Pengasuhan Positif

Jangan Buta Kerana Silauan Digital

Dunia digital adalah dunia maya. Daripada menghabiskan kebanyakan masa anda di komputer, menonton TV, menghantar teks dalam telefon, luangkan lebih masa berkualiti bersama keluarga. Membina hubungan kekeluargaan yang erat adalah jauh lebih baik dan dalam prosesnya, menjadi kenangan manis sepanjang hayat serta mengadakan persekitaran yang positif untuk anak anda.

Salah satu pengalaman paling mendalam yang akan menentukan masa depan anak anda terletak pada hubungannya bersama anda. Maka, keluarga merupakan bahagian penting dalam formula ini. Anak akan belajar segala-galanya daripada ibu bapa, termasuk sifat kebolehpercayaan dan mudah dihampiri anda. Oleh yang demikian, tidak mengejutkan sekiranya dia menganggap peranti elektronik sebagai pesaing untuk mendapat perhatian anda. Selain itu, dia juga akan meniru tabiat digital anda apabila dia membesar.

Sosial atau Anti-sosial?

Ambil contoh trend media sosial kini. Baik atau buruknya, terlalu ramai orang terjebak dalam trend ini dan menghabiskan banyak masa diperhambakan olehnya. Jika anda mendapati anda sering memeriksa Instagram, Twitter, Facebook, atau sebarang bentuk media sosial, dan kehidupan nyata mengganggu kehidupan maya anda, maka tiba masanya untuk berhenti dan nilai semula keutamaan anda.

Sebagai permulaan, rancang detoks digital untuk diri anda. Luangkan seluruh hujung minggu jauh daripada telefon bimbit atau komputer. Relaks dan nikmati masa bersama keluarga. Anda tidak semestinya merancang satu percutian ke sebuah pulau tropika di tengah-tengah lautan – yang penting ialah meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan tidak diganggu dengan sebarang alat digital. Tutup telefon anda atau tinggalkan dalam kereta atau di rumah jika perlu!

Si kecil saya

Jangan lupa bahawa anak anda memerhatikan anda. Sebagai contoh, jika anda sentiasa bertelefon, ini akan menghantar mesej kepadanya bahawa tidak salah untuk melakukan perkara yang sama. Anda adalah model peranan mereka. Tambahan pula, masa yang anda gunakan untuk fokus kepada alat digital adalah masa anda tidak bersama anak anda. Sebaliknya, alihkan perhatian anda kepadanya – berikan tumpuan kepada anak anda dengan berbincang tentang hobi terkini atau tanyakan pandangannya tentang sesuatu. Jika dia terlalu kecil untuk bertutur, anda masih boleh menghujani dia dengan perhatian – dia akan lebih menyayangi anda.

Pada mulanya, mungkin sukar bagi anda untuk detoks digital, tetapi jangan putus asa dan teruskan. Bukan sahaja ia boleh dilakukan, ia harus dilakukan secara tetap. Terlalu banyak sebab mengapa anda harus lakukannya! Malah, selain daripada faedah kepada keluarga dan anak anda, terdapat banyak faedah bagi anda juga. Anda akan mendapat lebih banyak rehat dan kurang stres. Kesemua ini menyumbang kebahagiaan dan kesihatan anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen