Pengasuhan Positif

Memupuk Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam Diri Anak Anda

Kebanyakan orang dewasa hari ini terlepas peluang untuk mengubah hidup mereka kerana terperangkap dalam rutin kehidupan seharian. Anda tidak mahu anak anda terperangkap dalam keadaan sama, berikut adalah cara anda boleh mencetuskan minat pembelajaran sepanjang haya dalam anak-anak. Pembelajaran sepanjang hayat merupakan pembangunan pembelajaran formal dan tidak formal: perkembangan kemahiran adaptif yang berterusan, pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan oleh manusia sepanjang hayat dan membantu mereka membuat perubahan positif bagi diri sendiri dan orang di sekeliling mereka. Cuba fikirkan, dahulu anda bujang, kini anda sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak. Satu anjakan besar dalam kehidupan anda telah berlaku. Anda memikul tanggungjawab baharu, berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu, mempelajari kemahiran baharu serta menyesuaikan diri pada perubahan. Anda sebenarnya berada dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat dalam bidang pengasuhan anak-anak. Terdapat 3 jenis gaya pembelajaran:

  1. Adaptif – Bergantung kepada penyelesaian yang terbukti berkesan sebelum ini dan selesa membuat penyesuaian jika perlu.
  2. Generatif – Sentiasa mencari idea dan kemahiran baharu, mencuba tingkah laku baharu, dan menetapkan matlamat yang mencabar bagi diri sendiri.
  3. Transformasi – Mempunyai kemahiran untuk berdepan dan melakukan perubahan yang ketara atau frame-breaking change. Mereka cekap mengenalpasti jurang, menetapkan matlamat, mewujudkan rancangan pembelajaran, dan mengekalkan motivasi untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Seseorang itu mungkin mempunyai salah satu, semua atau tiada langsung mana-mana jenis gaya pembelajaran di atas. Ianya bergantung kepada kecekapan yang mereka peroleh sepanjang hayat. Justeru itu, pembelajaran sepanjang hayat sering dilihat sebagai perkara orang dewasa atau pendidikan berterusan. Walau bagaimanapun, benih yang akan menyemarakkan motivasi untuk belajar, berubah dan menyesuaikan diri disemai sejak dari kecil. Bagaimana anda menggalakkan perasaan suka belajar dalam anak anda?

1. Jangan Menilai, Beri Galakan

Kanak-kanak membuat kesilapan; memang mudah untuk menilai dan berasa marah setiap kali anak-anak melakukan kesilapan. Sebaliknya ibu bapa harus:

  • menerima bahawa kesilapan lazim berlaku tetapi mempelajari daripada kesilapan tersebut dan tidak mengulanginya adalah kunci untuk maju ke hadapan dan memperbaiki diri sendiri.
  • jangan terlalu melindungi, benarkan anak-anak lakukan kesilapan sendiri dari masa ke masa – pengalaman adalah guru terbaik.
  • ajarlah mereka untuk bertanggungjawab atas kesilapan mereka sendiri dan jangan menyalahkan orang lain.
  • puji keberanian mereka dan sokong usaha untuk mengatasi sebarang halangan.
  • jangan ungkit kesilapan lampau. Sebaliknya, ambil iktibar darinya dan fokus kepada cabaran-cabaran mendatang.

2. Fokus kepada ‘Kebolehan’

Adakalanya, ibu bapa terlalu menekan anak-anak mereka untuk menjadi yang terbaik mengatasi orang lain. Harapan yang terlalu tinggi dan tidak realisitk boleh menjadi punca stres bagi seorang kanak-kanak. Oleh itu, adalah lebih baik untuk memberi fokus kepada membantu mereka meningkatkan kemahiran sedia ada dan mempelajari perkara baharu – ini membawa kepada kebolehan kendiri dan kurang berprasangka.

  • Pupuk dan bantu mereka mengejar minat mereka dengan menyediakan bahan dan aktiviti yang berkaitan minat tersebut.
  • Cari peluang untuk mereka mengasah kemahiran kepimpinan dan berikan pengalaman pembelajaran melalui pemberian tugasan.
  • Bantu mereka memperbaiki kemahiran emosi & sosial dengan membolehkan mereka berhubung dan berinteraksi dengan orang-orang yang berbeza melalui NGO atau aktiviti berteraskan komuniti.
  • Kerap berbincang tentang rancangan masa depan mereka dan bagaimana mereka boleh berusaha untuk mencapainya.

3. Raikan Sifat Kreatif dan Ingin Tahu

Kreativiti membantu kanak-kanak menjadi lebih berkeyakinan, membangunkan kemahiran sosial, dan membantu mereka belajar dengan lebih baik. Memupuk sifat ingin tahu dan kreativiti dalam anak-anak anda akan memupuk sikap minat untuk belajar sepanjang hayat. Bantu anak anda mendapatkan tumpuan, kecekapan, ketabahan, dan optismisme yang diperlukan untuk berjaya dalam usaha-usaha kreatifnya.

  • Pupuk pemikiran kritikal yang kreatif dengan memperuntukkan masa tidak berstruktur untuk berseronok dan bermain apa sahaja.
  • Bantu anak anda berjumpa dengan orang-orang baharu, pergi ke tempat-tempat baharu dan menjelajahi pengalaman baharu untuk mengembangkan minda mereka.
  • Biarkan mereka menjadi unik, sokong mereka dan jangan bimbang jika mereka berbeza sedikit daripada rakan-rakan sebaya mereka yang lain – selagi mereka ada beberapa orang kawan sudah cukup baik, jangan semata-mata termakan budaya popular.
  • Fokus kepada mencari penyelesaian bersama-sama tetapi biarkan mereka mainkan peranan utama.
  • Anda sendiri harus kreatif di rumah (contohnya memasak hidangan yang seronok sambil menghias pinggan, buat sendiri rumah olok-olok menggunakan kadbod dan bahan kitar semula).

Pembelajaran sepanjang hayat adalah mengenai kelangsungan hidup. Tidakseperti cerita dongeng, tiada istilah ’bahagia selama-lamanya’ dalam dunia sebenar kerana akan sentiasa terdapat cabaran-cabaran baru – sesetengahnya biasa tapi kebanyakannya baharu. Menjangkakan cabaran-cabaran masa depan akan membantu dalam membuat persediaan agar dapat lebih bertahan. Menyelesaikan masalah harus menjadi usaha berterusan kerana sebaik sahaja satu masalah diselesaikan, masalah lain akan timbul. Maka yang demikian, pembelajaran sepanjang hayat harus bertumpu kepada memupuk perasaan berkebolehan, rasa berguna kepada orang lain dan semangat kekitaan. Ia boleh membawa kepada perubahan dengan mewujudkan kebolehan baharu dan membuka pintu kepada peluang-peluang baharu yang tidak dijangka. Ia juga mempunyai potensi untuk memperkasa seseorang bagi mempengaruhi masa depannya, memberi pilihan yang mungkin tidak akan ada jika sebaliknya.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen