kemurungan; ini boleh mengganggu proses penghadaman dan menyebabkan kekembungan atau ketidakselesaan perut atau usus.

Kelancaran penghadaman

Jadi, bagaimana hubungan di antara usus dan otak boleh kekal seimbang? Kesihatan penghadaman yang baik adalah kunci utama, bukan sahaja untuk penghadaman tetapi juga untuk kesihatan dan kesejahteraan anak anda secara keseluruhan. Cara mengekalkan kesihatan penghadaman yang baik dan optimum boleh diringkaskan kepada empat langkah mudah:

Mikrobiota dan manfaatnya kepada usus

Usus juga adalah organ yang menempatkan sekumpulan besar mikroorganisma yang dipanggil mikrobiota usus, iaitu satu ekosistem yang terdiri daripada pelbagai virus, yis, dan bakteria. Kajian mendapati sesetengah bakteria ini mempunyai manfaat kesihatan, dan digelar bakteria ‘baik’, atau probiotik. Bakteria ini membantu usus anak anda berfungsi lebih lancar dengan membantu proses penghadaman, pencernaan dan melawan bakteria atau virus yang menyebabkan penyakit, dan mungkin juga meningkatkan sistem ketahanan badan.

Makan dengan betul

Bekalkan khasiat untuk usus anak anda dengan memberikan buah-buahan dan sayur-sayuran yang cukup setiap hari. Pemakanan yang sihat seharusnya kaya dengan serat pemakanan. Serat pemakanan tertentu (dirujuk sebagai prebiotik) penting kerana membantu menggalakkan pertumbuhan bakteria yang baik; antara contohnya ialah pisang, bawang putih, bawang besar dan bawang merah.

Anak anda boleh mendapatkan probiotik daripada makanan yang kaya probiotik seperti produk tenusu yang ditapai (contohnya, minuman susu berkultur, keju, yogurt), produk soya yang ditapai (contohnya, tempe), sauerkraut, kimchi atau natto.

Hadkan pengambilan makanan bergoreng dan minuman manis dan galakkan anak anda meminum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari (lebih pada hari panas atau jika terlibat dalam aktiviti fizikal yang lasak).

Kekal aktif

Aktiviti fizikal penting untuk kesihatan anak anda sekarang dan apabila meningkat dewasa nanti. Sasarkan sekurang-kurangnya sejam sehari untuk melakukan aktiviti fizikal. Ini boleh dilakukan dalam empat sesi 15 minit dalam sehari, atau dalam apa jua kombinasi. Aktiviti fizikal penting kerana ia membantu sistem penghadaman supaya berjalan lancar dengan menggalakkan pergerakan usus yang teratur dan sekaligus membantu mengekalkan berat badan yang sihat.

Jaga kebersihan

Ajar anak anda mengenai penjagaan kebersihan peribadi. Mulakan dengan perkara asas seperti teknik mencuci tangan, dan tekankan kepentingan mencuci tangan selepas keluar tandas dan sebelum makan. Ini adalah tabiat yang baik dan boleh membantu mencegah bakteria tidak baik daripada memasuki usus dengan mudah. Kebersihan makanan juga penting, terutamanya jika anak anda membantu di dapur. Cuci tangan sebelum menguruskan makanan dan untuk mencegah pencemaran makanan dan sentiasa membasuh tangan selepas mengendalikan makanan yang mentah.

Kurangkan tekanan

Terlalu banyak tekanan boleh memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman anak anda, lalu boleh menyebabkan simptom seperti kembung perut dan ketidakselesaan perut dan usus. Simptom seperti ini bukannya disebabkan oleh penyakit atau faktor fizikal yang lain, tetapi kerana hubungan di antara usus dan otak menjadi tidak serasi. Jadi apabila anak anda mengadu tentang ketidakselesaan perut atau usus semasa waktu peperiksaan, bersimpatilah kerana dia mungkin tertekan memikirkan prestasinya sehingga membawa kesan ke atas kesihatan penghadamannya.

(Bukan) Segalanya dalam minda!

Kini anda sudahpun mengetahui hubungan di antara otak dan usus, dan bagaimana organ ini boleh bekerjasama secara harmoni. Jadi, jangan abaikan kesihatan penghadaman anak anda. Anda boleh membekalkan khasiat yang baik untuk mengharmonikan hubungan otak dan usus untuk anak anda. Turuti empat langkah di atas untuk memulakan hari yang bahagia untuk anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen