Pengasuhan Positif

Fakta Tentang Kelewatan Perkembangan Global (GDD)

Anak anda kini berumur tiga tahun, tapi perkembangan pertuturannya lebih perlahan berbanding rakan sebayanya. Anda perasan kosa kata anak anda terhad dan dia belum pandai bercakap menggunakan frasa. Perkembangan kemahiran motor kasarnya juga lewat sedikit. Adakah ini satu masalah? Apa yang perlu anda lakukan?

Istilah penting yang perlu diketahui!

Penanda perkembangan (Developmental milestones): Kemahiran penting yang dipelajari oleh bayi dan kanak-kanak petatih semasa membesar (cth: duduk tegak, bergolek, merangkak, berjalan, membebel, bercakap, dll.), yang biasanya muncul mengikut urutan dan pada peringkat umur tertentu.

Kelewatan perkembangan (Developmental delay): Apabila seorang kanak-kanak mencapai satu atau lebih penanda perkembangan pada umur lebih lewat daripada jangkaan berbanding dengan kanak-kanak sebaya. Kelewatan perkembangan mungkin sementara atau kekal, dan dibahagikan kepada tahap ringan, sederhana atau teruk.

Maksud Kelewatan Perkembangan Global

Banyak istilah digunakan untuk menerangkan pelbagai corak kelewatan perkembangan dan perkembangan atipikal. Antaranya ialah Kelewatan Perkembangan Global (Global Developmental Delay, GDD). Apabila terdapat kelewatan yang ketara dalam dua atau lebih aspek perkembangan dalam kanak-kanak berumur bawah 5 tahun, ini boleh dianggap sebagai GDD.

Aspek-aspek perkembangan ini termasuklah:

  • Kemahiran motor kasar (lokomotif), cth: duduk tegak, merangkak, berjalan, berlari.
  • Kemahiran motor halus (manipulasi tangan), cth: memegang objek kecil, menyusun blok, melukis, menulis.
  • Pertuturan dan penggunaan bahasa (bahasa ekspresif), cth: membebel, meniru bunyi pertuturan, menggabungkan perkataan bagi membentuk frasa dan ayat, belajar berbual.
  • Pemahaman dan pemprosesan bahasa (bahasa reseptif), cth: mengenal pasti bunyi, memberi tindak balas kepada nama objek dan orang, mengikut arahan verbal.
  • Kemahiran kognitif, cth: kebolehan belajar perkara baru, memproses maklumat untuk menyelesaikan masalah, menyusun fikiran, mengingati maklumat.
  • Kemahiran sosial dan emosi, cth: bergaul dan berinteraksi dengan orang lain, perkembangan sifat dan perasaan peribadi, memahami dan bertindak balas kepada keperluan dan perasaan orang lain.

Kemungkinan punca

GDD mungkin berpunca daripada pelbagai faktor atau masalah seperti dalam jadual di bawah:

Pranatal (semasa ibu mengandung)

  • Masalah genetik (cth: sindrom Down, sindrom X rapuh)
  • Masalah perkembangan otak atau saraf tunjang
  • Terdedah kepada dadah/bahan toksik (cth: alkohol, asap rokok)
  • Jangkitan pada ibu (cth: rubela, toksoplasmosis, malaria, HIV)

Perinatal (semasa atau sebaik selepas kelahiran)

  • Kelahiran pramatang
  • Komplikasi semasa kelahiran
  • Hipoglisemia neonatal

Pascanatal (selepas kelahiran)

  • Jangkitan pada anak (cth: meningitis, ensefalitis)
  • Penyakit metabolik (cth: penyakit metabolik semulajadi (IEM), hipotiroidisme)
  • Kemalangan (cth: tercekik, hampir lemas, kecederaan kepala)

Lain-lain

  • Psikososial (cth: kekurangan rangsangan yang teruk dan berpanjangan, penafian emosi yang teruk, penganiayaan, kekurangan pemakanan)

Pengenalpastian & diagnosis

Pada peringkat awal kanak-kanak, tumbesaran dan perkembangan anak akan dipantau secara berkala semasa temujanji berjadual di klinik kesihatan. Ibubapa atau penjaga boleh menyampaikan apa-apa kerisauan kepada doktor semasa perjumpaan tersebut. Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal menyeluruh, bertanya soalan-soalan khusus mengenai perkembangan anak serta membuat saringan perkembangan ringkas.

Jika terdapat perkara yang merisaukan, anak anda akan dirujuk kepada para pakar, termasuklah pakar kanak-kanak, ahli psikologi, juruterapi bahasa dan pertuturan, atau juruterapi carakerja. Penilaian tambahan atau ujian genetik mungkin perlu untuk mengenal pasti punca atau mengesahkan diagnosis. Penilaian terperinci juga akan membantu anda memahami keperluan perkembangan anak anda serta kelebihannya yang unik.

Pengurusan GDD

Sesetengah kanak-kanak dengan GDD boleh merapatkan jurang dengan rakan sebaya mereka melalui intervensi awal, dan seterusnya berkembang tanpa masalah. Ada kanak-kanak lain pula yang memerlukan bantuan lebih khusus untuk jangka masa lebih panjang. Setiap kanak-kanak berbeza. Oleh itu, intervensi atau terapi perlu dipadankan dengan kelebihan dan kesukaran setiap kanak-kanak.

Antara intervensi atau bantuan yang tersedia termasuklah fisioterapi, terapi bahasa dan pertuturan, serta terapi carakerja. Sesetengah kanak-kanak boleh mendapat manfaat daripada program intervensi awal yang lebih intensif dan yang menggabungkan pelbagai sokongan.

Diagnosis mungkin tidak dapat dipastikan atau kurang jelas semasa kanak-kanak masih kecil. Oleh itu, doktor mungkin menasihatkan agar anak anda menjalani penilaian semula apabila dia lebih besar. Pada masa sama, intervensi lebih awal dan terapi sokongan tidak harus ditangguhkan.

Intervensi awal penting untuk memberikan sokongan yang sesuai kepada kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan. Sokongan awal yang tepat berdasarkan cabaran serta kelebihan yang unik dalam diri anak anda dapat menyediakan peluang yang baik untuk merapatkan jurang perkembangan dan membolehkan anak anda mencapai potensinya yang terbaik.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen