‘Main’ secara mudahnya bermaksud aktiviti spontan yang dilakukan oleh kanak-kanak untuk berseronok dan mengisi masa lapang mereka. Bermain membantu kanak-kanak berkembang dari segi sosial, emosi, fizikal serta melatih dan mempertingkatkan kebolehan kognitif mereka.
Ciri semula jadi bermain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengawal keadaan yang tidak menentu menggunakan beberapa kemahiran seperti kreativiti, menyelesaikan masalah, berunding, bekerjasama dll. Terdapat dua kategori bermain:
Main berstruktur bermaksud bermain mengikut peraturan peraturan-peraturan tertentu dan mencari cara paling berkesan untuk mencapai objektif.
- Permainan kad
- Permainan papan
- Teka teki (Puzzle)
- Sukan – bola sepak, badminton, dll
- Permainan mencantum (contohnya, Lego, model kapal terbang, dll)
Main tidak berstruktur tidak mempunyai masa bermain yang terbatas, struktur khusus, atau objektif pembelajaran – anak anda menentukan objektifnya sendiri.
- Bermain dengan blok-blok
- Mewarna atau melukis apa yang mereka suka
- Berlari di sekeliling padang permainan/taman
- Main olok-olok
- Mencipta permainan baharu
Main bukan semudah yang anda fikirkan, malah, ia adalah sangat penting bagi perkembangan anak anda. Contohnya, main tidak berstruktur memberi anak anda kelebihan 3A:
(Attention) Daya Tumpuan
Bermain membolehkan anak anda bergiat aktif secara fizikal justeru membantu peredaran darah ke organ-organ penting termasuk otak, sekaligus meningkatkan tumpuan kognitif. Permainan tidak berstruktur di luar rumah memberi peluang kepada anak untuk menghadapi cabaran dan masalah yang perlu diselesaikan melalui pemikiran kritis dan kreatif. Melalui permainan tidak berstruktur, anak anda dapat membangunkan kemahiran penyesuaiannya.
(Affiliation) Berhubungan
Semasa bermain, kanak-kanak melatih kemahiran sosial dan emosi mereka dengan berinteraksi dengan rakan sebaya. Ia juga peluang yang baik untuk mengajar mereka kecerdasan sosial seperti empati, simpati, kerjasama, berkongsi dan kesedaran diri – kemahiran-kemahiran yang mereka perlukan untuk menjadi orang dewasa yang baik kelak.
(Affect) Kesan
Bermain berpotensi memperbaiki emosi dan kesihatan mental kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak pra sekolah. Ia juga melindungi kanak-kanak daripada terkesan oleh tekanan dan stres, membolehkan mereka belajar dan membangun mengikut tahap mereka sendiri, mencari minat mereka, dan akhirnya mengejar cita-cita.
Selain itu, kanak-kanak yang mengamalkan tabiat gaya hidup sihat kemungkinan besar akan membawa amalan mereka ke alam dewasa. Ini mengurangkan risiko mereka mendapat penyakit-penyakit kronik seperti masalah jantung atau diabetes.
Tidak tahu bila dan bagaimana untuk bermain permainan tidak berstruktur? Jangan bimbang, mulakan dengan cadangan-cadangan berikut. Lama ke lamaan anda akan dapat idea untuk mencipta permainan anda sendiri:
- Permainan kereta (contohnya, ‘I Spy’ dan permainan lain yang melibatkan plat pendaftaran, tanda-tanda dan warna kereta).
- Masak bersama-sama. Dapur mungkin akan berselerak sedikit tetapi ia memberi banyak peluang untuk merapatkan hubungan dan belajar.
- Bermain semasa membeli-belah barang dapur (contohnya, permainan memadan, mencadangkan ramuan untuk resepi yang kreatif, dan memberi anak-anak senarai bergambar untuk mereka membeli barang sendiri).
- Membuat kerja-kerja rumah juga boleh menjadi menyeronokkan. Paling tidak,biarkan mereka bebas bermain berdekatan anda.
Berikut adalah beberapa tip bagaimana anda boleh menggabungkan permainan tidak berstruktur:
- Gabungkan masa bermain dengan senaman.
- Hadkan masa menonton skrin.
- Berikan sedikit kebebasan. Sekali-sekala, kanak-kanak harus dibenarkan memanjat pokok, bermain dalam lumpur atau menikmati keseronokan bermain dalam lopak air. Yang penting anda memantau mereka supaya tidak berlaku kecederaan.
- Adakan janji temu bermain (play date) atau bergilir-gilir rumah dengan kawan anda untuk menjadikan ia lebih menarik. Ini juga membantu semua orang berkongsi beban dan mendapat sedikit masa untuk berehat.
Cari keseimbangan antara main berstruktur dan tidak berstruktur. Terdapat mereka yang berfikiran bahawa membiarkan anak bersendirian untuk bermain sesuatu yang tidak berstruktur adalah satu tanda pengabaian oleh ibu bapa. Ini tidak benar sama sekali. Terdapat banyak kelebihan main tidak berstruktur dan ibu bapa yang membenarkannya tetap adalah ibu bapa yang baik seperti orang lain. Biarkan anak anda bermain dan berseronok – sememangnya itulah ‘kerja’ seorang kanak-kanak.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen