Pengasuhan Positif

Membaca bersama Si Kecil Anak Anda

Jika anda ingin memberi Si Kecil anda kelebihan daripada rakan-rakannya dari segi sosial atau pendidikan, cara terbaik adalah dengan mendedahkan mereka kepada bahasa pada usia kecil lagi. Anda boleh melakukannya dengan memastikan anda sentiasa berkomunikasi dengan Si Kecil anda seberapa kerap yang boleh dan ini termasuk bercakap dan membaca kepadanya.

Anda boleh mula dari saat bayi anda dilahirkan. Jangan bimbang jika dia tidak memahami apa yang anda bacakan kerana perkara yang penting di sini adalah untuk anda meluangkan masa berkualiti bercakap dengannya. Kajian menunjukkan bahawa bayi pra-matang yang terdedah kepada pembacaan dalam unit jagaan rapi neonatal juga mempunyai kemahiran yang lebih baik apabila membesar sebagai kanak-kanak petatih.

Terdapat banyak faedah yang boleh didapati daripada membaca kepada Si Kecil anda, khususnya:

  • Menguasai banyak perbendaharaan kata.
  • Mempelajari bagaimana untuk menggunanya.
  • Memudahkan pemahaman fonik (sistem belajar membaca dengan memadankan bunyi dengan simbol).
  • Mengaitkan huruf (dan kemudian perkataan) dengan perkataan yang anda guna.
  • Mempelajari abjad sedikit demi sedikit.

Terdapat banyak faedah lain yang boleh dikaitkan dengan membaca kepada Si Kecil anda. Pertama, ia membantu mengukuhkan kebolehan kognitifnya – perbendaharaan katanya sedang meningkat dengan pesat pada umur ini. Membaca membantu mengisi sifat ingin tahunya tentang abjad, warna, bentuk, cuaca, haiwan, musim, atau apa sahaja. Tip ringkas: Pilih buku yang mempunyai banyak gambar yang dia boleh lihat dan namakan.

Membaca juga merupakan pengalaman yang sangat baik untuk merapatkan hubungan kerana ia membolehkan anda meluangkan masa berkualiti bersama Si Kecil anda. Ia membantu mengukuhkan hubungan di antara anda berdua, terutama jika anda berusaha untuk memastikan sesi membaca adalah sangat interaktif.

Tahukah anda?

Membaca secara kuat kepada Si Kecil anda membantu dalam peralihannya daripada seorang bayi kepada seorang kanak-kanak petatih. Contohnya, mendengar cerita tentang kanak-kanak bertatih lain yang sedang berdepan masalah yang sama seperti dia, boleh membantu dia mengatasi perasaan takut atau kecewa, contohnya, dia mungkin bimbang tentang raksasa di bawah katilnya; cerita mengenai seorang kanak-kanak petatih lain mengatasi masalah ini boleh membantu mengurangkan rasa takutnya.

Masa untuk membaca!

Bayi dan kanak-kanak petatih biasanya sukakan jadual yang tetap kerana ia membuat mereka rasa selamat dan selesa. Pastikan bahawa sesi membaca anda dilakukan pada masa yang sama (jika boleh setiap hari), contohnya sebelum waktu tidur.

Jika dia sangat aktif, cuba dudukkan dia di atas riba atau peluk dia. Kebanyakan kanak-kanak petatih suka dipeluk kerana ia membuat mereka rasa selamat dan selesa. Ini menjadikan sesi membaca anda lebih menggembirakan dan tenang.

Memilih sebuah buku

Sentiasa guna buku atau bahan yang sesuai untuk umur semasa sesi membaca bersama Si Kecil anda. Anda boleh mulakan dengan buku-buku mudah untuk kanak-kanak petatih (kebanyakan buku mempunya tajuk lazim seperti “Perkataan pertama bayi”). Biarkan dia memilih buku mana yang dia mahu anda bacakan kepadanya. Jangan bimbang jika dia memilih buku yang sama setiap hari untuk beberapa minggu atau bulan kerana ia adalah sangat normal. Pada masa yang sama, perkenalkan buku baharu untuk menunjukkan kepada anak anda bahawa terdapat banyak lagi pilihan yang menyeronokkan.

Buku untuk kanak-kanak bertatih lazimnya mempunyai muka surat tebal dan mudah dipegang oleh mereka kerana tangannya masih belum cukup cekap untuk memegang buku ‘betul’. Selain itu, buku ‘bayi’ tahan lasak jadi anda boleh membiarkan dia memegang sendiri buku tersebut tanpa perlu bimbang muka suratnya dikoyakkan.

Tarik perhatiannya

Pastikan anda memperuntukkan masa yang khusus untuk sesi membaca Si Kecil anda, ini bermakna memadamkan TV dan menyimpan telefon pintar di tempat yang tidak boleh dicapai. Anda tidak perlu tergesa-gesa apabila membaca dan bacalah dengan penuh perasaan. Jangan takut untuk berjenaka mengguna suara yang berbeza atau bermain lakon peranan setiap watak.

Anda juga boleh menggunakan anak patung tangan atau jari sebagai alat sambil anda membaca kepadanya. Cuba untuk menggalakkan dia mengambil bahagian dengan membaca, bertepuk tangan atau menyanyi bersama-sama anda. Berseronok dan menggantikan beberapa watak di dalam buku dengan orang dalam kehidupan benar, contohnya, guna nama Si Kecil anda menggantikan nama salah seorang watak.

Buku-buku yang mempunyai gambar adalah bagus kerana anda boleh menunjuk gambar kepadanya dan bercakap tentangnya, sebagai contoh, tanya anak anda nama objek di dalam gambar. Sebelum beralih ke muka surat seterusnya, anda juga boleh bertanya soalan-soalan terbuka seperti “Anda fikir budak lelaki itu hendak buat apa dengan kotak itu?” atau “Cuba beritahu saya apa akan terjadi seterusnya?” Ini akan menggalakkan Si Kecil anda untuk berfikir tentang cerita yang anda sedang baca dan mengambil bahagian lebih aktif dalam sesi membaca anda.

Selain daripada membaca kepadanya, anda juga boleh menggalakkan kemahiran sosial dan bahasanya dengan bercakap dengannya sepanjang hari. Aktiviti lain yang membantu termasuk menyanyi kepadanya, bermain permainan berirama atau mencipta cerita sendiri bersama-sama.

Tiada batas kepada akses

Akses kepada buku bagi Si kecil anda tidak harus terbatas kepada sesi membaca bersama anda sahaja. Pastikan buku-buku mudah dicapai oleh anak anda pada bila-bila masa dengan meletakkannya di tempat di mana dia boleh capai, contohnya di dalam bakul berasingan untuk buku sebelah bakul permainannya atau rak buku rendah berhampiran katilnya. Anda juga harus menjadikan satu tabiat untuk menyimpan beberapa buku bersama anda, contohnya, di dalam kereta atau semasa membawa dia berjumpa doktor.

Ingat, tujuan membaca bersama Si Kecil ialah untuk merapatkan hubungan dengannya, oleh itu hadkan masa dia mengguna sebarang jenis peranti yang mempunyai skrin, contohnya TV, permainan video, telefon pintar, tablet, dll. Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) menyarankan ‘masa skrin’ dihadkan kepada kurang daripada dua jam bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Jangan terperangkap dengan penggunaan ‘pengasuh digital’ untuk menggantikan anda sebagai ibu bapa.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen