Pengasuhan Positif

#HentikanBuliSiber

1 dalam setiap 4 pelajar pernah mengalami buli siber, menurut satu tinjauan oleh Digi dan Telenor Group tahun lepas. CyberSecurity Malaysia juga mencatat sejumlah 1524 kes buli siber sejak 2012 hingga 2016. Jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana biasanya banyak kes yang tidak dilaporkan.

Kanak-kanak hari ini terdedah kepada media sosial dan internet sebelum mereka pandai bercakap lagi. Malah, sesetengahnya mempunyai akaun sendiri sebelum mereka mula bersekolah. Ini kesan revolusi internet yang dijangka, tetapi ia juga membawa kepada banyak situasi yang tidak diingini dan tidak dijangka, terutamanya buli siber. Pelbagai usaha meningkatkan kesedaran sudah dilaksanakan oleh organisasi kerajaan dan bukan kerajaan seperti kempen CyberSAFE dan inisiatif People Against Cyber Threats (PeopleACT).

Jangan layan pembuli!

“Sebahagian daripada langkah pencegahan adalah mengajar anak-anak tentang buli siber,” tegas Dr Ng. Kanak-kanak harus mempelajari cara mengesan buli siber dan apabila mereka menjadi sasaran, mereka harus tahu apa yang perlu dibuat dan bagaimana untuk melepaskan diri daripada bahaya tersebut dengan yakin. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka untuk mengelak lorong gelap internet di mana buli siber berleluasa. Perkasakan kanak-kanak untuk mempertahankan diri daripada buli siber.

Pencegahan bermula dengan menggariskan peraturan khusus bagi penggunaan internet yang selamat. Tetapkan had bagi tempoh mereka berada dalam talian. Awasi mereka daripada berkongsi gambar dan maklumat peribadi kepada orang asing. Halang mereka daripada ke laman web berbahaya dengan memasang perisian kawalan ibu bapa. Komputer perlu diletak di tempat umum seperti di ruang tamu agar mudah diawasi. Ibu bapa harus memerhatikan penggunaan peranti peribadi anak jika ada. Bincangkan peraturan dengan mereka dan minta mereka beri pendapat tentang peraturan serta akibat.

“Anda ada permintaan rakan baharu!”

Sentiasa ada trend baru di atas talian. “Sukar untuk mengetahui semua laman media sosial yang anak anda gunakan, tetapi anda harus tahu tempat mereka bersosial,” kata Dr Ng. Ibu bapa harus memahami media sosial dengan belajar bagaimana ia digunakan dan siapa penggunanya. Malah, ibu bapa patut menjadi ‘rakan’ atau ‘pengikut’ akaun media sosial anak bawah umur mereka untuk mengawasi profil mereka dan melihat jika terdapat keraguan. Anak-anak mungkin fikir tidak ‘cool’ jika ibu bapa mereka dalam senarai rakan mereka, jadi hormatilah hak peribadi mereka, binakan kepercayaan, dan jangan terlalu mengganggu mereka.

Apakah petanda anak anda mengalami buli siber? Mereka mungkin berkelakuan pelik atau memuat naik mesej aneh di profil mereka. “Bincang dengan mereka tentang isu semasa di atas talian dan yakinkan mereka untuk sentiasa merujuk anda jika sebarang perkara dalam talian merunsingkan, tidak wajar atau bahaya,” nasihat Dr Ng. Jika mereka dibuli, beritahu mereka agar tidak membalas ancaman tersebut. Sekat pembuli daripada profil mereka atau laporkan kepada pentadbir laman; sebagai bukti terhadap pembuli, simpan salinan komennya.

#Sokongan #Ibubapa

Apabila didatangi oleh anak-anak tentang masalah buli siber, ibu bapa harus menunjukkan sokongan, mempercayai serta memahami mereka. Berikan panduan kepada mereka untuk menangani masalah itu dan bekerjasama untuk mencari penyelesaian. Jangan salahkan mereka atas situasi itu atau tidak mengendahkannya. Buli siber boleh bertukar menjadi buli verbal dan keganasan fizikal. Beritahu guru sekolah tentang masalah itu agar mereka boleh berjaga-jaga jika kejadian buli berlaku semasa sesi persekolahan.

“Buli siber sama serius seperti buli sebenar dan tidak patut dianggap hal yang remeh,” – Dr Ng

Buli siber adalah bentuk buli yang baru dan internet yang bersifat tanpa nama mungkin menyebabkan fenomena ini. Internet ialah alat yang berguna, tetapi tidak semua orang menggunakannya dengan niat baik. Ibu bapa harus memberi panduan kepada anak-anak mereka semasa menggunakan alat ini bagi mengelakkan mereka dari salahguna.

Mangsa buli siber boleh menghubungi Befrienders, kumpulan sokongan kes bunuh diri dan kemurungan, untuk bantuan. Hubungi talian 24 jam di +603-79568144, +603-79568145, atau emel mereka di [email protected]. Kes buli siber juga boleh dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan menghubungi talian aduan 1800-188-030, menghantar SMS ke SKMM ADUAN [Maklumat Aduan] ke 15888, hantar mesej WhatsApp ke +6016-2206262, atau menghantar emel ke [email protected]. Jika buli siber semakin menjadi-jadi, berserta ancaman serius atau keganasan fizikal, hubungi pihak berkuasa.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen