Pengasuhan Positif

Memupuk Kesedaran Diri dari Kecil

Kita memang perlu menumpukan perhatian kepada amalan gaya hidup sihat yang baik. Kesihatan yang baik bukan hanya setakat pemakanan sihat dan senaman. Walaupun kesihatan fizikal adalah penting, kepentingan kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan demi kesihatan keseluruhan.

Lebih-lebih lagi, kehidupan zaman moden serba pantas kini sering menyebabkan anda berasa seolah tiada masa untuk diri sendiri, lalu menyebabkan anda berfikiran atau berperasaan negatif. Mendengar muzik yang menenangkan atau keluar berjoging di taman juga boleh mengurangkan perasaan negatif. Akan tetapi, aktiviti tersebut hanya dilakukan selepas anda berasa negatif.

Bagaimanakah boleh anda membendung fikiran dan perasaan negatif ini dari awal lagi? Sebenarnya, anda boleh memperbaiki kesejahteraan mental anda dan mengurangkan fikiran serta perasaan negatif. Malah, terdapat satu gerakan yang semakin mendapat tempat yang menyokong tindakan kesedaran diri dalam mencapai kesejahteraan mental. Kesedaran diri itu sendiri bukanlah satu perkara yang baru. Perkara yang baik tentangnya ialah anda tidak perlu warak dalam agama atau kerohanian untuk menikmati manfaatnya. Pakar kesihatan Barat telah memajukan kaedah-kaedah terapi yang menggunakannya, seperti Terapi Kognitif Berasaskan Kesedaran atau Mindfulness-Based Cognitive Therapy (MBCT) dan Pengurangan Stres Berasaskan Kesedaran atau Mindfulness-Based Stress Reduction (MBSR).

Apakah Kesedaran Diri?

Di sebalik namanya yang berbunyi eksotik, konsep asas kesedaran diri adalah mudah – ia merupakan kesedaran anda mengenai keadaan yang anda hadapi sekarang dan alami tanpa sebarang tanggapan. Apabila anda mengasah kemahiran ini, anda akan dapati bahawa ia merupakan suatu alat yang boleh membantu menguruskan tekanan dan kebimbangan, bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa. Satu cara mudah untuk membantu anak anda memahami konsep kesedaran diri adalah kata hikmah ini:

“Hargai apa detik yang ada sekarang kerana ianya tidak akan kembali.”

Masih tidak percaya bahawa kesedaran diri berguna? Cuba ingat semula hidangan terakhir yang anda makan. Boleh tak anda ingat apa-apa mengenainya? Adakah hidangan tersebut untuk menghilangkan lapar semata-mata atau adakah anda menikmatinya? Malangnya, ramai orang yang sibuk dengan pelbagai tugasan dan kebanyakan hidangan dimakan dengan tergopoh-gapah.

Apabila anda lebih sedar tentang hidangan anda, anda akan memberi perhatian kepada setiap komponen, iaitu bau makanan, rupa, rasa, sensasi ,dan lain-lain apabila makan. Makan harus dilakukan dengan niat untuk menjaga diri. Ia harus dilakukan dengan memberi perhatian yang sewajarnya, agar anda dapat melihat dan menikmati hidangan anda dan bagaimana ia menjejaskan tubuh anda.

Kesedaran Diri dan Meditasi: Apa bezanya?

Terdapat banyak persamaan di antara kedua-duanya. Kesedaran diri boleh juga dikatakan sebagai kemahiran asas yang diperlukan dalam meditasi. Namun, perbezaan paling mudah dan ketara di antara kedua-duanya ialah dari segi pendekatannya, di mana kesedaran diri merupakan sesuatu yang boleh dilakukan bila-bila masa atau di mana-mana, manakala meditasi lazimnya memerlukan anda melakukannya bagi tempoh yang khusus.

Manfaat Kesedaran Diri

Kesedaran merupakan sejenis kaedah mental yang membantu anda untuk lebih menyedari corak fikiran, tingkah laku dan perasaan anda. Matlamat utamanya ialah untuk membolehkan anda mengendalikan fikiran dan perasaan anda dengan lebih baik dan tidak membiarkannya menguasai anda. Ia memberi manfaat kepada anda dengan memperbaiki:

  • kesejahteraan keseluruhan – membantu anda memberi perhatian dengan lebih baik terhadap perkara-perkara semasa dan mengalih perhatian anda daripada terlalu banyak berfikir dan bimbang.
  • kesihatan fizikal – membantu melegakan stres, merawat penyakit jantung, mengurangkan tekanan darah, mengurangkan kesakitan kronik, memperbaiki tidur, dan mengurangkan masalah sistem penghadaman.
  • kesihatan mental – kesedaran diri terbukti memberi kesan positif dalam rawatan kemurungan, salah guna dadah, masalah pemakanan, masalah keresahan, dan kecelaruan obsesif kompulsif.

Oleh itu, sebelum anda mendedahkan anak anda kepada amalan kesedaran diri, adalah lebih baik jika anda sendiri berlatih dahulu. Ia akan memudahkan anda membimbing anak anda kerana anak anda akan mengikut jejak langkah anda apabila anda sama-sama berlatih kesedaran diri. Terdapat juga aplikasi yang anda boleh muat turun untuk membantu anda seperti “Stop, Breathe, and Think”, “Calm.com”, “Insight Timer”, dan “MindShift”. Namun, seperti mana-mana perjalanan, anda akan merasai susah dan senang, apa yang penting adalah bersabar dan tabah dalam usaha anda mendidik anak anda tentang kesedaran diri. Seluruh usaha dalam latihan kesedaran diri adalah mempelajari untuk berpuas hati dengan keadaan semasa. Maka, pendekatan yang bertimbang rasa dan lemah lembut adalah sangat penting.

Kesedaran Diri Boleh Membantu Anak Anda

Sebagaimana ia boleh memberi manfaat kepada anda, kesedaran diri juga akan memberi kebaikan kepada anak anda. Kerap kali, minda seorang kanak-kanak mudah terseleweng, atau asyik dengan fikiran-fikiran lalu atau kebimbangan tentang masa akan datang. Lazimnya, anak anda hanya bertindak secara automatik apabila melalui hari-harinya, atau hanya “bertindak mengikut emosi”.

Dengan mendidik anak anda supaya lebih sedar diri, dia akan mempelajari cara untuk mengubah perhatiannya daripada fikiran atau emosinya kepada persepsi pancaindera terhadap apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Dengan melakukannya secara sedar, ia membolehkan anak anda untuk lebih prihatin terhadap tindakan emosinya, lalu memudahkan dia bertenang dan tidak mudah terjadinya ledakan emosi. Selain itu, keberangkalian untuk bersyukur dan berpuas hati adalah lebih tinggi apabila seseorang itu lebih sedar akan keadaan semasa. Berapa kerapkah kita sedar bahawa kita sudah cukup baik dan perkara-perkara lain pun sudah cukup baik? Seperti yang dikatakan, kesedaran diri melahirkan rasa puas hati yang semakin jarang ditemui dewasa ini.

Manfaat jangka panjang kesedaran diri yang lain termasuk:

  • memperbaiki daya ingatannya (dengan memperbaiki kebolehannya untuk menumpukan perhatian)
  • meningkatkan kebolehannya untuk fokus, dan memperbaiki kemahiran yang dipelajarinya.
  • membolehkan dia memahami dengan lebih baik mengenai proses pemikirannya dan bagaimana mindanya bertindak yang akhirnya menjurus kepada kefahaman diri yang lebih baik.
  • belajar untuk bersyukur – “sekarang ini cukup baik, saya cukup baik”

Akan tetapi, adalah ditekankan bahawa hasil-hasil tersebut akan hanya tercapai melalui latihan kesedaran diri secara tetap – malah orang dewasa juga sukar mencapainya.

Tahap yang berbeza bagi umur berbeza

Pembelajaran daripada pengalaman adalah penting bagi anak anda. Latihan kesedaran diri merupakan kaedah pembelajaran yang ringan, berasaskan pengalaman dan tidak boleh dipelajari melalui pembacaan. Justeru itu, anda sebagai ibu bapa atau guru wajib mempelajari dahulu bagaimana rasanya agar dapat memahami pula bagaimana ia boleh membantu.

Apabila anda mula-mula memperkenalkan kesedaran diri kepada anak anda, jadikan ia mudah dan tidak formal. Apa yang diperlukan hanyalah untuk menumpukan perhatian anda pada masa sekarang dan menyesuaikan diri dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling dan pada anda.

Bagi kanak-kanak yang telalu muda untuk menyatakan perasaan atau pengalaman mereka, anda boleh tunjuk bagaimana seseorang boleh mendapat manfaat daripada kesedaran diri dengan menggunakan cerita. Anda boleh menggunakan watak kegemaran anak anda atau hero sebagai model untuk dijadikan contoh agar dia mendapat inspirasi daripada cerita. Kemudian lakukan latihan sebenar dengannya.

Sebagai contoh, anda boleh menggunakan watak Incredible Hulk sebagai satu watak yang tidak dapat mengawal kesedaran dirinya dan senang naik berang apabila dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan kemarahan. Apabila dia bertenang dan menyesuaikan diri dengan perkara yang mengganggunya, dia kemudiannya dapat mengatasi masalah dengan cara yang lebih adaptif, dan membina.

tahap-berbeza-untuk-umur-berbeza

Bagi semua contoh di atas, adalah sangat penting bagi anda untuk mendapatkankan maklum balas daripada anak anda tentang perasaan mereka. Jika mereka rasa gembira, ingatkan mereka untuk menyedari perasaan tersebut dan punca kegembiraan tersebut. Ini membantu mereka mengaitkan latihan kesedaran diri dengan perasaan gembira. Jika mereka tidak dapat membuat kaitan tersebut, latihan tersebut tidak bermakna bagi mereka.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen