Pengasuhan Positif

Meningitis Meningokokus

Bakteria Neisseria meningitidis, juga dipanggil meningokokus, merupakan penyebab utama meningitis meningokokus di seluruh dunia. Namun begitu, di Malaysia, Haemofilus influenzae jenis b (Hib) dan Streptokokus pneumoniae adalah penyumbang utama jangkitan meningitis. Walaupun vaksin bagi Hib telah dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin meningokokus tidak disarankan secara rutin, begitu juga bagi vaksin pneumokokus.

Apa itu meningitis?

Bakteria Neisseria meningitidis hanya menjangkiti manusia dan 10% hingga 20% daripada populasi adalah pembawa bakteria ini. N.meningitidis disebarkan dari seorang ke seorang melalui titisan pernafasan (iaitu, mencium, bersin atau batuk) atau rembesan kerongkong seorang pembawa.

Jangkitan berlaku apabila bakteria menembusi lapisan perlindungan hidung dan kerongkong dan memasuki saluran darah. Sebaik sahaja berada di dalam saluran darah, mereka membiak dengan cepat dan melemahkan pertahanan tubuh, lantas membolehkan bakteria merentasi rintangan darah-otak dan menjangkiti meninges lalu mengakibatkan meningitis.

MENINGES

Meninges merujuk kepada tiga membran (dura mater, araknoid, dan pia mater) yang melapisi tengkorak dan menyelaputi otak dan saraf tunjang. Fungsi utamanya ialah melindungi sistem saraf pusat.

Kumpulan berisiko tinggi & faktor risiko

Bayi berusia kurang daripada setahun dan mereka yang berumur 16 hingga 23 tahun adalah lebih berkemungkinan dijangkiti berbanding kumpulan umur lain, tetapi semua kumpulan umur termasuk warga emas, boleh dijangkiti. Selain itu, pengembara, terutama mereka yang melawat ‘lingkaran meningitis’ (meningitis belt) serta jemaah haji juga turut berisiko.

Faktor risiko penyakit termasuklah:

  • Isi rumah atau asrama yang terlampau sesak
  • Merokok secara aktif atau pasif
  • Pernah menghidap jangkitan saluran pernafasan
  • Penyakit kronik (contohnya kegagalan hati, penyakit sistemik lupus erythematosus)
  • Ketiadaan limpa atau limpa tidak berfungsi
  • Kekurangan properdin (masalah berkaitan dengan gen yang jarang berlaku di mana kurangnya satu jenis komponen plasma darah yang menjejaskan imuniti).
  • Virus imunodifisiensi manusia (HIV), Sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS)

Simptom jangkitan dalam kanak-kanak

Purata tempoh inkubasi bakteria ialah 4 hari – ini dikira amat pantas tetapi penyakit tersebut menular lebih pantas lagi. Oleh yang demikian, jika anak anda menunjukkan mana-mana simptom seperti yang disebutkan di bawah, anda harus membawa dia ke hospital secepat mungkin. Rawatan awal antibiotik menggunakan penisilin, ampisilin, kloramfenikol dan seftriakson boleh menyelamatkan nyawanya.

Simptom-simptom yang lazim dalam kanak-kanak:

Dalam kalangan bayi dan bayi baharu lahir, simptom demam, sakit kepala, dan kejang leher mungkin tiada atau tidak ketara. Sebaliknya, mereka mungkin menunjukkan tanda-tanda rengsa, muntah-muntah, tiada selera makan, atau kelihatan tidak aktif.

Melindungi anak anda

Malangnya, walaupun dengan rawatan awal dan mencukupi, 10-15% pesakit meninggal dunia, biasanya dalam tempoh 24-48 jam selepas dijangkiti. Kebanyakan pesakit pulih sepenuhnya tanpa kesan jangka panjang, namun 10-19% daripada mereka mungkin mengalami ketidakupayaan kekal (contohnya kehilangan pendengaran, hilang anggota, atau kecacatan neurologi). Maka, pencegahan jangkitan melalui imunisasi seharusnya menjadi keutamaan.

Malaysia sudah lama meluluskan penggunaan vaksin meningokokus polisakarida yang mana boleh digunakan untuk kanak-kanak mulai usia 2 tahun dan ke atas. Sejak musim haji tahun 2002, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi mewajibkan imunisasi terhadap kesemua 4 serokumpulan meningokokus (A, C, Y dan W135) ke atas semua jemaah haji.

Vaksin meningokokus konjugat atau meningococcal conjugate vaccine (MCV) terkini adalah jauh lebih berkesan dan memberi perlindungan terhadap keempat-empat serokumpulan meningokokus. Tidak seperti vaksin polisakarida, MCV boleh diberi seawal usia 6 minggu. Anda boleh mendapatkan vaksin tersebut untuk anak anda di klinik atau hospital yang membekalnya tetapi pastikan anda mendapat nasihat pakar kanak-kanak dahulu.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen