Pengasuhan Positif

Pemakanan Seimbang, Kunci Berpuasa Semasa Menyusukan Bayi

Berpuasa di Malaysia sinonim dengan bulan Ramadan. Ibu-ibu yang menyusukan bayi dikecualikan daripada berpuasa jika ia menimbulkan risiko kepada diri atau bayi mereka. Namun, terdapat ramai ibu yang sihat dan dapat menunaikan amalan ini setiap tahun. Walaupun selamat bagi ibu yang sihat untuk berpuasa (kecuali dinasihati untuk tidak berpuasa oleh doktor mereka), terdapat ibu-ibu baharu yang masih bimbang.

Berpuasa bagi Wanita yang Menyusukan Bayi Menurut Islam

Allah subhanallah berfirman di dalam Al Quran (Al-Baqarah: 2:183): “Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah S.W.T menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajiban berpuasa. Hadis diriwayat oleh Tirmidzi (715), Ibnu Majah (16687). Sanadnya sahih sebagaimana pernyataan at-Tirmidzi 575.

Maka, menurut Al-Quran dan hadis, ulama-ulama merumuskan bahawa anda dibenarkan untuk tidak berpuasa jika anda khuatir ia akan memudaratkan diri dan/atau bayi anda. Pada masa yang sama, sekiranya anda berfikir bahawa berpuasa tidak membahayakan anda atau bayi, maka anda dikehendaki untuk berpuasa.

Patutkah Saya Berpuasa Jika Saya Menyusukan Bayi?

Ya, jika anda rasa anda mampu. Terdapat sedikit sahaja bukti saintifik yang menyatakan berpuasa menjejaskan kualiti nutrien susu anda. Namun, berpuasa adalah selamat bagi anda dan bayi jika anda merasa diri bertenaga dan cukup sihat untuk berbuat demikian.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa bekalan susu ibu boleh terjejas, ini mungkin kerana ada di kalangan ibu-ibu terlupa untuk menyusukan bayi mereka seperti biasa. Ini “melatih” payudara supaya kurang menghasilkan susu. Maka, sekiranya anda bercadang untuk berpuasa, pastikan anda dapat menyusukan bayi anda secara tetap atau pada bila-bila masa bayi anda lapar. Ingat, anda yang berpuasa, bukannya bayi anda.

Selagi anda makan dengan baik dan seimbang setiap hari, anda akan terus menghasilkan susu ibu yang kaya dengan nutrien, tidak kira sama ada anda berdiet atau berpuasa.

Adakah Saya Memudaratkan Bayi Saya Jika Saya Berpuasa?

Walau bagaimanapun, sekiranya bayi anda masih kecil (kurang dari enam buan) dan menyusu susu ibu secara eksklusif, anda tidak digalakkan untuk berpuasa. Adalah lebih baik anda berpuasa apabila bayi anda sudah mengambil makanan pelengkap dan menyusu susu ibu sekali sekala. Namun begitu, anda masih boleh mendapatkan pandangan doktor sebelum membuat keputusan.

Tahukah anda?

Bekalan susu ibu banyak bergantung kepada kehendak bayi. Lebih banyak bayi menyusu, lebih banyak ibunya menghasilkan susu. Ia dipanggil faktor ’rangsangan hisapan’.

Adakah Saya Membahayakan Diri Saya?

Tidak, walaupun kalori digunakan untuk menghasilkan susu ibu, tubuh anda akan menyesuaikan diri untuk memenuhi keperluan kalori dengan menggunakannya dengan lebih efisyen. Ini tidak menyebabkan sebarang kesan jangka masa panjang terhadap kesihatan anda.

Walau bagaimanapun, wanita yang menyusukan bayi masih melalui perubahan fisiologi yang sama seperti individu yang berpuasa. Perubahan fisiologi ini bersama tekanan menyusukan bayi agak mencabar. Ganjaran psikologi serta kerohanian berpuasa dan menyusukan bayi mengatasi semua bentuk kesusahan fizikal. Tidak hairanlah mengapa ramai wanita berasa gembira dan mendapat kepuasan melakukan kedua-duanya sekali.

Dapatkan bantuan dan pelajari daripada ahli keluarga atau rakan-rakan yang telah melalui pengalaman yang sama. Sokongan daripada pasangan anda dan ahli keluarga yang lain juga boleh membantu mengurangkan sedikit kebimbangan dan tekanan yang anda mungkin alami.

Apakah Yang Harus Saya Makan Dalam Bulan Puasa Untuk Memaksimumkan Penghasilan & Kualiti Susu Ibu ?

Perkara paling penting untuk ingat ialah bahawa anda harus mengambil hidangan seimbang yang mengandungi pelbagai makanan daripada kumpulan makanan yang berlainan. Anda harus juga:

  • Mengambil lebih banyak karbohidrat kompleks (iaitu, bijirin penuh, kacang, biji-bijian, mil oat, semua jenis sayuran hijau, dan pasta) kerana ia membekalkan tenaga secara perlahan-lahan sepanjang hari berbanding makanan lain.
  • Mengurangkan makanan bergaram, berminyak dan berlemak.
  • Mengambil lebih banyak roti mil penuh, beras berserat tinggi (contoh: beras perang), oat tinggi serat akan menambah lagi serat ke dalam diet anda dan ianya sumber baik bagi zat besi. Manakala, sayur berdaun hijau (contohnya bayam, brokoli dan kobis) juga membantu membekalkan anda dengan folat.
  • Mengurangkan makanan bergula yang membuat paras gula dalam darah meningkat dan menurun dengan cepat – anda akan cepat berasa lapar!
  • Minum banyak air dan elakkan minuman bergula, berkarbonat dan berkafein. Minuman-minuman tersebut membuat anda kehilangan air dengan menyebabkan anda membuang air kecil lebih kerap. Ini membuat anda mengalami dehidrasi lebih cepat, terutama pada hari panas.
  • Makan daging tanpa lemak, ikan, ayam, dan telur yang dimasak dengan sempurna. Ia merupakan sumber baik bagi zat besi dan asid lemak omega-3. Gunakannya untuk memasak sup atau kuah, dengan cara ini anda juga mendapat cecair.
  • Diet anda harus mengandungi purata 1 hingga 2 sajian (200-300g) ikan seperti ikan hering, tuna dalam tin atau salmon setiap minggu agar kepekatan DHA di dalam susu anda mencukupi.
  • Mengambil makanan yang kaya kalsium seperti susu, yogurt, minuman yogurt dan susu soya atau taufufa.

DHA memastikan sel-sel otak, retina, jantung dan bahagian lain sistem saraf berkembang dan berfungsi dengan sempurna pada setiap peringkat kehidupan.

Tip-Tip Untuk Mengekalkan Tenaga Sepanjang Hari

  • Makan snek 30 minit sebelum tidur. Bukan hidangan yang berat. Sekeping sandwic, sekeping keju bersama biskut, semangkuk kecil buah-buahan atau makanan lain yang hampir sama boleh membantu meningkatkan metabolisma.
  • Elakkan keadaan stres.
  • Sebagai persediaan, cuba berlatih terlebih dahulu beberapa hari sebelum hari berpuasa sebenar.
  • Perah susu anda di tempat kerja seperti biasa untuk mengekalkan bekalan.
  • Minum air kosong secara sederhana dan jangan minum terlalu pantas.
  • Elakkan kerja-kerja atau senaman berat yang boleh membuat anda mengalami dehidrasi atau penat dengan cepat.
  • Banyak berehat dan tidur sebentar di antara waktu menyusukan bayi dan apabila anda letih. Jika anda bekerja, tidur sekejap pada waktu makan tengah hari.

An educational collaboration with Nutrition Society of Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen