Pengasuhan Positif

Mengajar Anak Anda Tentang Hormat & Tanggungjawab

Kanak-kanak lazimnya diajar cara untuk merangkak, berjalan, membaca dan menulis. Apabila mereka membesar, mereka akan belajar cara untuk menyelesaikan masalah matematik, memahami konsep saintifik dan berbahas peristiwa bersejarah. Kesemua ini dilaksanakan melalui bimbingan ibu bapa, guru ataupun pengasuh.

Bimbingan yang sama juga hendaklah diberikan dalam usaha untuk mengembangkan kualiti, nilai moral dan perwatakan anak anda supaya selaras dengan kemahuan anda. Melalui bimbingan dan teladan orang dewasa, kanak-kanak belajar untuk menjadi seorang yang jujur serta menghormati, mempertahankan apa yang mereka percayai, mengambil berat tentang orang lain, bertanggungjawab dan membuat pilihan bermoral,

Tanggungjawab

Bertanggungjawab bererti seseorang itu boleh dipercayai, diharapkan, jujur dan komited. Seseorang yang bertanggungjawab sedia menerima akibat daripada tindak-tanduk dan tutur katanya. Kanak-kanak perlu faham bahawa untuk menjadi sebahagian daripada sesebuah keluarga dan komuniti, mereka hendaklah menggalas tanggungjawab dan menunaikannya dengan ikhlas.

Membesarkan Anak yang Bertanggungjawab

  1. Bantu anak anda memahami hubungan antara tindakan yang dilakukan dan kesan daripada tindakan tersebut dengan memberi contoh sebenar (seperti jika permainannya tidak disimpan, seseorang mungkin terpijak dan tercedera).
  2. Sentiasa tegas melalui disiplin dan peraturan kerana tanggungjawab juga merangkumi perakuan diri. Dia perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa terdapat kesan dan akibat daripada percakapan, tindakan dan keputusan yang dibuat.
  3. Jangan memenuhi keperluan mereka secara serta-merta atau mengalah kepada semua kehendak mereka. Ini memberi peluang kepada anak anda untuk belajar bertoleransi dengan sedikit kekecewaan, melengahkan kepuasan hati, menjadi kurang impulsif dan kurang mementingkan diri sendiri, serta memahami bahawa mereka adalah sebahagian dari sistem fungsian yang lebih besar.
  4. Bina rasa keupayaan dan kepercayaan diri mereka melalui tingkah laku yang bertanggungjawab. Apabila mereka yakin bahawa mereka boleh mengatasi cabaran dan membuat sesuatu sumbangan,mereka akan lebih cenderung untuk memenuhi kewajipan mereka dan berasa gembira untuk memikul tanggungjawab.
  5. Kejujuran adalah sukar bagi kanak-kanak, mereka takut untuk menerima akibat apabila berbuat salah. Oleh itu, jika anda ingin anak anda mengakui salah atau silap:
    • bertenanglah dan berlemah lembut apabila menyuarakan ketidakpuasan hati anda tentang tingkah laku yang buruk.
    • beritahulah mereka bahawa semua orang membuat kesilapan tetapi perkara yang paling penting ialah kejujuran dan mempelajari daripada kesilapan, serta cuba memperbetulkannya semula.
    • puji kejujurannya jika dia mengaku melakukan kesilapan atau salah laku.

Hormat

Hormat bererti menerima orang lain tanpa menilai mereka dan memberi layanan yang bersopan. Ia bermula daripada kepercayaan bahawa semua orang adalah sama dan harus dilayan dengan mulia. Sama seperti sikap bertanggungjawab, anda perlu mengajar anak anda untuk memikirkan bagaimana tindakannya akan memberi kesan kepada orang lain, kerana kita semua saling berkait antara satu sama lain tidak kira sama ada kita suka atau tidak.

Mengajar anak tentang hormat

  1. Jadilah teladan yang baik. Guna perkataan seperti “tolong”, “terima kasih”, dan “maafkan saya” apabila perlu. Pastikan anak anda memahami mengapa bersopan santun terhadap orang lain adalah penting dalam masyarakat.
  2. Tetapkan batasan dan kuatkuasakan peraturan apabila anak anda tersilap perlakuan atau bertingkah laku tidak wajar. Pastikan mereka memahami mengapa sesetengah perlakuan dianggap tidak sopan atau tidak wajar.
  3. Mulakan dengan meminta dia menghormati permainannya sendiri dan menyimpannya selepas bermain. Tekankan bahawa ini juga menunjukkan rasa hormat kendiri kerana ia menunjukkan kasih sayang.
  4. Ajar anak anda supaya menghormati perbezaan orang lain dan beritahu mereka mengapa setiap orang harus dilayan secara sama rata, tanpa mengira perbezaan tersebut. Adalah penting untuk mengiktiraf dan mengakui orang lain walaupun anda tidak setuju dengan mereka. Mengiktiraf perasaan orang lain menunjukkan rasa hormat.
  5. Pupukkan kebaikan dan empati dengan bertanya perasaan mereka sekiranya mereka berada dalam situasi orang lain. Akui perasaan dan pendapatnya.
  6. Ajar anak anda supaya menjadi seorang pendengar yang baik. Mendengar secara aktif dan mengakui orang lain apabila mereka bercakap adalah asas kehormatan. Anda juga perlu melakukan perkara yang sama sebagai teladan.

Beberapa tugasan dan kerja rumah yang bersesuaian mengikut umur boleh membantu anak anda mengamalkan rasa tanggungjawab dan hormat. Peranan mudah di rumah menanamkan perasaan kekitaan dan keberdayaan diri dalam dirinya. Membantu membuat kerja rumah bersama-sama ahli keluarga lain membawa kepada fungsi kekeluargaan yang holistik, dan anak anda dapat melihat bahawa tanggungjawab kecilnya (yang mungkin besar baginya) menyumbang kepada gambaran sempurna yang lebih besar.

Kanak-kanak Petatih & Pra sekolah
  • Menutup lampu apabila meninggalkan bilik (pengawasan mungkin diperlukan jika anak anda perlu menggunakan kerusi untuk mencapai suis).
  • Mengamalkan cara berkomunikasi yang sopan. Tunjuk kepada anak anda cara bercakap bersopan-santun dengan orang lain.
  • Menggantung tuala selepas mandi (di tempat penyangkut).
  • Menyimpan permainan selepas bermain.
  • Membawa pinggan mangkuk ke sinki (kemudian, basuh pinggan sendiri).
  • Menyediakan meja untuk waktu makan.
  • Memberi makan haiwan peliharaan.
  • Membaca cerita waktu tidur yang mengandungi pelajaran moral dan nilai khusus yang mengajar tentang hormat, tanggungjawab dan menyelesaikan masalah sosial.

Kanak-kanak (6-12 tahun)
  • Melakukan kerja rumah (contohnya, menyapu, mencuci tingkap, memvakuum, membuang sampah).
  • Membantu menyediakan makan malam.
  • Menjaga haiwan peliharaan.
  • Menyediakan bekalan makanan untuk dibawa ke sekolah.
  • Menyusun pakaian di dalam laci (kemudian, melipat pakaian sendiri).
  • Menyediakan beg sekolah dan membasuh kasut sekolah sendiri.
  • Menggalakkan anak mengambil bahagian dalam aktiviti ko-kurikulum, atau menganggotai pasukan sukan sekolah.

Adalah penting untuk mengukuhkan tingkah laku bertanggungjawab dan hormat dengan mengakui, menggalak dan membentuk tingkah laku tersebut. Elakkan daripada sentiasa mengkritik anak anda tentang perkara yang dia lakukan. Komen negatif boleh meningkatkan risiko mereka untuk tidak menghormati orang lain, serta boleh merendahkan harga diri dan melemahkan semangat untuk bertanggungjawab. Idea utama di sini adalah untuk menjadi teladan nilai murni kepada anak anda. Hormat dan tanggungjawab dipupuk dengan benar-benar menghargai orang lain dan barang kepunyaan mereka.

Ibu bapa memainkan peranan besar dan penting dalam membentuk perwatakan, kepercayaan dan tingkah laku anak mereka. Kajian sains tingkah laku menunjukkan bahawa kemahiran sosial yang baik dalam kanak-kanak, terutamanya kemahiran menghargai nilai orang lain seperti menghormati dan bertanggungjawab, adalah faktor utama kejayaan di kemudian hari, tanpa mengira pencapaian akademik. Oleh itu, mengajar mereka tentang tanggungjawab dan hormat dari awal dapat membantu membendung sikap terlampau mementingkan hak lalu membina kemahiran untuk mewujudkan hubungan positif dalam diri anak-anak. Ini sudah pasti berbaloi apabila mereka membesar menjadi orang dewasa yang berguna dan dihormati dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi, nilai-nilai ini akan memelihara keharmonian kesihatan mental dan kesejahteraan dalam kalangan keluarga dan masyarakat.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen