Kebanyakan kita mengingati zaman kanak-kanak kita dengan penuh mesra dan sering mengenang dengan gembira masa yang kita luangkan bersama rakan-rakan lain di sekitar taman setempat. Sedihnya, ramai kanak-kanak hari ini akan mempunyai kenangan yang jauh berbeza. Mereka lebih berkemungkinan menghabiskan lebih banyak masa dengan ‘pengasuh digital’ berbanding rakan-rakan sebaya.
Pendedahan kepada peranti teknologi tinggi ini sering bermula sejak dari usia muda, dan meskipun ia melakukan tugas yang baik dalam mengalihkan perhatian kanak-kanak, terdapat kesan buruk pada perkembangan dan kesihatan anak anda dalam jangka masa panjang. ‘Pengasuh digital’ tersebut semakin menjadi rakan bermain pilihan mereka. Kerana bermain dengan telefon pintar kepunyaan ibu bapa mereka, terlalu banyak masa dihabiskan menggunakan peranti tersebut berbanding bermain di luar dan bersama kawan-kawan.
Kurang aktiviti fizikal
Satu aspek penting penggunaan pengasuh digital secara berlebihan tetapi sering dipandang ringan ialah ia merupakan suatu aktiviti sedenteri. Masa yang diluangkan menggunakan peranti bererti kurang masa digunakan untuk aktiviti fizikal yang lebih berfaedah. Terdapat banyak kajian mengaitkan aktiviti fizikal dengan tidur dan daya tumpuan yang lebih baik, terutama bagi permainan atau sukan yang melibatkan sesuatu bentuk aktiviti fizikal.
Aktiviti fizikal secara tetap mempunyai banyak faedah termasuk meningkatkan pemikiran kreatif anak anda, kemahiran sosial (contohnya, belajar berkongsi dan mempersembahkan idea, berunding), menguatkan otot dan tulang, mengurangkan risiko terhadap penyakit tidak berjangkit (seperti penyakit jantung atau diabetes), mempertingkatkan kualiti tidurnya, dan juga bererti dia berkemungkinan lebih bermotivasi untuk berjaya dalam akademik. Kanak-kanak aktif dari segi fizikal juga mendapat manfaat dengan peningkatan perkembangan kognitif dan kemahiran fizikal, serta kesejahteraan sosial dan emosi.
Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan agar semua kanak-kanak mendapat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti berintensiti sederhana setiap hari dan dalam persekitaran yang selamat. Mujurlah, anda tidak perlu melakukan kesemua 60 minit dalam satu sesi! Anda boleh mengumpulnya sepanjang hari, contohnya tiga sesi 20 minit, untuk mencapainya.
Menggalakkan aktiviti fizikal
Galakkan anak anda untuk kekal aktif secara fizikal bagi sekurang-kurangnya satu jam atau lebih setiap hari. Ia tidak perlu dicapai dalam satu sesi. Ia boleh dibahagi-bahagikan kepada dua sesi atau lebih yang jumlahnya ialah 60 minit.
Berikut adalah beberapa permainan lama yang biasa dimain oleh kanak-kanak dalam tahun 80an dan 90an. Nama dan cara bermain mungkin berbeza antara negeri dan era:
Batu Seremban
Cara bermain: Campak kesemua batu (atau beg kecil berisi kacang agar kurang sakit) ke atas lantai. Ambil sebiji batu dan campak ke atas, kemudian sambar dengan pantas sebiji batu lain dan sambut batu yang jatuh dari udara sebelum ia jatuh ke lantai. Variasi lain termasuk mengambil beberapa biji batu sekaligus dan mengkoordinasikan kedua-dua belah tangan.
Chapteh
Cara bermain: Permainan ini memerlukan imbangan baik dan ketangkasan kerana pemain perlu mengekalkan bulu tangkis di udara seberapa lama yang mungkin dengan hanya menggunakan kaki mereka.
Ketingting
Cara bermain: Pemain bergilir-gilir mencampak sesuatu barang (seperti pek tisu, beg duit syiling) ke dalam salah satu kotak bernombor, kemudian lompat ke dalam (melangkau barang tersebut) dan hanya mengambilnya semasa menghala keluar.
Main sembunyi-sembunyi
Cara bermain: ‘Pencari’ membilang ke bawah; apabila sudah bersedia, dia mula mencari ‘penyembunyi’ yang objektifnya ialah untuk sampai ke pangkalan (selalunya tempat di mana pencari membilang ke bawah). ‘Penyembunyi’ dikejar atau, teriak apabila ditemui.
Lompat getah
Cara bermain: Pemain cuba melangkah seutas tali yang diperbuat daripada gelang getah yang dijalin, mula-mula pada paras rendah dan beransur-ansur semakin tinggi.
Ibu Ayam & Helang
Cara bermain: Paling seronok dimainkan dalam kumpulan besar, seorang pemain menjadi ‘Helang’, seorang ‘Ibu Ayam’, dan yang lain menjadi ‘anak ayam’. Objektif Helang adalah untuk menangkap anak ayam terakhir (yang akan mengambil tempatnya, atau keluar dari permainan) manakala Ibu Ayam berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi ‘anak-anak ayamnya’. Anak-anak ayam berada di belakang ibu ayam, dengan seorang sahaja yang memegang ibu ayam dan yang lain beratur dan berpegangan.
Tarik upih
Cara bermain: Seorang pemain duduk di atas sehelai upih pinang atau nibong manakala seorang lagi menariknya. Ia boleh dijadikan satu pertandingan yang seronok di antara pasukan.
Utamakan keselamatan
Kebanyakan permainan ini berkembang daripada kreativiti seseorang. Contohnya, permainan karom boleh dimain menggunakan tudung botol, atau ketingting boleh dimainkan di atas jubin lantai yang besar. Walaupun tidak ada peraturan tetap cara bermain, apa yang boleh digunakan atau tempat, bermain, sentiasa pastikan keselamatan menjadi keutamaan anda dengan memastikan terdapat sekurang-kurangnya seorang dewasa berdekatan pada setiap masa untuk mengawasi permainan.
Anda juga boleh meningkatkan keselamatan dengan mengadakan sempadan, terutama untuk permainan di luar (contohnya, kalah secara automatik jika mereka terkeluar daripada sempadan kawasan), yang akan membantu menghalang mereka daripada berlari ke jalan raya, contohnya semasa sedang bermain sembunyi-sembunyi.
Ingatlah bahawa sebagai ibu bapa, anda perlu mencari penyelesaian yang tidak terlalu bergantung kepada peranti teknologi tinggi dan galakkan anak anda atau anak kecil anda untuk lebih aktif secara fizikal. Tetapi lakukannya juga dengan cara yang selamat. Oleh kerana anda ialah contoh teladannya, pastikan anda menunjukkan teladan dengan mengurangkan masa menggunakan peranti anda dan luangkan lebih masa terlibat dalam aktivitinya.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen