Pengasuhan Positif

Cara Mengatasi Anak yang Berasa Berhak terhadap Segala Kehendaknya

Seseorang yang rasa dia berhak ke atas sesuatu mudah rasa kecewa, terhina atau tersinggung jika dinafikan ‘haknya’ itu. Jika dibiarkan, orang seperti ini tidak akan dapat menjalani kehidupan dengan baik dan tenteram. Inginkan kehidupan yang lebih gembira? Hentikan berperasaan seperti anda berhak mendapat segalanya. Terdapat banyak perkara dalam kehidupan ini yang lebih penting daripada memiliki harta benda atau idea-idea yang bersifat sementara.

Rasa berhak merupakan sesuatu yang kita fikir kita harus atau sepatutnya dapat. Kanak-kanak berasa berhak jika mereka dibiarkan untuk mempercayai bahawa mereka boleh mendapat atau patut dapat apa yang mereka mahu, dengan apa jua cara sekalipun. Perasaan berhak ini adalah palsu.

Apabila anak anda membesar dan memasuki dunia realiti, mereka perlu berdikari dan berusaha untuk mendapatkan apa yang mereka mahu, seperti orang lain juga. Kuncinya adalah untuk mengajar anak anda menghargai nilai usaha yang gigih dan tanggungjawab yang harus dikongsi apabila mendapat sesuatu yang diingini.

Anak yang Terlalu Dimanjakan

Kebimbangan utama yang lahir dari sikap suka meminta-minta ialah seolah-olah mereka berhak mendapat apa sahaja mereka mahukan ini dikhuatiri akan menjadikan mereka manja. Kanak-kanak seperti ini sentiasa berasa cemburu, kerap mengadu ketidak-adilan terhadap mereka, serta gemar mendesak diberi perhatian, pujian, upah atau hadiah. Ini menyebabkan kedua-dua belah pihak – ibu bapa dan juga anak-anak berasa sengsara.

Sebaliknya, konsep ‘adil’ mula muncul dalam kanak-kanak apabila mereka menyedari bahawa mendapat sesuatu yang dimiliki orang lain adalah satu perakuan dirinya sebagai seorang individu. Maka mereka berasa cemburu apabila tidak ada/ dapat sesuatu yang orang lain miliki adalah perkara biasa. Malah, perasaan cemburu juga boleh dilihat dalam binatang seperti beruk, anjing dan kucing. Namun, walaupun perasaan cemburu atau konsep keadilan adalah semula jadi, ibu bapa harus belajar untuk tidak terlalu mudah mengalah kepada permintaan anak-anak setiap masa. Ini kerana ia akan menggalakkan lagi sikap meminta-minta mereka yang akan membawa masalah kepada mereka apabila dewasa kelak.

Belajar Menerima Keadaan Seadanya

Dalam kehidupan, anda tidak dapat semua yang anda mahu dan percanggahan pendapat sentiasa berlaku apabila melibatkan orang lain. Oleh itu, apabila mereka tidak dapat apa yang mereka mahu, kanak-kanak perlu ketahui cara untuk menyesuaikan diri dan menghadapinya.

Kanak-kanak belajar tentang hak dari awal lagi dengan memerhatikan orang di sekeliling mereka, terutamaya apabila mereka memahami konsep pemilikan dan kebolehan untuk mendapat apa yang mereka mahu. Tidak lama kemudian, mereka akan mula rasa bahawa dunia harus ikut setiap kehendak dan mereka berhak mendapat semua yang mereka ingini.

Oleh yang demikian, mereka kerap menjadi marah dan membuat perangai jika tidak mendapat apa yang mereka mahu. Jangan cepat mengalah, biarkan mereka mengatasi kekecewaan dan jelaskan kepada mereka sebab-sebab mengapa mereka tidak boleh dapat semua yang mereka mahu. Bercakap benar tetapi alaskan dengan kasih sayang untuk memberitahu mereka bahawa anda berniat baik.

Gambaran Perspektif Sebenar

Konsep berhak atau menuntut pujian dan ganjaran merupakan sebahagian daripada pergaulan manusia. Ia juga dianggap perasaan berhak. Adalah penting supaya kanak-kanak diajar bahawa hak sebegini adalah sementara dan mengikut konteks. Walaupun seseorang kanak-kanak dipanggil ”budak baik” atau “budak pandai”, ia tidak bermakna mereka tidak boleh melakukan kesalahan atau kesilapan. Kanak-kanak yang mempunyai tanggapan yang salah bahawa mereka sentiasa akan menjadi baik atau pandai, berisiko membentuk pemikiran bercorak hitam putih dan menganggap bahawa mereka harus sentiasa dipuji atau dihukum.

Ini menjadi masalah besar apabila mereka membesar menjadi remaja di mana emosi kekecewaan mereka mungkin akan menyebabkan mereka bertindak terburu-buru. Ramai remaja pelajar sekolah menengah berasa mereka berhak mendapat markah tinggi hanya disebabkan mereka “pandai”.

the-entitled-child-2

Untuk menghindari perasaan yang mereka berhak mendapat sesuatu dari ibu bapa hanya kerana orang lain memilikinya, ibu bapa harus mengajar anak-anak kemahiran dan tingkah laku adaptif:

  • Jika anda betul-betul mahukan sesuatu, anda perlu usahakannya sendiri – berdikarilah dan usahakannya.
  • Kekecewaan, iaitu mendapat apa yang anda tidak suka, ataupun tidak mendapat apa yang anda suka, adalah sebahagian daripada kehidupan.
  • Jika satu jalan terhalang, gunalah jalan lain sehingga akhirnya anda sampai ke destinasi anda.
  • Jika anda tidak mempunyai kemahiran, belajarlah. Anda tidak akan dapat apa-apa dengan hanya duduk tidak berbuat apa-apa dan bermuram serta berasa kesal.
  • Galakkan anak-anak untuk menghargai kemahiran yang terdapat pada orang lain dan juga diri sendiri – ini mengurangkan perasaan cemburu apabila mereka dewasa nanti, dan sikap ini memupuk persahabatan serta rasa bersyukur.
  • Belajar untuk berterima kasih dan wujudkan persekitaran yang murah hati.
  • Jadikan diri teladan yang baik kepada anak anda – kanak-kanak belajar dengan memerhatikan ibu bapa mereka dan orang-orang di sekeliing mereka.

Ibu bapa juga perlu menggalakkan usaha gigih dan menanamkan keazaman dengan memberi ganjaran terhadap usaha anak anda. Sediakan banyak peluang untuk mereka mempelajari kemahiran serta menghadapi kekecewaan, agar anda boleh tunjukkan bahawa anda menghargai kesanggupan mereka untuk menyesuaikan diri, belajar dari kesilapan dan mencapai kejayaan. Dunia sentiasa berubah dan kemahiran penyesuaian diri adalah penting. Meminta-minta atau berasa berhak hanya membuat anda terikat pada sesuatu kebiasaan dan mampu melukakan hati anda apabila berlaku apa-apa perubahan.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen