Pengasuhan Positif

Tak Kering Gusi! Menggalakkan Rasa Lucu Anak Anda

Secara ringkasnya, “rasa lucu” merupakan kualiti seseorang individu untuk melihat jenaka dalam kepelbagaian situasi dan keadaan. Ia juga melibatkan kebolehan menceritakan jenaka, menghargainya, atau menggunakan kelucuan untuk mempersenda atau mengusik. Perkembangan ‘rasa lucu’ kanak-kanak adalah sebahagian penting daripada pertumbuhan dan perkembangan mereka.

Rasa lucu juga dianggap sebagai satu fungsi tahap perkembangan kognitif seorang kanak-kanak dan merupakan tindak balas psikologi yang kompleks; subjektif, unik dan melibatkan pelbagai faktor. Ini bukan lawak! Sains mempercayai dan telah membuktikan bahawa mempunyai rasa lucu memberi kebaikan:

  • Kecerdasan yang lebih tinggi.
  • Menggalakkan kebolehan kreatif.
  • Memperbaiki dan meningkatkan kecekapan sosial.
  • Harga diri yang tinggi.
  • Menguatkan kemahiran interpersonal.
  • Kemahiran mengawal diri yang lebih baik, memperbaiki kesejahteraan emosi dan mental.
  • Mudah pulih daripada pengalaman pahit (melihat aspek lucu dalam pelbagai situasi).

Rasa Lucu & Keluarga

Apabila ingin membangunkan rasa lucu anak anda, adalah penting untuk berseronok bersama sebagai satu keluarga. Berkongsi jenaka, bermain permainan, menonton filem lucu bersama, dll.

Peringkat Perkembangan Rasa Lucu Kanak-Kanak

Pada peringkat awal, ketawa kuat pertama bayi lazimnya dapat dilihat dalam lingkungan usia 3-4 bulan. Perasaan seronok, seperti membuat bunyi kentut di perut bayi, atau membuat kejutan semasa bermain ‘baa-cak’ boleh membuat bayi ketawa berulang kali. Ini merupakan satu bentuk rasa lucu peringkat awal, namun, rasa lucu ini akan berkembang dan menjadi lebih kompleks dalam 4 peringkat tersebut:

Peringkat 1 [18 hingga 24 bulan]: kanak-kanak geli hati apabila sesuatu objek yang diguna untuk fungsi biasa diguna pula untuk fungsi lain dengan cara yang tidak munasabah (contohnya memakai stokin di telinga).

Peringkat 2 [2 hingga 3 tahun]: kata-kata gurauan mula masuk akal (atau tidak masuk akal). Jenaka paling mudah seperti memanggil ibu sebagai “ayah” merupakan tahap fungsi kognitif yang lebih tinggi – ia memerlukan pemikiran yang lebih abstrak. Kanak-kanak tidak perlukan lagi peralatan fizikal untuk membuat atau memahami gurauan.

Peringkat 3 [3 hingga 5 tahun]: Kanak-kanak memerlukan jenaka yang diputar belit sedikit untuk memberi kesan lucu kerana pengetahuan kanak-kanak tentang dunia semakin meningkat. Pada peringkat ini kanak-kanak lebih kerap terhibur dengan visual yang mengarut, sesuatu yang tidak masuk akal seperti menambah kepak olok-olok pada seekor anjing atau telinga arnab pada seekor kucing. Ia bukannya lucu kerana tidak munasabah, tetapi kerana ia kelihatan lucu semata-mata.

Peringkat 4 [6 tahun dan ke atas]: pada peringkat ini, rasa lucu kanak-kanak menyamai orang dewasa. Ia bercirikan kebolehan kanak-kanak untuk memahami perkataan dan ayat yang mungkin terdapat dua maksud (contohnya, “Dalam banyak-banyak ulat, ulat mana yang pandai? Ulat buku!”). Memahami ironi bermula dari usia 5-6 tahun manakala sindiran boleh difahami pada sekitar 8-9 tahun.

Namun demikian, kanak-kanak pada peringkat umur lebih tua boleh menghargai dan ketawa pada jenaka yang ditujukan kepada kanak-kanak lebih kecil. Rasa lucu tidak terbatas oleh lingkungan umur tetapi meningkat dan mengembang supaya dapat menghargai kepelbagaian jenaka dan perkara melucukan. Malah, sebagai orang dewasa, sesetengah dari kita juga adakalanya masih gemar mendengar jenaka kentut yang melucukan.

Apa yang Membuat Anak-Anak Kita Ketawa Terbahak-bahak?

Setiap kanak-kanak mempunyai kecenderungan yang berbeza tentang apa yang dianggap “lucu”. Peningkatan kebolehan kognitif, lebih memahami kehidupan dunia serta pengalaman lampau membantu membentuk rasa lucu mereka. Beberapa kategori kelucuan yang disukai kanak-kanak (dan juga orang dewasa) termasuk:

kategori-kelucuan

Rasa Lucu boleh Dibentuk, Diajar dan Dipelajari

Ibu bapa mempunyai pengaruh paling kuat terhadap personaliti anak mereka. Apabila perkembangan rasa lucu anak digalakkan – seperti dipuji dan dihargai – ia akan berkembang. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membentuk rasa lucu anak anda:

  1. Membaca cerita lucu kepada mereka menggunakan bahasa buatan, suara dan bunyi-bunyi yang melucukan – anak-anak kecil akan menyukainya. Kanak-kanak lebih besar mungkin akan lebih gemarkan komik, kartun atau filem lucu.
  2. Pengalaman hidup juga menjadi faktor signifikan. Apabila berlakunya kegagalan, kesedihan atau pengalaman pahit, ambil peluang untuk membantu mereka dengan mengubah situasi negatif menjadi sesuatu yang positif.
  3. Ketawakan diri sendiri! Mentertawakan telatah anda sendiri boleh merangsang dan memberi galakan sama seperti ketawa bersama anda. Ia menunjukkan bahawa membuat lucu diterima dan kadang kala tidak salah untuk mengarut dan mentertawakan diri sendiri.
  4. Persekitaran di rumah yang menyokong akan menggalakkan keyakinan dan membantu anak-anak untuk lebih menerima dan cuba melawak.
  5. Bantu anak anda melihat bukan keseluruhan sesuatu perkara dan galakkan mereka untuk berfikir di luar kotak.
  6. Berseronok dan libatkan diri dalam aspek-aspek bermain dalam kehidupan anak anda. Contohnya, lakon peranan, (contohnya berlakon sebagai adiwira atau berpura-pura menjadi seorang pegawai polis) adalah cara yang baik untuk melibatkan diri dengan anak anda. Ia adalah tentang meneroka, berimaginasi dan merangsang kreativiti – bahagian penting dalam perkembangan rasa lucu.

Perkara paling penting apabila menggalakkan rasa lucu adalah untuk tidak menentukan rasa lucu anak anda ke sesuautu arah yang khusus. Biarkan mereka membina jenis rasa lucu yang mereka gemari. Tugas anda adalah untuk memberi bimbingan tentang rasa lucu yang tidak menyakitkan hati dan meletakkan had agar anak-anak anda tidak melampaui batas. Jika kelucuan anak anda tidak bertempat, menyakitkan hati atau tidak sesuai digunakan, jangan ketawa. Ambil masa untuk menerangkan mengapa ia tidak lucu dan bantu anak anda mengubah tingkah lakunya.

Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen