Pengasuhan Positif

Mari Bermain dan Meneroka Alam Sekitar

Kanak-kanak memperoleh banyak faedah kesihatan secara fizikal dan mental apabila mereka meluangkan masa di luar. Apabila anda meluangkan sekurang-kurangnya dua jam di luar bersama anak anda, dia pasti akan mendapat manfaatnya!

Berada dalam persekitaran semula jadi boleh meningkatkan kemahiran fizikal (kecergasan motor lebih baik) dan menggalakkan kreativiti. Satu kajian di Scandinavia mendapati bahawa kanak-kanak (5-7 tahun) menunjukkan gaya bermain yang serba boleh dan kecergasan motor lebih baik selepas sembilan bulan bermain di luar, berbanding dengan satu lagi kumpulan yang tidak bermain di luar.

Bermain di luar harus digalakkan sebagai sebahagian proses penting dalam tumbesaran dan perkembangan anak anda. Ini juga peluang yang baik untuk mereka belajar menghargai alam semula jadi.

Bermain di luar

Kehidupan yang aktif ialah penyumbang utama kepada tumbesaran fizikal yang baik. Anak anda akan mendapat manfaat dengan berlari, melompat, memanjat, berenang dan bermain di luar. Sokong tumbesaran fizikal anak anda dengan membekalkannya pemakanan yang baik. Susu, contohnya, ialah sumber makanan yang baik kerana mengandungi nutrien utama yang diperlukan kanak-kanak yang sedang membesar seperti protein, kalsium dan Vitamin D. Panduan Pemakanan Malaysia untuk Kanak-kanak dan Remaja mengesyorkan antara dua hingga tiga cawan susu setiap hari.

Faedah lain meluangkan masa di luar termasuklah:

  • Keimunan meningkat. Bermain di luar membantu merangsang sistem imun anak anda. Ini datangnya daripada kesihatan fizikal yang  lebih baik dan juga pendedahan kepada pelbagai mikroorganisma yang membantu mematangkan sistem imun.

  • Perkembangan deria, kognitif dan sosial/ emosional yang meningkat. Kajian menunjukkan bermain di luar menyumbang kepada kesejahteraan mental yang lebih baik ketika dewasa. Kajian ini juga mengaitkan masa bermain di luar dengan kualiti hidup lebih baik untuk kanak-kanak di bandar, dan bermain bersama rakan sebaya meningkatkan kebolehan sosioemosi. Apabila kanak-kanak bermain di luar, mereka lebih bebas untuk bermain.

  • Menggalakkan kreativiti dan imaginasi. Kanak- kanak meneroka dunia menerusi aktiviti bermain, dan bermain di luar membolehkan mereka meneroka, mencipta dan mengubah cara bermain. Biarkan anak anda bermain tanpa struktur di mana dia boleh menetapkan peraturan. Dalam kata lain, biarkan mereka menjadi kanak-kanak dan lupakan sebentar tentang tahap perkembangan atau memenuhi standard dan jangkaan.
  • Menguatkan ikatan keluarga. Bermain di luar ialah cara yang baik untuk keluarga menjadi lebih rapat. Anda boleh melakukannya dengan berkelah bersama, berkhemah, mengembara, berbasikal, berjalan, malah dengan melawat tarikan semula jadi. Ini juga masa yang sesuai untuk anda berkongsi pendapat, pengalaman dan kisah zaman kanak-kanak anda kepada anak anda. Cuma bawa perkakas yang perlu untuk aktiviti pilihan anda semasa keluar, dan paling penting, matikan peranti digital anda!

Meluangkan masa di luar merupakan cara terbaik untuk tubuh kita mendapat vitamin D. Masa bermain di luar juga dikaitkan dengan kurangnya risiko miopia (rabun jauh) untuk kanak-kanak, kerana mata akan lebih mudah letih apabila merenung peranti digital di hadapan mereka, berbanding ketika melihat objek jauh.

Bersedia untuk keseronokan di luar

Meluangkan masa di luar amat menyeronokkan! Ia menawarkan pelbagai manfaat, namun kita sering terlepas pandang. Pakai baju lama agar anda tidak kisah jika baju menjadi kotor, koyak atau terkena lumpur. Rancang aktiviti agar seluruh keluarga boleh bergembira dan berhubung. Perkenalkan anak anda kepada keindahan alam sekitar seperti hutan simpan, air terjun dan tasik.

Anda harus merancang terlebih dahulu untuk memperkaya pengalaman anak anda dengan alam sekitar, seperti:

  • Menyemak ramalan cuaca terlebih dahulu
  • Menyediakan senarai semak alat/barangan yang diperlukan
  • Menyediakan kit bantuan kecemasan kecil untuk dibawa bersama
  • Menyemak maklumat relevan untuk mengelakkan kecederaan dan mengambil langkah sewajarnya (contohnya, memakai kasut sesuai, mematuhi arahan orang dewasa semasa keluar, dsb)

Menggalakkan anak anda meluangkan masa di luar, dan bukannya bermain di dalam atau dengan peranti digital harus menjadi matlamat anda. Anda perlu lebih berusaha untuk membawa anak anda meneroka alam sekitar dan menjadi contoh kepada mereka! Anda juga akan mendapat faedahnya – perubahan rutin boleh membantu anda berehat dan mengurangkan tekanan di tempat kerja.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen