Pengasuhan Positif

Artritis Kanak-Kanak

Kanak-kanak juga boleh mengalami artritis! Artritis atau radang sendi yang sinonim sebagai penyakit orang yang lebih berumur anehnya juga lazim di kalangan kanak-kanak.

Pada 2015, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat melaporkan bahawa 1 dalam 250 kanak-kanak mengalami sekurang-kurangnya satu jenis sakit sendi yang mungkin berkaitan dengan penyakit autoimun atau jangkitan kuman.

Sekiranya kesakitan artritis disebabkan oleh jangkitan, kanak-kanak tersebut boleh dirawat sepenuhnya. Namun begitu, artritis juga boleh disebabkan oleh masalah autoimun. Kanak-kanak dalam kategori ini mungkin telah menziarahi ramai doktor untuk mengadu kesakitan dalam sendi mereka dan kesakitan ini masih tidak hilang dengan ubat penahan sakit yang biasa. Adakalanya, kesakitan menjadi sangat teruk sehingga mereka tidak boleh melakukan aktiviti harian seperti ke sekolah atau lebih teruk lagi, mereka langsung tidak dapat hadir ke sekolah kerana tidak boleh bangun dari katil atau berjalan.

Apabila sakit sendi berterusan melebihi 6 minggu, kanak-kanak tersebut mungkin mengalami masalah yang dipanggil artritis kanak-kanak atau dalam istilah perubatan, Artritis Juvenil Idiopatik atau Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA), dan ia menyerang kanak-kanak dan remaja sehingga usia 16 tahun. Ia merupakan sejenis penyakit kronik dan disebabkan oleh sistem imun yang menyerang kapsul sendi atau sinovium, mengakibatkan keradangan yang ketara. Keradangan ini menyebabkan kesakitan, bengkak dan permukaan kulit menjadi panas. Kesakitan lazimnya berkait dengan kekakuan di awal pagi, iaitu kanak-kanak menghadapi kesukaran melurus atau membengkokkan sendi yang terjejas pada sebelah pagi. Kanak-kanak ini akan bergerak dengan lutut atau siku yang bengkok dan adakalanya mereka dapat dilihat berjalan terhincut-hincut. Punca sebenar keadaan ini masih belum diketahui.

Malangnya, oleh kerana kurangnya kesedaran, ramai kanak-kanak yang mengalami masalah ini mengambil masa berbulanbulan untuk dirujuk kepada pakar reumatologi kanak-kanak. JIA merupakan satu masalah yang berat dan jika tidak dirawat awal, boleh menyebabkan kecederaan jangka panjang pada struktur dalaman sendi dan persekitarannya. Apabila kanak-kanak tersebut membesar, penyakit ini akan menjejaskan plat pertumbuhan mereka yang boleh mengakibat tangan dan kaki mereka menjadi pendek. Lebih teruk ialah apabila tulang-tulang musnah sama sekali, mereka tidak boleh membengkokkan sendi. Adalah sangat penting untuk merawat kanak-kanak tersebut seberapa cepat yang mungkin untuk mencegah kecederaan jangka panjang pada kesemua struktur penting tersebut di dalam tubuh mereka.

Terdapat tujuh subjenis JIA khususnya oligoartritis, poliartritis reumatoid-faktor-positif, poliartritis reumatoid-faktor-negatif, artritis sistemik, artritis psoriatik juvenil, artritis berkaitan entesitis dan artritis tidak khusus. Oligoartritis berlaku apabila empat atau kurang sendi terjejas dan lazimnya menyerang kanak-kanak di bawah usia 5 tahun. Penyakit ini menyerang sendi-sendi besar seperti lutut, buku lali dan siku. Pesakit yang mengalami subjenis ini cenderung mengalami radang mata yang dipanggil uvetis dan perlu mendapatkan pemerikasaan susulan pakar mata secara berkala.

Bagi poliartritis reumatoid-faktor-positif dan poliartritis reumatoid-faktor-negatif, kedua-duanya menyerang kanak-kanak dengan keradangan pada lebih daripada empat sendi. Perbezaannya ialah hanya samada terdapat autoantibodi yang dipanggil ‘reumatoid faktor’. Sekiranya terdapat reumatoid faktor ini, kesannya pada kanak-kanak adalah lebih teruk kerana penyakit ini lebih agresif dan kemungkinan memerlukan ubat-ubatan baharu untuk mengawal artritis mereka. Dua subjenis ini lazimnya menyerang kanak-kanak yang berusia lebih daripada 5 tahun. Kanak-kanak perempuan lebih berisiko mengalami poliartritis berbanding kanak-kanak lelaki.

Artritis sistemik lazimnya menyerang kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun dan ia merupakan jenis artritis yang tenat. Ini kerana kanak-kanak tersebut juga akan mengalami demam panas dan ruam berserta keradangan yang tidak terkawal dalam tubuh sehingga menyebabkan bengkak jantung, paru-paru, hati dan limpa. Ia boleh menyebabkan penurunan drastik sel darah putih, sel darah merah dan platelet dan mengakibatkan Sindrom Pengaktifan Makrofaj. Keadaan ini boleh membawa maut jika tidak dikenalpasti pada peringkat awal. Oleh itu, kanak-kanak tersebut harus segera dibawa berjumpa seorang pakar reumatologi kanak-kanak.

Artritis berkaitan entesitis ialah satu jenis artritis yang bukan sahaja menyerang sendi tetapi juga entesitis, iaitu bahagian di mana ligamen atau tendon bersambung dengan tulang. Subjenis ini lazimnya menyerang kanak-kanak bersekolah dan boleh mengakibatkan sakit belakang yang teruk disebabkan keradangan pada sendi sakroiliak. Ini ialah sendi yang terbentuk di antara tulang ekor and tulang pinggul. Kanak-kanak yang menghidapi penyakit inflamatori usus, iaitu penyakit autoimun yang mengakibatkan radang dalam usus, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat artritis subjenis ini.

Artritis psoriatik juvenil menyerang 20% daripada kanak-kanak yang menghidapi psoriasis (sejenis penyakit autoimun kulit di mana kulit mengelupas teruk disebabkan penggantian sel kulit yang cepat) atau mempunyai ibu bapa atau adik beradik yang menghidapi psoriasis. Biasanya ia menyerang kanak-kanak berusia lima tahun ke atas dan menjejaskan jejari atau ibu jari kaki menjadikannya seolah-olah berbentuk sosej dan ini dipanggil daktilitis.

Rawatan bagi JIA adalah bertujuan untuk mengawal penyakit seberapa awal yang mungkin untuk mencegah kerosakan yang lebih teruk pada sendi kanak-kanak. Ia boleh dimulakan dengan suntikan sasaran ke dalam sendi dengan ubat antiradang yang mujarab, seperti triamsinolon, jika hanya beberapa sendi sahaja yang terlibat. Rawatan gabungan dengan ubat mengubah penyakit anti reumatik atau diseasemo-difying anti-rheumatic drugs (DMARDs) pula digunakan bagi mereka yang mengalami penyakit yang lebih teruk. Hari ini, terdapat lebih banyak terapi sasaran terhadap beberapa molekul radang di dalam tubuh yang boleh digunakan untuk merawat JIA. Dengan kesemua ubat-ubatan ini, kadar penyembuhan bagi JIA adalah baik, terutamanya jika dirawat awal. Lebih daripada 80% kanak-kanak yang menghidapi JIA boleh menjalani gaya hidup yang normal dan aktif, sama seperti kanak-kanak lain.

Mesej Utama Untuk Dibawa Pulang

  1. Kanak-kanak dan remaja juga boleh menghidapi artritis dan ia tidak terbatas kepada orang dewasa sahaja.
  2. Sekiranya seorang kanak-kanak mengalami sakit sendi melebihi 6 minggu, kanak-kanak tersebut perlu mendapat bantuan perubatan daripada seorang pakar reumatologi kanak-kanak secepat mungkin kerana ia mungkin JIA.
  3. JIA merupakan penyakit autoimun kronik yang boleh mengakibatkan ketidakupayaan sepanjang hidup jika tidak dirawat dengan sempurna.
  4. JIA tidak mempunyai punca yang khusus.
  5. Terdapat banyak subjenis JIA dan setiap subjenis mempunyai kadar keterukan yang berbeza.
  6. Kanak-kanak yang menghidapi demam selama beberapa minggu tanpa sebab yang diketahui mungkin mengalami JIA.
  7. Kanak-kanak yang menghidapi psoriasis juga boleh mendapat artritis.
  8. Rawatan awal adalah penting untuk mencegah kerosakan pada sendi dan plat pertumbuhan.
  9. Rejim rawatan terkini mempunyai kadar kejayaan yang tinggi dan kebanyakan kanak-kanak boleh menjalani kehidupan yang normal dan aktif.
  10. Ibu bapa dan pakar reumatologi kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak yang menghidapi JIA mengatasi penyakit kronik ini, yang memerlukan penjagaan dan rawatan jangka panjang.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen