Pengasuhan Positif

Merangsang Pertumbuhan Anak Anda Melalui Kreativiti & Bermain

Sebagai ibu bapa, anda akan mendapati bahawa anda adalah rakan sepermainan kegemaran anak anda. Setiap saat yang anda luangkan bersama dia ketika masa bermain adalah istimewa. Yang bagusnya, ia bukan saja sesuatu yang menyeronokkan dan akan dikenang selama-lamanya, ia juga adalah bahagian kritikal dalam pertumbuhan dan perkembangannya.

Masa bermain merupakan masa penting bagi kanak-kanak petatih kerana ia adalah cara utama dia mempelajari mengenai dunia sekelilingnya sambil meningkatkan perkembangan fizikal, menjana imaginasi dan kreativiti (kedua-duanya penting dalam proses pembelajaran), dan memulakan kemahiran sosial.

Merangsang kreativiti

Fikirkan kreativiti sebagai satu cara anak anda meluahkan perasaannya. Memberikan dia kebebasan untuk ekspresi diri secara kreatif boleh menggambarkan dan memupuk kesihatan emosinya. Pengalaman semasa tahun-tahun awal kehidupan boleh memberi kesan pada cara kreativitinya berkembang.

Oleh itu, penting untuk anda berikan dia peluang yang mencukupi untuk meneroka, mengalami, dan meluahkan perasaan. Bermain secara kreatif melibatkan imaginasi dan pemikiran kreatif. Melukis dan mewarna bersama, meneroka di luar rumah, mendengar muzik (cuba beberapa jenis untuk lihat yang mana disukainya), dan membiarkan dia membuat hasil seninya sendiri menggunakan bahan seperti kertas, tanah liat, atau blok mainan.

Dengan membenarkan anak anda melalui pelbagai pengalaman, anda pada hakikatnya merangsang sistem deria, membina imaginasi dan memberinya idea-idea yang lebih luas. Ingat, bukan tempat dan bahan bermain sahaja, tetapi pengalaman peribadi bersama berbagai jenis orang juga membantu anak membesar dan berkembang dari segi sosial dan fizikal.

Jangan lupa untuk menekankan proses kreativiti dan bukan hasil terakhir. Anda boleh lakukan ini dengan menghargai dan menggalakkan usahanya sambil memberi kebebasan untuk mengurusnya sendiri. Sebagai contoh, jika dia mewarna matahari biru dan daun-daun pokok merah jambu, ikutkan sahaja – walaupun warna boleh menjadi petunjuk emosinya, anda mungkin terkejut untuk mengetahui bahawa anak anda mempunyai cara tersendiri mentafsir lukisannya!

Kuasa warna

Warna boleh memberi kesan terhadap mood atau tingkah laku anak anda, oleh itu adalah penting untuk mengecat bilik anda dengan warna terang. Amnya, kanak-kanak cenderung mengaitkan suasana gembira dengan warna terang seperti jingga, kuning, hijau, dan biru, manakala suasana sedih dikaitkan dengan warna gelap seperti perang, hitam, dan kelabu.

Bermain secara kreatif

Ini lazimnya melibatkan penggunaan kreativitinya untuk mengubah objek harian menjadi sesuatu yang boleh dia guna untuk bermain. Masa bermain bersama anak anda boleh dipenuhi dengan hampir semua barang yang ada, contohnya, kusyen besar diletakkan di atas permaidani boleh menjadi ‘pulau selamat di lautan’, dan anda boleh berpura-pura menjadi ikan yu yang mengelilingi pulau menunggu untuk menerkamnya apabila dia hendak meninggalkan pulau.

Dengan meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama anak anda, anda membantu mengukuhkan semangat kreatifnya sambil bermain secara spontan bersamanya. Walaupun anda mungkin memulakan beberapa permainan kreatif, pastikan dia juga diberi peluang untuk mengemukakan cadangan atau idea-idea kreatifnya sendiri.

Tahukah anda?

Bermain membantu anak anda membina cara-cara baharu berfikir dan meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, gerakan fizikal yang digunakan semasa melakukan aktiviti seni (seperti memegang berus cat atau melakar dengan krayon) membantu anak-anak meningkatkan kemahiran motor mereka.

Menggalakkan kreativiti

Anda boleh merangsang kreativitinya dengan beberapa cara tersendiri. Berikut adalah beberapa tip dan idea yang boleh anda gunakan:

  • Wujudkan kawasan untuk melukis atau mewarna. Anda juga boleh menyediakan satu bahagian di dalam bilik bermain untuk dia menconteng, melukis, atau mewarna, jika anda mahu. Anda boleh meminimumkan potensi kotoran dengan mengalas lantai atau meja menggunakan kertas mahjung atau plastik lutsinar. Cat dinding mudah dicuci atau cat papan kapur juga satu pilihan yang anda boleh pertimbangkan. Alternatif lain kaedah mewarna termasuk mengecap menggunakan sayuran/tekstur atau tangan/kaki.

  • Wujudkan dinding bermain dengan meletakkan koleksi alat permainan yang berbeza, atau bina dinding air untuk mengajar prinsip saintifik mudah seperti graviti atau menjelaskan kitaran hujan.
  • Guna permainan sedia ada atau barang harian rumah dengan cara yang berbeza! Jika anak anda suka menyanyi, adakan sebuah konsert bersama. Anda hanya memerlukan alatan seperti katil sebagai pentas dan berus rambut sebagai mikrofon. Tukar sofa anda menjadi kapal Nautilus dan bawa dia ke satu perjalanan khayalan 20,000 meter di bawah lautan. Atau mungkin anda ambil keputusan untuk menyusun beberapa kusyen di atas lantai dan jadikannya padang halangan mini yang dia perlu tempuhi – dengan begitu banyak kemungkinan untuk diterokai, batasnya hanya imaginasi seseorang. Anda juga boleh membuat permainan sendiri, contohnya, membuat permainan karom sendiri menggunakan tudung botol atau khaskan satu bahagian kecil di lantai untuk bermain ketingting menggunakan jubin lantai atau pelapik lantai.
  • Tidak ada masa untuk membuat sesuatu dengan sendiri? Pergi ke kedai terdekat dan beli permainan atau peralatan yang menggalakkan anak anda menggunakan imaginasi atau kreativitinya, contohnya blok mainan, set patung haiwan, kereta/trak, atau tanah liat membuat model.

Menjaga keselamatan semasa bermain

Perkara lain yang perlu diingat termasuk menyimpan alat permainan atau peralatan di tempat yang mudah dicapai seperti bilik bermain atau satu sudut di rumah anda. Ia boleh disimpan dengan rapi di dalam bekas atau kotak. Tidak kira jenis alat permainan atau permainan yang anda buat, anda harus sentiasa pastikan yang keselamatan menjadi keutamaan, dengan memastikan dia tidak bermain tanpa diawasi sehingga dia lebih besar.

Pastikan terdapat sekurang-kurangnya seorang dewasa yang berhampiran untuk mengawasi anak anda semasa dia bermain, atau lebih baik, main bersamanya. Jangan lupa juga untuk menjaga kesihatannya dengan memastikan dia menjaga asas kebersihan diri dan boleh mendapatkan air dan udara bersih. Bahan dan permukaan yang sering dia sentuh perlu kerap dicuci untuk memastikan ia bebas daripada bakteria atau virus yang memudaratkan.

Bertenang jika mereka melukis atau mewarna dinding di bahagian lain rumah. Bertegas tetapi lembut; dinding boleh dibersihkan tetapi menakutkan mereka daripada meluahkan kreativiti memberi kesan yang berpanjangan pada masa akan datang. Akhir sekali, sebagai ibu bapa, cuba untuk tidak bergantung pada peranti digital untuk menenangkan anak anda. Kadang-kadang, sedikit kebosanan adalah baik bagi mereka kerana ia berkesan sebagai insentif supaya anak-anak berdaya cipta! Anda mungkin perlu menilai kegunaan peranti digital anda sendiri kerana anda adalah model teladan anak anda; jadi contoh yang baik dan jangan abaikan anak anda dengan meluangkan terlalu banyak masa bersama peranti anda sehingga merugikannya.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen