Pengasuhan Positif

Adakah Anak Anda Seorang Pembuli?

Kejadian buli semakin meningkat di Malaysia dan semakin menarik perhatian media. Membuli ialah tingkah laku agresif yang disengajakan, menyakitkan dan dilakukan berulang kali. Dalam kejadian buli, terdapat ketidakseimbangan kuasa, di mana mangsa sering diganggu, dicemuh, disisih dan diserang oleh seorang atau sekumpulan orang lain. Kanak-kanak yang membuli selalunya ingin berkuasa ke atas kanak-kanak yang menjadi mangsanya.

Membuli boleh dibahagikan kepada dua bentuk – langsung dan tidak langsung. Bagi pembulian secara langsung, ia melibatkan gangguan fizikal: memukul, menumbuk, mengugut, menyepak, menarik, menolak, atau mencubit untuk mencederakan mangsa. Pembulian secara tidak langsung pula, walaupun tidak mudah dikesan, juga memberi kesan yang memudaratkan terutama dari segi psikologi dan emosi kepada mangsa. Ia boleh dilakukan melalui pertuturan dengan kata-kata yang menyinggung perasaan, kata-kata yang bersifat perkauman, menyisih atau memulaukan seseorang secara sosial dan juga pembulian di alam maya.

Mengapa kanak-kanak membuli dan apa yang kita boleh lakukan sebagai ibu bapa untuk membimbing generasi akan datang agar membuat pilihan yang lebih baik? Sekiranya kita mendapati bahawa anak kita membuli, langkah pertama yang kita perlu ambil ialah mengakuinya dan asingkan identiti anak kita daripada tindakannya, agar keadaan dapat diatasi dengan berkesan.

“Masalah utamanya ialah dari dalam hati”

Ironinya, membuli sebenarnya adalah cara pembuli memberitahu yang sebenarnya dia memerlukan bantuan. Kanak-kanak mungkin cuba untuk menyatakan penderitaan atau trauma yang mereka alami – sebagai contoh, tidak dapat mengendalikan cabaran bersama keluarga di rumah, guru di sekolah, atau orang lain dalam lingkungan sosialnya. Membuli adalah satu mekanisme mempertahankan diri, kemungkinan juga pembuli mempunyai kurang keyakinan diri atau mengalami tekanan daripada rakan sebaya. Pendedahan yang kerap kepada keganasan fizikal dan verbal dalam persekitaran terdekat seorang kanak-kanak (contohnya pergaduhan ibu bapa di rumah) juga merupakan satu faktor risiko.

“Apabila kita mengenalinya, kita boleh atasinya”

Asasnya, apabila kita membimbing generasi akan datang, kita harus membantu mereka mencari jalan untuk membina ketahanan emosi, agar mereka boleh mencari pendekatan yang sihat untuk mengatasi cabaran-cabaran hidup. Kita boleh menggunakan penyelesaian jangka pendek bersama matlamat jangka panjang sebagai panduan untuk proses ini.

Penyelesaian jangka pendek bermaksud mengatasi dan mengendalikan situasi semasa dan mencegah masalah buli dengan pantas. Ia boleh diringkaskan kepada akronim S.H.O.R.T seperti di bawah:

(Speak) Bercakap dengan anak anda
Sebagai ibu bapa, kita boleh bertanya kepada anak tentang perasaan mereka dan ambil langkah-langkah untuk membantu mengenali punca masalahnya – contoh: rasa marah atau menyimpan dendam, takut kehilangan seorang yang penting, perasaan tidak yakin dengan identiti diri, kepercayaan dan nilai-nilai yang disalahtafsir.

(Help) Bantu anak anda
Kita boleh membantu mereka mengenal pasti emosi mereka: adakah ia perasaan marah, takut, sedih? Apabila kita mengenal pasti perasaan tersebut, ia memperkasa dan memberi anak anda harapan bahawa terdapat penyelesaian kepada masalah mereka. Contohnya, jika kita merumuskan bahawa anak kita membuli kerana :”Saya rasa sedih, kerana disisih di sekolah”; kita sebagai ibu bapa boleh berusaha untuk mengukuhkan identiti dan pengetahuan anak agar mereka menyedari bahawa mereka sebenarnya disayangi.

(Observe) Memerhatikan tingkah laku mereka
Berikan perhatian teliti terhadap tingkah laku mereka, adakah mereka menunjukkan tanda-tanda yang aneh? Kita boleh gunakan ini untuk memulakan perbincangan tentang perasaan mereka.

(Relationship) Membina hubungan
Bina satu hubungan erat dengan anak anda berdasarkan kepercayaan diantara ibu bapa dengan anak dan saling menghormati. Apabila kita mendapat kepercayaan mereka, mereka akan benar-benar mendengar apa yang kita katakan kerana peraturan tanpa perhubungan menjurus kepada penentangan.

(Time) Masa perlu dilaburkan
Luangkan masa berkualiti bersama-sama sebagai satu keluarga. Membina kepercayaan anak anda akan membolehkan mereka mendekati anda apabila mereka menghadapi masalah dan ia juga membantu mewujudkan kestabilan emosi.

your-kid-the-bully-1

Matlamat Jangka Panjang: Membina Ketahanan Emosi dan Budaya Keluarga yang Positif

Ini memerlukan komitmen penuh dalam memperkembangkan anak kita untuk memastikan agar semua aspek kesejahteraan mereka – tidak kira fizikal, kognitif, mental, moral, rohani, dan emosi dipenuhi – dijaga dan dipupuk. Keperluan-keperluan ini merupakan asas dalam membina ketahanan. Apabila mereka belajar untuk berasa belas kasihan, empati, berperwatakan tinggi, dan sabar, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada diri mereka di sekolah tetapi membantu mereka sepanjang hayat.

Sekiranya kita memupuk budaya positif di rumah yang mencerminkan kasih sayang, saling menghormati, harga diri, integriti, kemungkinan besar anak-anak akan mengamalkannya di sekolah dan di kalangan kawan-kawan.

Akhir sekali, anak-anak menjadikan kita sebagai idola untuk membuat keputusan yang baik dalam kehidupan. Justeru, kita harus menunjukkan contoh agar mereka boleh menirunya dalam setiap tindakan mereka sambil turut belajar daripada kesilapan. Terpulang kepada kita untuk menjadi model peranan yang positif yang mereka boleh hormati, boleh didekati untuk mendapatkan nasihat pada bila-bila masa, dan orang yang membantu mereka menyedari bahawa apa pun alasannya, mereka tidak boleh sama sekali membuli.

Tentang Yayasan Generasi Gemilang

YAYASAN GENERASI GEMILANG (GG) ialah sebuah yayasan yang komited untuk membina negara yang kukuh dengan memupuk generasi yang boleh dicontohi dan mengukuhkan keluarga. Kami percaya bahawa kasih sayang boleh mengubah kehidupan; maka usaha-usaha kami membangkitkan harapan dalam orang ramai dan memperkasakan mereka untuk menjalani kehidupan dengan sepenuh potensi mereka. Mereka adalah kanak-kanak, remaja, keluarga, sekolah, perbadanan dan masyarakat umum.

Ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah, GG berpusat di Lembah Klang dan memberi perkhidmatan di seluruh negara. Dahulunya dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Generasi Gemilang Kuala Lumpur dan Selangor, GG telah di perbadankan sebagai sebuah yayasan pada Disember 2014.

www.gengemilang.org

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen