Pengasuhan Positif

Vaksin: Apakah Kandungannya?

Anda mungkin sedar akan kepentingan vaksinasi dan tahu anak anda perlu diberikan vaksin sejak lahir. Tetapi, adakah anda cukup berpengetahuan tentang vaksin yang diberikan kepada anak anda?

Di Malaysia, Program Imunisasi Kebangsaan (National Immunisation Programme, NIP) diperkenalkan pada awal 1950-an dan direka berdasarkan Program Perluasan Imunisasi (Expanded Programme on Immunisation, EPI) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Walaupun EPI mencadangkan semua negara memberi imunisasi terhadap 6 penyakit kanak-kanak, NIP melangkah lebih jauh dan melanjutkan perlindungan terhadap 12 penyakit utama kanak-kanak. Penyakit-penyakit ini dan vaksinnya adalah seperti di bawah, dan jadual untuk menerimanya boleh dirujuk daripada doktor pediatrik yang merawat anak anda:

Apakah itu vaksin?

Jadi, apakah vaksin? Pada asasnya, vaksin adalah persediaan biologi yang meningkatkan imuniti terhadap sesuatu penyakit. Vaksin biasanya mengandungi agen yang sama dengan mikrob yang menyebabkan penyakit tersebut. Agen itu selalunya diperbuat daripada mikrob, toksinnya, atau salah satu komponennya yang dilemahkan atau dimatikan. Sistem imun badan akan dirangsang oleh agen itu, yang kemudiannya akan dikenal pasti sebagai bahan asing. Sistem imun, seperti tentera sebuah kerajaan, kemudiannya akan meneruskan untuk memerangi penceroboh asing yang menyerang badan. Sistem imun juga akan ‘mengingatinya’ untuk bersedia jika bersemuka pada masa hadapan, jadi lebih mudah untuk sistem mengenal pasti dan menghancurkan sebarang mikroorganisma ini.

Jenis vaksin

Terdapat beberapa jenis vaksin, bergantung kepada bentuk agen yang digunakan untuk menghasilkannya.

Vaksin hidup yang dilemahkan: Jenis vaksin ini diperbuat daripada bentuk mikrob hidup yang tidak boleh menyebabkan penyakit kerana telah dilemahkan dalam makmal. Vaksin hidup yang dilemahkan adalah ‘guru’ yang baik untuk sistem imun kerana paling sama dengan jangkitan semula jadi. Ia boleh merangsang tindak balas sel dan antibodi dan juga memberikan imuniti seumur hidup dengan hanya satu atau dua dos. Contoh vaksin hidup yang dilemahkan adalah vaksin BCG untuk tuberkulosis, dan vaksin MMR untuk beguk, campak dan rubela.

Vaksin yang tidak dinyahaktifkan: Mikrob yang menyebabkan penyakit dimatikan menggunakan haba, bahan kimia atau radiasi untuk mencipta vaksin yang dinyahaktifkan. Berbanding vaksin hidup, vaksin dinyahaktifkan lebih selamat dan stabil. Bagaimanapun, ia mungkin merangsang tindak balas imun lebih lemah berbanding vaksin hidup; beberapa dos tambahan atau suntikan tambahan diperlukan untuk mengekalkan imuniti seseorang. Contohnya, vaksin jenis suntikan untuk polio dan pertusis adalah vaksin yang dinyahaktifkan.

Vaksin sub unit: Dalam vaksin sub unit, hanya antigen penting yang merangsang sistem imun dimasukkan. Peluang reaksi negatif lebih rendah dalam vaksin jenis ini kerana ia hanya mengandungi antigen dan mengeluarkan molekul lain. Vaksin untuk Hepatitis B adalah contoh vaksin rekombinan sub unit.

Vaksin toksoid: Apabila penyakit disebabkan oleh toksin tertentu yang dihasilkan oleh bakteria, vaksin toksoid biasanya digunakan. Ia didapati bahawa toksin boleh dinyahaktif dengan merawatnya dengan formalin, iaitu larutan formaldehid dan air yang telah disteril. Toksin yang dinyahaktif ini digelar toksoid. Difteria dan tetanus adalah contoh penyakit yang boleh dibendung menggunakan vaksin toksoid.

Vaksin konjugat: Sesetengah bakteria mempunyai lapisan salutan molekul gula dipanggil polisakarida. Salutan polisakarida ini boleh melindungi antigen dalam bakteria, menyebabkan sistem imun tidak matang bayi dan kanak-kanak gagal mengenal pasti atau bertindak balas kepadanya. Untuk menyelesaikan masalah ini, vaksin konjugat, vaksin sub unit jenis khas, boleh dibuat dengan menghubungkan polisakarida dengan antigen atau toksoid yang boleh dikenalpasti oleh sistem imun bayi. Vaksin yang melindungi badan daripada Haemophilus influenzae jenis B (Hib) adalah vaksin konjugat. Vaksin pneumokokal juga jenis vaksin konjugat.

Kaedah vaksinasi

Terdapat juga kaedah vaksinasi berbeza. Vaksin boleh diberikan sebagai vaksinasi tunggal, vaksinasi serentak, atau vaksinasi kombinasi. Vaksinasi tunggal adalah satu vaksin khusus diberikan pada satu sesi. Sementara itu vaksinasi serentak adalah beberapa vaksin berbeza diberikan dalam suntikan berasingan pada satu sesi. Contohnya, vaksin BCG dan hepatitis B diberikan serentak pada sesi vaksinasi pertama. Vaksinasi kombinasi pula adalah beberapa antigen berbeza yang dicampur dalam satu suntikan seperti vaksin MMR dan DTaP. Salah satu vaksin kombinasi terbaru adalah vaksin 6 dalam 1 yang melindungi badan daripada 6 penyakit (difteria, tetanus, pertusis, polio Hib, dan hepatitis B). Pada peringkat awal bayi, vaksin selalunya diberikan serentak untuk memastikan perlindungan awal daripada penyakit untuk bayi. Vaksin kombinasi juga diberikan untuk menjimatkan kos dengan mengurangkan lawatan doktor dan jumlah suntikan, agar anak kecil akan kurang sakit.

Tahukah anda?

Terdapat juga vaksin pilihan dan vaksin yang disarankan selain daripada yang mandatori seperti digariskan oleh NIP. Vaksin pilihan adalah vaksin pneumokokal, meningokokal, rotavirus, cacar air, dan hepatitis A. Vaksin-vaksin ini boleh didapati di hospital dan klinik swasta dan boleh diberikan kepada anak anda untuk meningkatkan perlindungan terhadap penyakit tertentu. Layarilah laman web Pengasuhan Positif untuk mengetahui lebih maklumat tentang vaksin yang disarankan.

Vaksin adalah antara ciptaan terbaik manusia dalam sejarah perubatan. Sejak vaksin cacar diperkenalkan oleh Edward Jenner pada 1796, lebih banyak vaksin dihasilkan, lebih banyak penyakit dicegah dan dihapuskan dan lebih banyak nyawa telah diselamatkan. Tiada alasan untuk tidak memberikan vaksinasi kepada anak anda, dan tiada ragu lagi vaksin sememangnya berfaedah untuk kesejahteraan dan kesihatan kita.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen