Pengasuhan Positif

Menginspirasikan Pilihan Kerjaya Anak Anda

Sebagai ibu bapa, anda perlu memainkan peranan dalam menyokong anak anda ke arah kerjaya pilihan mereka. Anak anda memerlukan anda untuk memberi nasihat dan bimbingan. Oleh yang demikian, anda perlu melengkapkan diri dengan seberapa banyak maklumat tentang pelbagai kerjaya. Ketahui apakah peranan anda dan bagaimana anda boleh membantu anak anda menemui kepelbagaian peluang kerjaya yang terdapat di luar sana.

Apa itu Kerjaya?

“Kerjaya” ialah kemajuan dan tindakan yang diambil oleh seseorang sepanjang hayat mereka, terutama dalam perkara yang berkait dengan kerjanya. Kerjaya biasanya terdiri daripada tugas yang disandang, gelaran yang diperoleh dan hasil yang dicapai dalam tempoh masa yang panjang.

Mengikut tradisi, ia bermakna pekerja yang kekal dalam satu pekerjaan sepanjang kerjayanya. Namun, hari ini, terdapatnya peningkatan trend di mana pekerja lebih kerap bertukar pekerjaan namun masih berkecimpung dalam satu bidang (contohnya seorang peguam boleh bekerja di beberapa firma dan dalam beberapa bidang undang-undang sepanjang hayatnya), ataupun dalam bidang lain.

Menerokai Dunia

Sebagai ibu bapa, kita perlu dengan secara sedar mendedahkan anak kita kepada kemungkinan kerjaya dan potensi yang terdapat dalam dan luar pengalaman kita sendiri. Beberapa perkara yang anda boleh lakukan ialah:

  1. Galakkan anak anda untuk berbincang secara proaktif dengan ahli keluarga yang mempunyai latar belakang kerjaya berlainan. Ia adalah peluang bagi mereka menanyakan soalan tentang pilihan kerjaya dan bagaimana untuk mencapainya. Mulakan dengan kerjaya anda dahulu!
  2. Membuat lawatan bersama keluarga ke tempat kerja dan perniagaan lain, boleh memberi gambaran kepada anak-anak anda tentang sesuatu pekerjaan. Bagi orang muda dan remaja, pesta kerjaya adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu pekerjaan atau mempelajari tentang kerjaya baharu.
  3. Menyertai kelab kerjaya di sekolah mereka atau pertubuhan bukan kerajaan boleh membantu menghubungkan anak-anak kepada lawatanlawatan berfokuskan kerjaya, penceramah jemputan, dan aktiviti sukarela yang boleh membina kemahiran pekerjaan.
  4. Aktiviti main peranan boleh membantu mendorong minat anak anda. Anda boleh lakukannya di rumah bersama keluarga menggunakan alatan lakon – ia juga merupakan satu cara yang baik untuk meluangkan masa berkualiti bersama. Anda juga boleh melawat pusat-pusat hiburan keluarga tertentu yang menyediakan aktiviti hiburan pendidikan mengenai kerjaya yang menarik dan interaktif.

fireman

Sikap Anda Penting

Ibu bapa juga mempengaruhi pengetahuan anak-anak tentang kerja dan pekerjaan yang berlainan; kepercayaan dan sikap mereka tentang bekerja; dan dorongan yang mereka ada untuk berjaya. Kebanyakannya dipelajari tanpa disedari – kanak-kanak dan remaja menyerap sikap dan harapan ibu bapa mereka apabila meningkat dewasa.

Oleh yang demikian, anda harus:

  • menetapkan harapan yang realistik berdasarkan kekuatan seorang anak. Ini adalah kunci membina keyakinan dan penting bagi kejayaan jangka masa panjang.
  • set a good example (menjadi teladan yang baik (iaitu etika bekerja yang baik, tingkah laku yang boleh dicontohi).).
  • menyediakan peluang yang mencukupi bagi anak-anak mempelajari dan mengembangkan minat dengan memberi perhatian kepada personaliti dan kekuatan mereka.
  • mengamalkan hubungan di antara ibu bapa dan anak yang saling mempercayai, sayang-menyayangi dan menyokong.
  • Membuka semua saluran komunikasi.

Elakkan daripada:

  • terlalu terlibat dan membuat semua keputusan bagi pihak mereka.
  • mengambil mudah tentang pilihan mereka atau memperkecil-kecilkannya.
  • terlalu banyak berfikir, ia akan menyebabkan stres dan tekanan.
  • memaksa mereka memilih kerjaya yang mereka tidak minat.

Bersikap positif terhadap pilihan yang dibuat oleh anak anda dan memahami bahawa pemilihan kerjaya merupakan satu perjalanan (tidak dijangka dan sentiasa berkembang) adalah beberapa cara di mana anda boleh menyokong anak anda agar bersedia untuk masa depan mereka dan membantu mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan.

Pemprofilan Kerjaya

Untuk membantu anda mendapat idea tentang apakah kerjaya yang sesuai bagi anak anda, minta mereka mengambil ujian pemprofilan kerjaya. Ia boleh di lakukan dalam talian. Ujian tersebut adalah berasaskan sains dan disokong oleh kajian-kajian yang menyeluruh; ia terdiri daripada satu siri soalan yang dibentuk untuk menilai minat, nilai-nilai, dan kecendurangan anak anda.

Ia memberi gambaran menarik tentang personaliti anak anda dan maklumat terperinci tentang perkara yang mendorong dan menarik minat mereka. Selain itu, ia memberi cadangan kerjaya yang paling sesuai untuk anak anda. Dari situ, ibu bapa boleh membantu menyediakan anak mereka untuk menjadi apa yang mereka hasratkan.

Tingkatkan Kemahiran Mereka

Orang muda memerlukan kemahiran (kemahiran kerja serta kehidupan), pengetahuan dan kebolehan untuk mengharungi kehidupan. Mereka juga perlu belajar menerima hakikat dan maju ke hadapan jika kerjaya pilihan mereka tidak mengikut laluan yang mereka kehendaki. Yang penting bagi anda ialah membantu mereka mengembangkan kemahiran yang mereka perlu agar selari dengan kerjaya pilihan mereka.

Pengalaman yang berlainan sepanjang hayat; terlibat dalam aktiviti baharu dan mencabar (pendidikan formal dan tidak formal); serta sekali sekala melibatkan diri dengan rangkaian kenalan baharu, dapat membantu anak anda mengembangkan kemahiran tersebut.

Antaranya kemahiran:

  • Perhubungan manusia
  • Kecelikan komputer
  • Menyelesaikan konflik
  • Pengurusan maklumat
  • Membuat keputusan
  • Pengurusan kewangan
  • Menyelesaikan masalah
  • Tingkah laku
  • Komunikasi
  • Bahasa
  • Kepimpinan
  • Vokasional
  • Kecerdasan Emosi

Kecenderungan anak anda mungkin berubah apabila mereka meningkat dewasa dan anda harus sentiasa ada bersama untuk memberi galakan agar mereka meneruskan langkah mereka. Jangan rasa kecewa sekiranya minat awal mereka berubah, teruskan usaha anda untuk memupuk minat anak anda.

Ibu bapa harus elak daripada bertindak negatif terhadap pilihan kerjaya anak-anak mereka; ia boleh menghalang seluruh proses pencarian. Kerjaya yang lain dari yang lain juga boleh menjanjikan kejayaan sama seperti laluan kerjaya yang biasa. Maka, ibu bapa hendaklah memberi sokongan dan galakan kepada anak mereka agar mengumpul seberapa banyak maklumat yang boleh tentang kerjaya yang mereka minati.

Akhir sekali, ibu bapa perlu sedar bahawa peranan mereka adalah sebagai pemudah cara dalam perjalanan kerjaya anak mereka dan benarkan mereka membuat pilihan kerjaya sendiri secara bebas. Kerjaya adalah sesuatu yang unik bagi setiap orang dan semua orang harus disokong untuk mengikuti minat mereka. Apa yang penting bagi anda adalah untuk membantu mereka mengetahui seberapa banyak yang boleh tentang pilihan kerjaya yang memuaskan yang wujud di luar sana.

Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen