Pelbagai masalah penghadaman biasa mungkin menjejaskan anak kita. Ini termasuk kolik, cirit birit, alergi makanan, ketaktolerans laktosa, kembung, angin, sakit abdomen dan sembelit. Memelihara kesihatan penghadaman yang baik dapat mengurang atau mungkin juga mencegah beberapa masalah tersebut daripada berlaku kepada anak anda.
Keseimbangan mikroflora usus adalah penting
Salah satu perkara yang paling penting ialah mengekalkan keseimbangan mikroflora usus kita! Ini penting untuk membantu anak anda memelihara kesihatan penghadamannya serta mencegah dia daripada mendapat jangkitan, keradangan, dan penyakit alahan.
Sebaliknya, keseimbangan mikroflora yang tidak baik, atau dysbiosis boleh meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit seperti penyakit debu inflamatori, sindrom usus iritabel, dan juga penyakit lain yang seolah-olah tidak berkaita seperti alergi, asma, penyakit kardiovaskuar, dan obesiti.
Tahukah anda?
Probiotik merupakan bakteria ‘baik’. Ia didapati di dalam makanan seperti produk susu yang difermentasi (contohnya, yogurt, minuman susu berkultur, kefir dan keju), produk soya yang difermentasi (contohnya, tempe), kimchi dan jeruk.
Kebanyakan daripada strain probiotik biasa yang anda mungkin pernah jumpa datang daripada keluarga Laktobasilus dan Bifidobakterium, seperti L. acidophilus, L. casei, L. rhamnosus, B. longum, B. breve, atau B. infantis.
Prebiotik merupakan “makanan” yang menggalakkan pembiakan bakteria baik dan boleh didapati dalam beberapa makanan yang tinggi serat seperti bawang, bawang putih dan asparagus. Serat tumbuhan istimewa ini membantu ‘memberi makan’ kepada bakteria baik. Ambil perhatian bahawa bukan semua makanan yang tinggi serat adalah prebiotik, walau bagaimanapun, ia masih baik untuk kesihatan penghadaman kerana ia menggalakkan pembuangan air besar secara tetap.
Cara mengekalkan keseimbangan mikroflora usus yang baik
Kuncinya adalah dengan memastikan anak anda mengambil diet yang mengandungi prebiotik dan probiotik secukupnya. Selain itu, adalah penting bagi anak anda mengamalkan tabiat baik berikut dari kecil lagi untuk mengekalkan kesihatan penghadamannya:
Minum air secukupnya
Elak daripada memberi anak anda jus yang dibeli di kedai, minuman berkarbonat, atau sebarang jenis minuman manis. Ini akan membantu dia membentuk tabiat minum air sejak dari kecil, berbanding hanya minum minuman yang kurang sihat.
Makan lebih serat
Bijirin penuh, legum, sayur dan buah merupakan sumber serat yang baik. Mengambil serat secukupnya adalah penting kerana ia membantu menggerakkan makanan melalui sistem penghadaman, menggalakkan fungsi usus yang sihat dan membantu mencegah sembelit.
Dapatkan tidur dan senaman secukupnya
Mendapat tidur secukupnya adalah sangat penting, terutama bagi seorang kanak-kanak yang sedang membesar. Dia juga memerlukan senaman harian secukupnya; Panduan Diet Malaysia menyarankan sekurang-kurangnya satu jam aktiviti terkumpul berintensiti sederhana seperti bermain di luar rumah, berlari, melompat, berbasikal, berenang, bermain bola sepak, atau badminton.
Berikut adalah prinsip-prinsip tambahan makan secara sihat yang anak anda harus ikuti untuk kesihatan penghadaman yang baik, serta kesejahteraan pemakanan keseluruhannya:
- Buat satu jadual waktu makan dan kekal dengannya: ini membantu memastikan bahawa dia tidak melangkau mana-mana waktu makan. Ingat untuk sentiasa menyimpan beberapa snek sihat (contohnya, karot, epal pisang, keju dan, yogurt) seandainya dia lapar di antara waktu makan.
- Mulakan harinya dengan sarapan: mengambil sarapan bukan sahaja membantu dia memulakan harinya, ia juga satu cara yang baik untuk ‘menyelinapkan’ dia sedikit serat. Terdapat banyak bijirin tinggi serat yang boleh disediakan dengan mudah dan cepat. Selain itu, dia juga boleh makan buah epal atau pisang.
- Tumpu pada snek sihat: Berhenti membeli snek yang tidak berkhasiat! Sebaliknya, simpan bekalan makanan sihat seperti buah, sayur, bijirin penuh, dan produk tenusu di rumah.
Tunjukkan teladan
Jangan lupa, anda adalah model peranannya maka jika anda ingin dia makan secara sihat, cara terbaik adalah dengan menunjukkan teladan yang baik. Tiada gunanya anda menyuruh dia makan sayur jika ada sendiri tidak makan!
Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.
Komen