Pengasuhan Positif

Diet Penyingkiran bagi Alergi Makanan

Jika anak anda mengalami alergi makanan, doktornya mungkin menyarankan agar dia menjalani diet penyingkiran. Ini bermaksud anda perlu menyisihkan sesuatu makanan yang khusus daripada diet anak anda buat sementara waktu, dan mungkin daripada diet anda juga sekiranya anda masih menyusukan anak anda. Diet penyingkiran ini dilakukan selama 2-4 minggu.

Kaedah ini biasanya digabungkan dengan ujian kulit atau darah, dan tujuannya adalah untuk membantu mengenalpasti makanan khusus yang mencetuskan alergi makanannya. Dengan mengelakkan makanan pencetus yang disyaki, kedua-dua anda dan doktor boleh mengawasi simptom anak anda, contohnya jika simptom-simptomnya hilang apabila makanan yang mencetuskan alergi itu tidak terdapat dalam diet penyingkiran. Sebagai langkah tambahan untuk membantu mengesan makanan sebenar yang menyebabkan alergi, doktor mungkin meminta agar makanan tersebut diperkenalkan semula ke dalam dietnya secara beransur-ansur. Sebarang simptom yang timbul semula akan menunjukkan bahawa anak anda kemungkinan besar alergik kepada makanan yang diperkenalkan semula.

Alergi lawan intoleransi

Alergi makanan berpunca daripada sistem imun yang silap menganggap sesuatu makanan yang khusus sebagai berbahaya, lantas memberi tindak balas dengan menghasilkan antibodi immunoglobulin E (IgE) untuk menyerang apa yang dilihat sebagai satu ancaman. Ini selalunya mengakibatkan simptom serta-merta (dalam masa singkat) yang mungkin berkait dengan usus (sakit abdomen, muntah-muntah atau cirit-birit), tindak balas kulit (ruam,kegatalan atau bengkak), pernafasan (hidung berair, bersin atau kesukaran bernafas), malah juga sakit kepala dalam kanak-kanak yang lebih tua.

Sebaliknya, intoleransi makanan ialah masalah yang hanya berkait dengan usus dan berpunca daripada kesukaran menghadam sesuatu makanan – sistem imun tidak bertindak sama sekali. Simptom seperti perut kembung, sakit perut atau cirit-birit, biasanya tidak terjadi dengan serta-merta dan mengambil masa untuk muncul.

Cara untuk bermula

Lapan makanan alergenik paling lazim disenaraikan oleh US Food & Drug Administration ialah susu, telur, ikan (bass, ikan sebelah, kod), kerang-kerangan krustasia (ketam, udang karang, udang), kekacang pokok (badam, walnut, kacang pekan), kacang tanah, gandum dan kacang soya.

Walaupun menyediakan makanan segar menggunakan ramuan mentah merupakan cara yang terbaik, ini mungkin tidak dapat dilakukan setiap masa. Anda perlu lebih berhati-hati apabila membeli makanan diproses. Adalah penting bagi anda membaca label makanan dengan teliti sebelum membeli dan memberinya kepada anak anda. Ini membantu memastikan bahawa makanan diproses yang anda beli tidak mengandungi sebarang bahan yang terdapat dalam diet penyingkirannya.

Sebagai contoh, jika soya adalah sebahagian daripada makanan yang perlu disisihkan, membeli makanan yang mengandungi soya (biasanya dilabelkan sebagai lesitin) kemungkinan besar akan mencetus simptom, terutama jika anak anda alergik kepada soya. Ramuan lain yang perlu diberi perhatian termasuk tepung, yang selalunya disenaraikan sebagai gandum, dan whey yang biasanya disenaraikan sebagai susu. Sekiranya anda kurang yakin tentang sesuatu makanan diproses, adalah lebih baik untuk berhati-hati dan mengelakkannya.

Pengawasan

Menyimpan diari makanan bersama dengan diet penyingkiran makanan adalah tabiat yang baik kerana ia berguna dalam membantu mengenalpasti makanan yang bermasalah. Pastikan anda merekodkan dengan tepat kesemua simptom (termasuk kekerapan dan tempoh) dan segala yang anak anda makan atau minum. Selain makanan dan minuman yang diambil semasa hidangan utama, pengawasan juga harus ambil kira ubat-ubatan yang diarahkan, suplemen dan apa-apa manisan atau snek yang dia ambil. Ya, bahkan termasuk apabila menjamah sesuatu daripada pinggan atau cawan orang lain!

Mulakan dengan muka surat baru setiap hari. Jangan lupa untuk membawa diari bersama dengan bungkusan atau label makanan semasa anda pergi ke sesi perundingan dengan pakar alergi anak anda agar dia boleh mendapat gambaran yang lengkap untuk membantu dia membuat analisis.

Petua untuk berjaya

Setakat ini, sudah jelas bahawa menjalani diet penyingkiran makanan adalah rumit. Adalah penting untuk membuat perancangan dan pastikan anda mencatatkan perkara penting sepanjang menjalani diet penyingkiran makanan. Berikut adalah beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk membantu diri anda:

  • Persediaan adalah kuncinya: Luangkan sedikit masa membuat beberapa penyelidikan sebelum memulakan diet penyingkiran. Cari resepi mesra-diet-penyingkiran sebelum bermula. Anda juga mungkin ingin mencari makanan proses yang sesuai lebih awal lagi.
  • Sediakan bekalan bahan makanan sebelum bermula: Selain daripada mendapatkan resepi, anda juga harus memastikan anda mempunyai semua bahan yang diperlukan terlebih dahulu. Pastikan anda juga menyimpan bekalan snek atau makanan ringan yang mesra diet penyingkiran. Ini membantu menambahkan peluang anda untuk meneliti diet penyingkiran tersebut, terutama pada hari apabila anak anda lapar atau hanya memerlukan sesuatu untuk mengunyah.
  • Kemaskan sema: Luangkan sedikit masa untuk mencari makanan yang tidak mesra diet penyingkiran di dapur atau di bahagian lain rumah anda. Pastikan anda menyembunyikannya baik-baik, buang (jika ia hampir luput) atau berikan kepada orang lain. Dengan menyisihkan makanan yang tidak mesra diet penyingkiran, anda juga menghilangkan sebarang godaan kepada anak anda. Ini akan menggagalkan situasi di mana anak anda mungkin terang terpandang snek kegemarannya (yang sebahagian daripada makanan yang perlu disisihkan) dan meminta sedikit.
  • Pastikan semua penjaga ketahuinya: Tentukan anda melibatkan semua penjaga dalam perkara ini kerana mereka akan membantu memastikan anak anda mengikuti diet penyingkirannya. Ini termasuk mereka yang akan menjaga anak anda di pusat asuhan, tadika atau sekolah. Bagi kanak-kanak bersekolah, anda perlu membincangkan mengenai diet penyingkiran secara terperinci dengan anak anda untuk memastikan bahawa dia juga bekerjasama. Anda mungkin perlu menyediakan hidangan untuknya, kecuali anda 100% yakin bahawa makanan yang disediakan di kantin mematuhi diet penyingkirannya. Mungkin juga perlu memaklumkan kepada ahli keluarga dan ibu bapa kawan-kawan untuk mengelak daripada berkongsi/memberi makanan secara tidak sengaja.

Akhir sekali, ambil perhatian bahawa diet penyingkiran mungkin tidak memberi keputusan muktamad, di mana pakar alergi mungkin mengesyorkan cabaran pengambilan makanan secara oral untuk mengesahkan mana-mana keputusan yang tidak menyakinkan. Bagaimanapun, adalah penting bahawa sebarang diet penyingkiran HANYA diambil di bawah mengawasan seorang profesional perubatan yang berpengalaman untuk mengelak daripada masalah yang mungkin terjadi seperti malnutrisi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen