Pengasuhan Positif

Bagaimana Keluarga ‘Digital’ Menjejaskan Perkembangan Anak Anda

Dua tahun pertama kehidupan anak anda merupakan tempoh kritikal untuk perkembangan otaknya. Keibubapaan sentiasa harus dilakukan sendiri.

Menyerahkan tugas keibubapaan kepada TV atau peranti elektronik akan hanya membantutkan perkembangan awal anak anda – dia perlu dibenarkan untuk menjelajah, bermain, dan berinteraksi dengan manusia (contohnya, ibu bapa, adik beradik, dan ahli keluarga lain) untuk menggalakkan perkembangan fizikal dan sosial yang sihat. Kajian juga menunjukkan bahawa penggunaan peranti elektronik yang berlebihan boleh mengakibatkan kesan buruk kepada perkembangan kanak-kanak (mental, fizikal, emosi, dll).

Hadkan masa menonton

Akademi Pediatrik Amerika (The American Academy of Pediatrics, AAP) menyarankan agar ibu bapa mewujudkan zon “bebas skrin” di rumah untuk memastikan tiada television, komputer atau permainan video di dalam bilik tidur kanak-kanak dan menutup TV ketika makan malam. Kanak-kanak dan remaja tidak harus melibatkan diri dengan media hiburan lebih daripada satu atau dua jam sehari. Kandungan apa yang ditonton juga hendaklah berkualiti tinggi. Adalah penting bagi kanak-kanak untuk meluangkan masa bermain di luar, membaca, hobi, dan menggunakan imaginasi mereka untuk bermain.

AAP menyarankan agar bayi dan kanak-kanak di bawah umur dua tahun tidak terdedah langsung kepada sebarang jenis skrin (contohnya, TV, telefon pintar, atau sebarang alat elektronik lain yang mempunyai skrin). Memandangkan otak kanak-kanak akan mengembang dengan cepat dalam beberapa tahun awal ini, kanak-kanak harus belajar berinteraksi dengan orang dan bukan objek tidak bernyawa, iaitu skrin.

AAP juga menyarankan agar kanak-kanak berumur di antara dua hingga lima tahun tidak terdedah kepada skrin lebih daripada satu jam sehari, manakala kanak-kanak di antara lima hingga 18 tahun tidak lebih daripada dua jam sehari.

Kekalkan yang Nyata bukan Maya

Membenarkan masa menonton tanpa batas akan menyebabkan anak anda kurang masa untuk aktiviti penting yang lain seperti bersenam, belajar/membaca, membuat kerja sekolah, atau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan kawan. Namun, pengecualian boleh dibuat sekiranya anak anda perlu mengguna komputer untuk melakukan kerja sekolah. Ingatlah bahawa bahaya sebenar datang daripada masa menonton yang tidak memberi pendidikan atau berbentuk hiburan.

Cahaya yang dikeluarkan daripada alat elektronik mengganggu kitaran tidur kita (juga dikenali sebagai ritma sirkadian atau ‘Circadian Rhythm’). Tiada apa yang boleh menandingi tidur malam yang mencukupi. Oleh itu sekiranya anda mempunyai tabiat menonton TV atau memeriksa Facebook atau e-mel sebelum tidur, cahaya daripada skrin boleh mengganggu bukan sahaja kualiti tidur anda, tetapi juga orang di sekeliling anda (iaitu pasangan dan anak anda). Pendedahan kepada aktiviti skrin sebelum tidur juga menjejaskan tempoh dan kualiti tidur anak anda, membuat dia sering penat, murung dan kurang memberi perhatian pada keesokan harinya.

Pedang bermata dua

Sebelum anda mengambil keputusan untuk mengunci semua peranti elektronik anda, ingatlah bahawa terdapat beberapa aspek positif dalam penggunaan peranti elektronik. Peranti elektronik boleh digunakan sebagai alat pembelajaran yang membantu perkembangan anak anda, dengan syarat ia digunakan dengan berhati-hati. Sebagai ibu bapa, anda perlu sentiasa mengawasi masa menonton anak anda untuk memastikan dia mendapat faedah daripada penggunaannya dan dia tidak menyalahguna keistimewaan yang diberi.

Jika digunakan dengan cara yang betul, peranti elektronik boleh menjadi alat pembelajaran yang sangat baik. Namun, ambil perhatian bahawa anak anda mudah menyalahgunakan keistimewaan masa menontonnya, maka terpulang kepada anda untuk memainkan peranan memantaunya secara serius.

Beberapa keburukan terlalu banyak menonton sesuka hati termasuk:

  • Obesiti – apabila anak anda meluangkan lebih banyak masa dengan alat elektronik, dia akan kurang masa untuk aktiviti fizikal, juga kemungkinan tabiat suka makan sambil menikmati masa menontonnya. Lebih mudah untuk makan berlebihan kerana dia tidak tumpukan perhatian kepada hidangannya dan kurang aktiviti fizikal juga meningkatkan risikonya menjadi berlebihan berat badan/obes.
  • Tidur tidak teratur – terlalu banyak masa menonton boleh mengganggu tidur anak anda kerana dia sukar untuk tidur atau jadual tidurnya menjadi tidak teratur. Kurang tidur boleh menyebabkan keletihan atau dan menyebabkan makan secara berlebihan.
  • Masalah tingkah laku – kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang meluangkan lebih daripada dua jam sehari menonton TV atau komputer cenderung mempunyai masalah emosi, sosial dan kurang mendapat perhatian.
  • Keganasan – pendedahan berlebihan kepada keganasan dalam skrin juga akan mendedahkan kanak-kanak kepada keganasan. Ini menyebabkan kanak-kanak belajar untuk menerima tingkah laku ganas dan melihatnya sebagai cara yang betul untuk menyelesaikan masalah.
  • Kurang masa untuk bermain – menghabiskan banyak masa bermain peranti elektronik menyebabkan hanya sedikit masa diluangkan untuk bermain permainan secara aktif dan kreatif.

Tip-tip kegunaan masa menonton:

  • Pastikan kandungan apa yang ditonton sesuai untuk anak anda. Satu perkara yang perlu diingati ialah anak anda mungkinperlukan sedikit bimbingan sesudah menonton satu-satu program, oleh itu anda perlu adakan sesi ‘ulasan’ bersama anak anda untuk menerangkannya.
  • Jangan biarkan rancangan TV terpasang di latar belakang. Penyelidik mendapati situasi tersebut akan mengalih perhatian kanak-kanak walaupun mereka tidak menontonnya. Selain itu, ibu bapa didapati kurang meluangkan masa berinteraksi dengan anak mereka jika TV dipasang dan kualiti interaksi di antara ibu bapa dan anak juga berkurangan.
  • Jika anak anda cukup besar untuk menggunakan komputer bagi kerja sekolahnya, hadkan masa penggunaannya atau pastikan dia kerap berhenti untuk berehat, seelok-eloknya setiap setengah jam (sebaik-baiknya lakukan beberapa aktiviti kalistenik atau aktiviti fizikal ringan). Terdapat banyak bukti mengaitkan risiko obesiti dengan aktiviti sedentari seperti penggunaan komputer berjam-jam. Terdapat juga risiko tambahan kecederaan mata, leher, belakang atau pergelangan tangan.

digital-divide-2

Awas!

Rancangan atau kandungan yang menakutkan atau mengganggu fikiran (contohnya program ganas, dll) boleh mengganggu tidur anak anda dan perkembangannya. Para penyelidik mendapati bahawa kanak-kanak berumur satu tahun yang terdedah kepada kandungan TV orang dewasa akan mendapat pencapaian rendah bagi ujian kognitif pada umur empat tahun. Kanak-kanak empat tahun yang menonton rancangan-rancangan TV tersebut juga mendapat pencapaian rendah bagi ujian kognitif yang sama.

‘Kebosanan Satu Pemberian’

Sekarang ini, bahayanya ialah apabila kanak-kanak terlebih rangsangan. Kanak-kanak perlu belajar bagaimana untuk mengendalikan kebosanan. Dengan membiarkan anak anda mengatasi kebosanan, dia akan lebih mampu diri dan kurang kemungkinan menjadi penagih digital.

Jika anak anda mempunyai masa lapang, berikut adalah beberapa idea bagaimana anda boleh galakkan dia lakukan untuk mengatasi kebosanannya:

  • Lakukan aktiviti fizikal – main kejar-kejar, badminton, futsal, atau permainan fizikal lain. Dia bukan sahaja mendapat faedah bersenamtetapi juga peluang untuk anda mengeratkan hubungan bersama anda.
  • Bersosial – galakkan anak anda untuk keluar dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain. Media sosial (contohnya Facebook, dll) adalah dunia maya dan tidak boleh menggantikan dunia nyata yang mengajar kita tentang kehidupan.
  • Cari hobi – ia merangkumi segala-galanya daripada seni lukis dan pertukangan, memancing, bermain layang-layang, mengumpul benda-benda (contohnya, setem, dll), mengkaji/melihat burung, astronomi, memasak, fotografi, muzik, berkebun dan macam-macam lagi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen