Pengasuhan Positif

Hentikan Penderaan Terhadap Kanak-Kanak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyenaraikan keganasan sebagai salah satu kebimbangan utama manusia sejagat. Daripada kajian-kajian seperti Laporan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Keganasan terhadap Kanak-Kanak, kita tahu bahawa kanak-kanak menghadapi keganasan dalam pelbagai situasi, termasuk di rumah dan di sekolah. Ini mendedahkan mereka kepada bahaya fizikal, kecederaan, serta kemudaratan psikologi. Semakin banyak bukti seperti kajian Kesan Buruk Pengalaman Zaman Kanak-Kanak atau Adverse Childhood Experiences – ACE, menunjukkan bahawa pendedahan kepada trauma semasa zaman kanak-kanak meningkatkan risiko merokok, obesiti, kemurungan, ketagihan dadah, penyakit jantung atau paru-paru dan kanser apabila dewasa. Maka, adalah penting untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak jika kesejahteraan kanak-kanak serta kesihatan kesuluruhan masyarakat mahu diperbaiki.

Melindungi kanak-kanak daripada keganasan memerlukan penglibatan setiap individu dalam masyarakat. Kanak-kanak harus mendapat penjagaan terbaik dan perlindungan daripada keluarga mereka sendiri. Ibu bapa mempunyai peranan penting dalam menyediakan keperluan asas anak-anak, mengasuh, membimbing serta melindungi mereka daripada bahaya.

Membesarkan anak-anak adalah satu tugas yang mencabar. Adakalanya orang dewasa berkelakuan tidak wajar dan membahayakan kanak-kanak. Ini berlaku disebabkan oleh kejahilan, tekanan, harapan yang tidak realisitk atau kurang kawalan terhadap tingkah laku mereka sendiri. Masalah mungkin terselindung kerana kanak-kanak sukar untuk menyuarakannya dan orang dewasa pula enggan mendedahkan apa permasalahannya.

Penderaan fizikal

Mana-mana kanak-kanak yang mempunyai kesan lebam, luka, lecur atau retakan tanpa penjelasan yang munasabah mungkin sedang mengalami penderaan fizikal, terutamanya apabila terdapat beberapa kecederaan yang berulang.

Tindakan-tindakan berikut adalah satu bentuk penderaan dan sama sekali tidak boleh digunakannya sebagai cara untuk mendisiplin seorang kanak-kanak:

  • Sebarang pukulan yang menyebabkan kecederaan seperti lebam dan pendarahan
  • Memukul bayi atau kanak-kanak petatih yang terlalu kecil untuk memahami diantara apa yang betul dan apa yang salah.
  • Menendang dan menumbuk
  • Menolak seorang kanak-kanak pada sesuatu yang keras atau sehingga dia terjatuh
  • Membengkok atau memusingkan tangan atau kaki seorang kanak-kanak
  • Meletakkan objek panas, cecair panas atau bahan lain yang menyebabkan lecur , contohnya menggosok cili pada kulit, bibir atau mulut
  • Memukul seorang kanak-kanak ketika bergaduh dengan orang lain
  • Memukul seorang kanak-kanak kerana marah atau kecewa tentang sesuatu yang tidak ada kena mengena dengannya
  • Menghukum seorang kanak-kanak kerana jangkaan yang tidak realistik, contohnya memukul seorang kanak-kanak yang berusia dua tahun kerana membuang air kecil dalam seluarnya
  • Memukul seorang kanak-kanak ketika bawah pengaruh dadah atau alkohol
  • Tidak memberi seorang kanak-kanak makanan, minuman atau membuat kanak-kanak berdiri di luar di bawah matahari atau dalam hujan.
  • Mengunci seorang kanak-kanak dalam ruang yang sempit (seperti dalam penjara)
  • Menarik rambut seorang kanak-kanak

Anak-anak harus dilayan penuh kasih sayang

Bayi kecil memerlukan paling banyak penjagaan dan perhatian. Adakalanya, tangisan yang tidak henti-henti mungkin mencabar kesabaran ibu bapa dan pengasuh. Dalam keadaan sedemikian, adalah penting untuk menghubungi ahli keluarga atau rakan untuk mendapatkan sokongan dan bertenang. Jangan sekali-kali menggoncang, menumbuk atau memukul bayi untuk menghentikan mereka daripada menangis. Tindakan-tindakan tersebut adalah berbahaya. Ia boleh menyebabkan kecederaan kepala yang teruk, pendarahan dalam mata dan kecederaan dalaman lain yang boleh mengancam nyawa mereka.

Jika anda sukar mengawal tingkah laku anak anda, minta sokongan daripada seorang ahli keluarga atau rakan dan dapatkan bantuan profesional.

Penderaan emosi

Penderaan emosi berlaku apabila terjadinya interaksi negatif yang berulang di antara ibu bapa/pengasuh dan seorang anak. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak menderita akibat keadaan yang tidak terjamin, harga diri yang rendah dan mengakibatkan masalah psikologi serta tingkah laku.

Contoh-contoh penderaan emosi:

  • Memarahi dan mengkritik seorang kanak-kanak berulang kali tanpa memberi sebarang galakan positif
  • Sentiasa membuat perbandingan dengan orang lain yang ‘lebih baik” atau “lebih pandai”
  • Kerap tidak mempedulikan seorang kanak-kanak dan tidak memberi kasih sayang dan perhatian
  • Mengenepikan seorang kanak-kanak dan tidak memberinya hadiah atau layanan yang diberi kepada kanak-kanak lain
  • Mengguna label negatif untuk memanggil kanak-kanak seperti “tidak berguna” atau “bodoh”
  • Membiarkan seorang kanak-kanak melihat babak-babak menakutkan, contohnya pertengkaran ganas di antara orang dewasa

Kanak-kanak belajar dengan meniru. Ibu bapa, guru dan orang dewasa yang menjaga kanak-kanak harus menunjukkan contoh dengan menjadi model peranan yang positif. Kanak-kanak yang mendapat galakan untuk mengembangkan bakat dan mendapat maklum balas positif bagi perkara yang mereka lakukan dengan betul akan membesar menjadi orang dewasa yang mempunyai harga diri yang tinggi.

Penderaan seksual

Jangan sekali-kali tidak mempedulikan seorang kanak-kanak yang memberitahu anda bahawa seseorang telah menyentuh kemaluannya. Adalah luar biasa bagi kanak-kanak kecil untuk menyatakan sedemikian tanpa sebarang pengalaman secara langsung. Jelaskan kepadanya bahawa dia berhak untuk berkata “Jangan” jika seseorang meminta dia melakukan sesuatu atau menyentuhnya dengan cara yang membuat dia rasa kurang selesa. Berhati-hati kerana penderaan seksual adalah masalah yang menjejaskan kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Galakkan anak anda untuk memberitahu anda jika mereka menghadapi sebarang masalah dan sentiasa bersedia untuk mendengar. Kanak-kanak enggan atau takut untuk bersuara jika mereka rasa bahawa ibu bapa dan guru-guru tidak mahu mendengar. Mereka juga mungkin takut dengan ugutan pendera atau diberitahu pendera tersebut bahawa tiada orang akan mempercayai cerita mereka. Pertahankan anak anda. Yakinkan anak anda bahawa anda akan melindunginya daripada sesiapa yang hendak menyakitinya. Dapatkan bantuan profesional jika anda bimbang bahawa anak anda mungkin telah didera secara seksual.

Tanda-tanda amaran kemungkinan berlakunya penderaan seksual:

  • Kesakitan, pendarahan atau discaj sekitar kemaluan atau kesan pada pakaian dalam
  • Tingkah laku seksual terhadap orang lain
  • Tingkah laku memberontak atau agresif secara tiba-tiba
  • Merokok, mengambil dadah atau alkohol
  • Kelihatan sedih, murung, menyendiri atau hendak membunuh diri
  • Kehamilan
  • Ponteng sekolah dan lari dari rumah
  • Sukar tidur, mengalami mimpi buruk yang berulang dan kurang selera makan

Pengabaian

Pengabaian berlaku apabila keluarga seorang kanak-kanak gagal menyediakan keperluannya walaupun mereka mampu. Kebanyakan keluarga memahami bahawa mereka harus menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Namun, ramai yang tidak sedar betapa pentingnya untuk mengawasi anak-anak mereka. Kurang pengawasan akan mendedahkan kanak-kanak kepada bermacam-macam jenis bahaya seperti lemas, dilanggar kenderaan atau terperangkap dalam ruang yang tertutup yang menyebabkan kelesuan haba atau lemas. Kanak-kanak yang terbiar juga boleh diculik atau menjadi sasaran penderaan seksual.

Bantu melindungi kanak-kanak

Kanak-kanak bergantung kepada orang dewasa untuk bantuan. Jangan berlengah jika anda bimbang bahawa seorang kanak-kanak mungkin telah didera. Tindakan pantas anda boleh membantu menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak. Anda boleh hubungi salah satu agensi berikut:

  • Talian penting kebangsaan Talian Nur di 15999 atau pejabat Kebajikan terdekat
  • Balai polis terdekat
  • Hospital terdekat

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen