Pengasuhan Positif

Immunisasi Rutin Kanak-Kanak

Imuniti merupakan cara tubuh mencegah penyakit. Sistem imun akan mengenal pasti kuman yang masuk ke dalam tubuh (dipanggil antigen) dan menghasilkan protein yang dipanggil antibodi untuk melawan kuman. Sering kali, sistem imun tidak cukup pantas untuk mencegah antigen daripada menyebabkan penyakit dan ini menyebabkan kanak-kanak jatuh sakit.

Namun, sistem imun akan menyimpan data tentang sesuatu antigen dan sekiranya antigen tersebut muncul semula, tubuh sudah bersedia dan bertindak balas lebih pantas untuk menghalang sebarang jangkitan. Perlindungan ini dipanggil imuniti.

Imunisasi membantu seorang kanak-kanak mendapat imuniti tanpa perlu jatuh sakit terlebih dahulu. Begini caranya:

bagaimana-vaksin-membantu

Mengapa Vaksin?

  • Imunisasi rutin kanak-kanak melindungi anak anda daripada penyakit serius seperti tuberkulosis, hepatitis B, difteria, pertusis, tetanus, influenza, demam campak, beguk dan rubela.
  • Imunisasi melindungi kanak-kanak daripada penyakit serius dan komplikasi penyakit yang mana dalam sesetengah kes boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian.
  • Terdapat penyakit yang juga boleh menyebabkan kecacatan berpanjangan dan beban kewangan disebabkan tidak dapat hadir bekerja akibat perlu menjaga ahli keluarga yang mempunyai kecacatan jangka panjang.

Apakah Imuniti Kelompok?

immuniti-kelompok

Apakah PIK?

PIK ialah singkatan bagi ‘Program Imunisasi Kebangsaan’. Ia adalah satu senarai imunisasi rutin yang disarankan bagi kanak-kanak dan harus di ambil – tanpa pengecualian! Vaksin-vaksin diberi secara percuma dan boleh didapati di semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan terpilih.

Jadual Immunisasi untuk Kanak-kanak dari Kelahiran hingga 16 Tahun (2016)

jadual-immunisasi

Mengapa Begitu Banyak?

Sistem imun adalah kuat dan boleh mengendalikan lebih banyak antigen daripada beberapa antigen lemah yang terdapat dalam vaksin. Malah, setiap hari tubuh manusia dimasuki begitu banyak antigen dari udara, air dan persekitaran.

Adakah Terdapat Kesan Sampingan?

Vaksin-vaksin dihasilkan mengikut piawaian keselamatan paling tinggi dan ketat. Namun, sejumlah kecil orang mungkin mengalami kesan sampingan ringan. Jarang sekali kesan sampingan serius seperti tindak balas alergi boleh terjadi.

Namun, kita perlu ingat bahawa mana-mana intervensi perubatan mempunyai risiko. Tetapi menolak bulat-bulat imunisasi atas alasan anda ingin mengelakkan risiko adalah tidak munasabah kerana tidak berbuat apa-apa juga mempunyai risikonya yang tersendiri!

Adakah Vaksin Menyebabkan Autisme?

Kaitan di antara autisme dan imunisasi (terutamanya vaksin MMR) merupakan mitos terbesar dalam bidang perubatan. Penyelidik-penyelidik berulang kali memaparkan kepalsuan hubung kait di antara vaksin MMR (Measles, Mumps and Rubella) dan autisme. Kajian terkini dengan yang merujuk kepada 67 artikel saintifik berkualiti tinggi merumuskan bahawa imunisasi tidak menyebabkan autisme. Hakikat ini juga telah disahkan oleh agensi antarabangsa seperti WHO dan CDC.

Memberi imunisasi kepada anak anda membantu melindungi mereka daripada pelbagai penyakit kanak-kanak yang serius, yang mana ada diantaranya boleh mengancam nyawa. Tidak diragukan lagi bahawa vaksin merupakan pilihan terbaik bagi anak anda dan masyarakat keseluruhannya. Jangan tunggu lagi, ambil keputusan yang betul dan berjumpa dengan doktor anda hari ini untuk keterangan lanjut mengenai imunisasi.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen