Pengasuhan Positif

Memupuk Kemahiran Insaniah dalam kalangan Remaja: Jangan Asyik Bekerja, Luangkan Masa Untuk Bermain

Menjadi kebiasaan bagi kanak-kanak hari ini untuk tidak berpeluang menjadi kanak-kanak biasa. Kebanyakan kanak-kanak sibuk dengan persekolahan, aktiviti ko kurikulum, kerja sekolah, kelas tambahan muzik, matematik, dll. Kemungkinan besar, jika anda bertanya kanak-kanak sekolah sama ada mereka seronok ke sekolah, anda pasti mendapat jawapan ‘TIDAK!’.

Kuncinya adalah untuk tidak terlalu membebankan anak anda dalam aktiviti berkaitan akademik semata-mata. Cuba mempelbagaikan jenis aktiviti yang dilakukan. Contohnya, galakkan anak anda untuk menyertai pasukan sukan seperti bola sepak atau bola keranjang berbanding mengisi masanya dengan aktiviti-aktiviti berkaitan pelajaran (tuisyen, kelas tambahan, dll). Kelab tidak berkaitan sukan seperti pasukan debat atau persatuan berpakaian seragam (contohnya, kadet, pengakap, Bulan Sabit Merah, St John’s Ambulance, dll) memberi dia banyak peluang untuk membesar.

Kelab, persatuan dan sukan tersebut adalah di antara beberapa tempat terbaik di mana anak anda dapat belajar tentang kepentingan beberapa perkara seperti kerja berpasukan dan membuat keputusan. Menjalankan projek atau aktiviti juga mengajar mereka kepentingan bekerjasama ke arah matlamat yang sama. Cara lain yang juga memberi banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran insaniah termasuk melakukan kerja-kerja sukarela.

Mengapakah Kemahiran Insaniah Penting?

Mempelajari kemahiran insaniah merupakan proses sepanjang hayat, jika dimulakan awal, anda akan dapat membantu anak anda membuat persediaan untuk berjaya bukan sahaja dalam kehidupan akademik, tetapi juga di tempat kerja.

Malah, ramai remaja tidak pernah terdedah kepada kehidupan sebenar bekerja sebagai orang dewasa. Beberapa perkara remeh seperti masuk kerja tepat pada waktunya, menyiapkan tugas mengikut waktu yang ditetapkan, memaklumkan pihak atasan sekiranya tidak dapat hadir ke kerja, dan bekerjasama dengan rakan kerja lain, semuanya perlu mereka pelajari. Dengan membekalkan anak anda dengan kemahiran insaniah yang diperlukan, dia dapat hidup dengan menyesuaikan diri kepada perubahan suasana. Selain itu, dia juga lebih bersedia untuk belajar daripada pengalamannya.

Kepentingan kemahiran insaniah bagi remaja

Terdapat lima kemahiran insaniah penting yang diperlukan oleh anak/remaja anda:

  1. Kerja Berpasukan: anak/remaja anda harus belajar untuk bekerjasama dengan orang lain. Menggabungkan kerja berkumpulan ke dalam aktiviti bilik darjah di mana setiap remaja bertanggungjawab untuk tugasan atau hasil kerja yang khusus akan memupuk sifat integriti. Ini termasuk kebolehan untuk menerima kritikan yang membina dan berhadapan dengan kesilapannya dan berusaha memperbaiki diri. Mereka yang tidak boleh bekerjasama dalam kumpulan akan sukar untuk berjaya bukan sahaja di kolej, tetapi juga apabila mereka keluar bekerja. Malah, hampir semua tugas memerlukan kita untuk berinteraksi/bekerjasama dengan orang lain!

    Tip: Bantu anak/remaja anda untuk membina kemahiran yang diperlukan dengan menggalakkan dia untuk menyertai aktiviti-aktiviti di mana bekerjasama dengan orang lain memainkan peranan utama, contohnya, sukan berpasukan/atlet atau persatuan pakaian seragam. Kelab sains juga merupakan tempat yang sesuai untuk mempelajari tentang kerjasama, jika projek berasaskan kumpulan atau aktiviti/perkhidmatan sukarela dititikberatkan.

  2. Komunikasi/kemahiran interpersonal: Zaman digital telah menghubungkan dunia, tetapi ia juga punca generasi kini semakin menyisihkan diri. Perkara ini sering dapat dilihat dalam komunikasi muka ke muka kerana mereka tidak dapat berbicara dengan berkesan. Terdapat mereka yang terpaksa berusaha keras hanya untuk berbicara tentang perkara-perkara mudah seperti bertanyakan soalan, mendengar secara aktif dan mengekalkan hubungan mata.

    Tip: Pastikan anda hadkan penggunaan peranti digital. Walaupun media sosial mempunyai kegunaannya, ia boleh menyekat kebolehan seorang kanak-kanak/remaja untuk bersosial dalam situasi bersemuka. Satu peraturan baik ialah untuk mengadakan masa bersama keluarga setiap hari di mana penggunaan peranti TIDAK dibenarkan. Masa bersama keluarga setiap hari ini boleh diadakan semasa makan bersama, atau keluar berjalan pada hujung minggu untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Anda juga boleh menggalakkan anak/remaja anda menyertai kelab syarahan atau drama atau kelab seperti Toastmaster di mana anak anda boleh membina harga diri dan keyakinan diri melalui pengucapan awam. Bimbing anak anda untuk menghormati dan berbudi bahasa bukan sahaja kepada orang dewasa, tetapi juga tehadap rakan sebaya. Perkara yang sama juga harus diamalkan apabila berkomunikasi secara dalam talian.

  3. Menyelesaikan masalah: Remaja akan berdepan dengan cabaran yang tidak diduga dalam kehidupan mereka dan mereka tidak terlepas dari mengatasinya sendiri. Kemahiran menyelesaikan masalah akan memastikan remaja anda cemerlang dari segi akademik serta mampu membantunya apabila melalui kehidupan bekerja kelak. Dia akan dapat menyelesaikan masalah secara kreatif atau mencari penyelesaian di luar kotak.

    Tip: Daripada bergantung kepada pembelajaran hafalan sahaja, hantar juga anak anda ke kelas-kelas pembelajaran berasaskan pengalaman (atau pembelajaran melalui amalan). Kelab debat juga merupakan tempat yang sesuai untuk menggalakkan kebolehan menyelesaikan masalah kerana anak anda perlu mengatasi pelbagai suasana yang tidak menentu.

  4. Mengendalikan masa/mengutamakan kerja-kerja: Di sekolah terdapat struktur yang ketat dan apabila remaja anda meninggalkan alam persekoahan, dia harus boleh mengatur pembelajarannya sendiri (di institut pengajian tinggi) atau di tempat kerjanya. Kebolehan menyempurnakan semua tugasan, projek, atau sebarang tugasan pada masa yang ditetepkan adalah kemahiran kritikal yang akan memastikan dia bukan sahaja boleh mengendalikan masanya, tetapi juga bijak menyusun keutamaan.

    Tip: Memupuk rasa tanggungjawab dalam remaja adalah sangat mencabar. Salah satu cara untuk membina kemahiran ini ialah dengan mempraktikannya dengan cara memberinya tanggungjawab untuk dilaksanakan di sekolah dan di rumah. Ramai majikan kini lazimnya memilih calon yang bukan sahaja mempunyai pencapaian yang baik, tetapi juga aktif di dalam aktiviti ko kurikulum. Sebagai contoh, sekiranya anak anda gagal untuk menghantar kerja sekolah tepat pada waktunya, elak daripada memberi hukuman. Sebaliknya, minta penjelasan mengapa kerja tidak disiapkan dan tanyakan apakah tindakan yang dia akan ambil untuk mengatasi situasi yang sama di masa akan datang. Biarkan dia bertanggungjawab atas kelemahannya dan galakkan dia untuk berusaha mengendalikan masanya dengan lebih baik.

  5. Kepimpinan: Kemahiran ini amat penting untuk beberapa sebab; seorang pemimpin yang baik bukan sahaja boleh berfungsi dengan baik di dalam satu pasukan, dia juga harus boleh tampil ke hadapan apabila diperlukan. Perkara sukar tentang kepimpinan ialah ia sebenarnya adalah gabungan kemahiran insaniah. Kesemua kemahiran insaniah yang terdahulu merupakan bahagian-bahagian penting dalam membentuk seorang pemimpin, oleh itu membantu anak/remaja anda membina kemahiran tersebut akan memastikan dia lebih berpeluang untuk berjaya sebagai orang dewasa.

    Tip: Galakkan anak anda untuk bergiat lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum. Walaupun anak anda akan mendapat latihan kepimpinan terbaik melalui persatuan berpakaian seragam, kelab/persatuan lain juga boleh membantu. Sukan juga memberi dia peluang untuk mengasah kemahiran kepimpinannya, contohnya sebagai kapten pasukan bola sepak, presiden persatuan Bahasa Inggeris, dll. Di samping itu, anak anda harus juga digalakkan untuk menjalankan aktiviti kesukarelawan dalam komuniti.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen